Tadabbur Al Quran :
Juzuk 16 : Al Kahfi: Ayat 110
Firman Allah serta terjemahannya:
Katakanlah (wahai Muhammad): “Sesungguhnya aku hanyalah seorang manusia seperti kamu, diwahyukan kepadaku bahawasanya Tuhan kamu adalah Tuhan Yang Satu. Oleh itu, sesiapa yang percaya dan berharap akan pertemuan dengan Tuhannya, hendaklah ia mengerjakan amal yang soleh dan janganlah ia mempersekutukan sesiapapun dalam ibadatnya kepada Tuhannya”.
Tafsir ringkas:
Ayat ini adalah penutup surah al-Kahfi yang mengandungi sebuah perintah kepada Rasulullah SAW yang intisarinya adalah seruan untuk memurnikan aqidah dan mengukuhkan sunnah. Dasar aqidah yang wajib baginda sampaikan ialah :
1. Nabi Muhammad SAW hanyalah seorang manusia biasa yang menerima perutusan daripada Allah SWT, maka justeru itulah baginda tidak boleh disembah dan dipertuhankan. Penegasan ini adalah untuk memurnikan aqidah.
2. Diturunkan kepada Rasulullah SAW wahyu, maka kita tidak boleh mendustakannya malah wajib menerima semua yang datang dari baginda, serta mengamalkannya. Penegasan ini adalah untuk mengukuhkan sunnah.
3. Rasulullah SAW adalah seorang manusia yang tidak pernah melampaui batas hidayah yang diterima daripada Allah SWT. Jika wahyu tidak diturunkan, baginda tidak mengetahui perkara-perkara ghaib (Ashabul Kahfi, Zulqarnain dan roh) sepertimana yang ditanyakan oleh orang-orang musyrik.
4. Passport untuk bertemu dengan Allah SWT adalah dengan mengikuti saranan Rasulullah SAW iaitu:
i) mengerjakan amalan yang soleh (berpandukan syariat Allah) dan
ii) tidak mempersekutukan Allah dalam ibadat.
Kedua-dua amalan ini adalah rukun amal yang diterima.
Pengajaran:
1. Aqidah kita adalah aqidah tauhid. Hanya Allah tumpuan pengabdian. Jauhi syirik, bida’ah, sum’ah (agar didengari orang lain) dan riya’ dalam beribadah.
2. Sentiasalah beramal soleh dan jika ingin melakukan sesuatu pekerjaan, mulakan dengan nama Allah sahaja. Jangan kongsi Allah dengan sesiapa pun.
3. Janganlah mengharap syurga tanpa amal soleh kerana ia adalah harapan yang tidak kena pada tempatnya. Harapan yang sebenarnya adalah jika diiringi dengan kerja keras dan usaha yang bersungguh.
4. Wajib menuntut ilmu agama untuk ikhlas dalam beribadah dan jangan sombong atas ilmu yang telah kita ketahui.
5. Jangan menampilkan diri lebih dari apa yang ada sedangkan Rasulullah SAW yang memiliki hubungan dengan wahyu pun hanya menyebut dirinya sebagai manusia biasa.
6. Elakkan berkongsi tentang kebaikan diri sendiri selain daripada tujuan untuk memberi iktibar dan menggalakkan orang lain membuat kebaikan.
7. Jangan menjadi ‘penunggang’ agama. Elakkan daripada mempergunakan nama Islam demi keuntungan peribadi dengan cara yang batil dan penyebar bid’ah seperti menjual produk yang memperguna nama Islam, contohnya: air 7 kolah masjid, mandian surah yasin dan sebagainya.
8. Sentiasa memperbaharui lafaz syahadah dan banyakkan berzikir bagi menguatkan hubungan kita dengan Allah. Antara zikir penguat aqidah ialah :
9. Apabila dipuji, ucapkanlah :
“Haza min fadhli Rabbi” (Semua ini kurniaan Tuhanku).
Rujukan:
Tafsir Fi Zilalil Quran, Tafsir Ibn Kathir
Disusun oleh:
Lajnah Dakwah DMPM dengan kerjasama Ameerah dan Lajnah Penerangan & IT DMPK Gombak.
16 Ramadhan 2017 / 11 Jun 2017
{jathumbnail off}