Home Tazkirah Ramadhan DMPM

Tazkirah Ramadhan Siri 23/1438H

679
SHARE

Tazkirah Ramadhan Siri 23/1438H 

 

Tadabbur Al Quran Juzuk  23: Surah Az-Zumar: Ayat 8

Terjemahannya:
_Dan apabila manusia disentuh oleh sesuatu bahaya, ia segera berdoa kepada Tuhannya dengan keadaan rujuk kembali bertaubat kepadaNya; kemudian apabila Allah memberikannya sesuatu nikmat (sebagai kurnia) daripadaNya, lupalah ia akan segala bahaya yang menyebabkannya merayu kepada Allah sebelum itu dan ia pula menjadikan sekutu-sekutu bagi Allah, untuk menyesatkan dirinya (dan orang lain) dari jalan Allah. Katakanlah (kepadanya): “Bersenang-senanglah engkau dengan kekufuranmu itu bagi sementara, sesungguhnya engkau dari penduduk neraka._

Tafsir ringkas:

1. Ayat ini memberikan gambaran keadaan manusia yang apabila ditimpa  kesusahan dia akan memohon dengan bersungguh-sungguh dan meminta pertolongan Allah semata-mata, tidak ada sekutu bagi-Nya dan dia kembali kepada Allah, tetapi apabila berada dalam kesenangan dia melupakan doa dan permohonan yang bersungguh-sungguh itu.

2. Lebih dahsyat lagi golongan seperti ini ada yang lupa daratan malah menjadi musyrik dan menentang Allah dan hukum-hakamnya setelah Allah berikan nikmatNya dengan menghilangkan kemudharatan yang pernah dia berdoa kepada Allah untuk menghilangkannya sebelum ini.

3. Allah memberikan amaran keras kepada manusia yang keadaan jalan hidupnya seperti ini. _”Bersenang-senanglah dengan kekafiranmu itu sementara waktu; sesungguhnya kamu termasuk penghuni neraka”_

Pengajaran

1. Doa itu ibadah sepanjang hidup  sebagai tanda pergantungan kita kepada Allah. Kita seharusnya sentiasa berdoa kepada Allah dalam apa jua keadaan dan waktu , ketika susah mahu pun senang, supaya tidak lalai dan leka dengan nikmat kesenangan tersebut.

2. Ramai manusia apabila diuji dengan kesenangan mula melupakan Allah. Seharusnya apabila kita diberi nikmat kesenangan, tingkatkan rasa kesyukuran kepadaNya dan berdoa semoga nikmat kesenangan itu tidak melalaikan sebaliknya mendekatkan lagi diri kepada Allah.

Amalkan doa Nabi Sulaiman ini:
_” Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmatMu yang Engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redhai; dan masukkanlah daku – dengan limpah rahmatMu – dalam kumpulan hamba-hambaMu yang soleh”._
[Surat An-Naml 19]

3. Kita juga harus berdoa kepada Allah dilindungi dari menjadi golongan mereka yang mengadakan sekutu menyesatkan manusia lain dari jalan Allah kerana amaran keras jika termasuk golongan tersebut akan menjadi penghuni neraka. _Nauzubillahi min zalik._

4. Doa adalah penyerahan bukan tuntutan. Selepas kita berdoa, kita serahkan kepada Allah sepenuhnya untuk menguruskan diri kita. Sesungguhnya Allah sebaik-baik pengurus. Hatta jantung yang berdegup inipun kita tidak mampu uruskan, apatah lagi, menguruskan seluruh diri kita.

5. Berdoalah kepada Allah, memohon hidayah dan rahmat limpah kurniaNya. Boleh juga baca doa ini supaya Allah membaiki segala urusan kita, dan seterusnya menguruskan diri kita mengikut kebijaksanaan-Nya:
_“Ya Haiyyu, Ya Qayyum, dengan rahmat-Mu daku memohon pertolongan. Baikilah seluruh urusanku, dan janganlah Engkau serahkan diriku ini kepadaku walaupun sekelip mata.”  Riwayat Abu Daud Dan Nasaie

 

Rujukan:
Tafsir Ibnu Katsir
Tafsir Al-MuyassarDisusun oleh:
Lajnah Dakwah DMPM dengan kerjasama Ameerah dan Lajnah Penerangan & IT DMPK Gombak.
23 Ramadhan 1438 / 18 Jun 2017