Home Kenyataan Media Dewan Muslimat PAS Malaysia

Teladani Kisah Uwais Al-Qarni Sempena Hari Ibu

1693
SHARE

 

Teladani Kisah Uwais Al-Qarni Sempena Hari Ibu

Allah S.W.T berfirman :-“Dan Rabb-mu telah memerintahkan agar kamu tidak beribadah melainkan hanya kepadaNya dan hendaklah berbuat baik kepada ibu-bapa kamu. “Jika salah seorang di antara keduanya atau kedua-duanya sampai berusia lanjut dalam pemeliharaanmu, maka sekali-kali janganlah engkau mengatakan kepada keduanya perkataan “ah” dan janganlah engkau membentak keduanya, dan ucapkanlah kepada keduanya perkataan yang baik. “Dan rendahkanlah dirimu terhadap keduanya dengan penuh kasih sayang dan ucapkanlah, ‘Ya Rabb-ku, sayangilah keduanya sebagaimana mereka berdua telah mendidik aku pada waktu kecil.” Surah Al-Israa’: 23-24

Melalui firman ini, maka jelaslah perintah Allah S.W.T supaya hambaNya memuliakan dan menghormati kedua-dua ibu bapa dan tidak menyakiti mereka walaupun hanya dengan sepatah kata “uh”.Marilah sama-sama kita hayati kisah Uwais Al-Qarni, susuk tubuh yang tidak dikenali di bumi tapi cukup terkenal di langit. Beliau merupakan seorang anak yang taat sehingga sanggup melakukan apa sahaja demi memenuhi kehendak ibunya.Uwais Al-Qarni begitu teruja memenuhi kehendak ibunya yang ingin ke Makkah, namun beliau tidak berkemampuan berbuat demikian kerana sara hidupnya hanya cukup untuk keperluan mereka bedua sahaja.

Oleh demikian, beliau mengambil inisiatif membeli seekor anak lembu dan membuat sebuah pondok kecil untuk lembu itu di atas sebuah ‘Tilal’ iaitu sebuah tanah tinggi.Setiap petang, beliau akan mendukung anak lembu untuk naik ke atas ‘Tilal’ manakala pagi esoknya beliau akan mendukung pula lembu itu turun dari ‘Tilal’ tersebut untuk diberi makan. Itulah yang dilakukannya setiap hari. Ada ketikanya dia mendukung lembu itu mengelilingi bukit tempat dia memberi lembu itu makan.
 
Perbuatan yang dilakukannya ini menyebabkan orang mengatakan beliau kurang waras. Namun hakikatnya, Uwais seorang yang bijak. Ekoran tindakan itu, otot-otot tangan dan badan Uwais pula menjadi kuat hinggakan dengan mudah mengangkat lembu seberat 100 kilogram turun dan naik bukit setiap hari.
 
Selepas lapan bulan, apabila sampai musim haji, rupa-rupanya perbuatannya itu adalah satu persediaan untuk dia membawa ibunya mengerjakan haji. Dia telah memangku ibunya dari Yaman sampai ke Makkah dengan kedua tangannya. Di belakangnya dia meletakkan barang-barang keperluan seperti air, roti dan sebagainya. Lembu yang beratnya 100 kilogram boleh didukung dan dipangku inikan pula ibunya yang lebih ringan sekitar 50 kilogram.
 
Beliau membawa ibunya dengan kedua tangannya dari Yaman ke Makkah, mengerjakan Tawaf, Saie dan di Padang Arafah dengan senang sahaja. Dan dia juga memangku ibunya dengan kedua tangannya pulang semula ke Yaman dari Makkah. Begitulah pengorbanan beliau demi memenuhi kehendak ibunya.

Justeru, sempena 14 Mei kami Dewan Muslimat PAS Malaysia merakamkan ucapan Selamat Hari Ibu buat seluruh kaum ibu di Malaysia. Semoga semua para ibu diberi kekuatan mendidik anak-anak berjaya di dunia dan akhirat. Wahai para anak, contohilah kehebatan Uwais Al-Qarni. Hormati kedua ibu bapamu dan sentiasalah mendoakan kesejahteraan mereka. Sesungguhnya syurga seorang anak di bawah tapak kaki seorang ibu.

“Sejahtera Bersama Islam”
“Muslimat Memacu Kemenangan”

USTAZAH NURIDAH MOHD SALLEH
Ketua,
Dewan Muslimat PAS Malaysia
14 Mei 2017
17 Syaaban 1438 H

{jathumbnail off}