Home Tazkirah Ramadhan DMPM

Tazkirah Ramadhan Siri 8/1438H

614
SHARE

Tazkirah Ramadhan Siri 8/1438H 
Tadabbur AlQuran Juzuk 8: Surah Al-A’raf: Ayat 1-5

Terjemahannya:

Alif, Laam, Miim, Saad. (ayat 1)

(Al-Quran ini) sebuah Kitab yang diturunkan kepadamu (wahai Muhammad dari Tuhanmu). Oleh itu, janganlah ada perasaan bimbang dalam dadamu mengenainya, supaya engkau memberi amaran dengan Al-Quran itu (kepada orang-orang yang ingkar), dan supaya menjadi peringatan bagi orang-orang yang beriman. (ayat 2)

(Katakanlah kepada mereka wahai Muhammad): “Turutlah apa yang telah diturunkan kepada kamu dari Tuhan kamu dan janganlah kamu menurut pemimpin-pemimpin yang lain dari Allah; (tetapi sayang) amatlah sedikit kamu mengambil peringatan”. (ayat 3)

Dan berapa banyak negeri yang Kami binasakan, iaitu datang azab seksa Kami menimpa penduduknya pada malam hari, atau ketika mereka berehat pada tengah hari. (ayat 4)

Maka tidak ada yang mereka katakan ketika datangnya azab Kami kepada mereka, melainkan mereka (mengakui dengan) berkata: “Sebenarnya kami adalah orang-orang yang zalim”. (ayat 5)

Tafsir ringkas:

Allah SWT memulakan surah ini dengan huruf Alif, Laam, Miim, Saad. Hanya Allah yang mengetahui maksudnya. Hikmahnya untuk menarik perhatian kepada beberapa penegasan terhadap ayat-ayat selepas itu.
 
Antara yang ditegaskan ialah :

i. Kitab yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW  penuh dengan petunjuk untuk memberi peringatan kepada orang-orang kafir. Jangan ada keraguan dan kesempitan dalam menyampaikan ajarannya serta memberikan peringatan kepada manusia.

ii. Perintah mentaati dan melaksanakan semua isi Al-Quran. Juga larangan daripada? mengambil panduan dan jalan lain selain Allah sehingga mengakibatkan berlaku maksiat. Malangnya amat sedikit manusia yang  mengambil pengajaran daripadanya.

iii. Allah SWT akan menurunkan bala akibat daripada pendustaan dan penentangan kepada ajaran para utusan Allah. Tidak sedikit negeri yang telah dimusnahkan dan penduduknya dibinasakan  lantaran kedurhakaan mereka.

iv. Azab datang tanpa mengira waktu. Dianalogikan waktu malam ketika sedang tidur lena serta waktu tengahari ketika sedang berehat kerana pada ketika itu manusia berada dalam keadaan lalai dan leka. Tiada lain yang diucapkan?, hanya penyesalan atas kezaliman terhadap diri sendiri.

Pengajaran :

1) Kehidupan kita tidak boleh menyimpang daripada? apa yang telah diajarkan oleh baginda Rasulullah SAW. Kita akan tersesat jauh jika mencari penyelesaian selain Al-Quran dan As-Sunnah.

2) Menjadi tanggungjawab setiap umat Islam untuk menegakkan syariat Allah. Rasa susah dan payah dapat diubati dengan mengambil ibrah dari sirah perjuangan para Rasul.

3) Mengajak manusia mencintai ajaran Islam memerlukan sifat berlapang dada dan kekuatan jiwa. Kita tidak boleh memaksa, tetapi hanya menyampaikan dan memberi peringatan kerana hidayah milik Allah.

4) Kita mesti memilih pemimpin yang mahu menegakkan syariat Allah. Bukan pemimpin yang mengenepikan hukum Allah demi untuk mengejar kepentingan dunia.

5) Balasan Allah tidak terbatas pada hari kiamat saja. Oleh itu jangan merasa aman dan leka melakukan dosa. Taubat bukan sahaja dapat mencegah turunnya azab, malah sebenarnya taubat itu menarik rahmat Allah SWT.

Rujukan:
Tafsir Ibnu KathirDisusun oleh:
Lajnah Dakwah DMPM dengan kerjasama Ameerah dan Lajnah Penerangan & IT DMPK Gombak.
8 Ramadhan 1438/3 Jun 2017