Home Berita PAS Sarawak

DMPK Bintulu : Semarak Kasih Ramadhan Bersama DMPM

784
SHARE

Sabtu, 10 Jun– Bulan ramadhan merupakan bulan di mana umat Islam diajar untuk berlumba-lumba membuat kebaikan. Berpegang pada prinsip tersebut, baru-baru ini Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan (LKK) Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM) dengan kerjasama Dewan Muslimat PAS Negeri Sarawak (DMPNS) dan Dewan Muslimat PAS Kawasan Bintulu (DMPKB) telah mengadakan lawatan ziarah ramadhan di sekitar bandar ini.

Ziarah ini telah diketuai oleh Dr. Uyun Abdul Malek, Pengerusi LKK DMPM, diiringi oleh Ketua LKK DMPN Sarawak,  Puan Habsah Bujang merangkap Naib Ketua Dewan Muslimat PAS Negeri Sarawak (DMPNS) dan juga turut serta, Ketua LKK DMPKB Dr. Nurdya Fatiha serta beberapa orang Muslimat daripada DMPKB.

Program ziarah melibatkan penduduk miskin, warga tua, OKU serta ibu tunggal yang tinggal di sekitar Kampung Jepak dan Kampung Baru. Kira-kira 10 keluarga telah menerima sumbangan daripada program ini.

Sumbangan yang diberikan ialah bantuan barangan dapur seperti beras, gula, tepung minyak masak, dan lain-lain serta sedikit wang tunia. Seluruh keluarga kelihatan sangat berbesar hati menerima sumbangan tersebut.

Bagi pihak Dewan Muslimat Pas Bintulu, ziarah ini sedikit sebanyak memberi impak kepada diri kami untuk menginsafi bahawa ada ahli masyarakat perlu diberikan perhatian dan bantuan. Melihat kesusahan salah seorang penerima yang merupakan seorang ibu tunggal tidak bekerja dan perlu menyara 3 orang anak kecil, mendengar cerita sebuah keluarga yang putus mata pencarian apabila suaminya tidak dapat bekerja selepas menjalani proses pembedahan jantung dan pelbagai lagi kisah kesusahan saudara kita di Bintulu membuatkan kami benar-benar tersentuh.

Semoga pada waktu lain, Dewan Muslimat Pas Kawasan Bintulu dapat lagi bekerjasama dengan DMPM dan DMPNS untuk melaksanakan pelbagai program kebajikan yang lain lagi di sekitar kawasan ini. DMPKB juga merasa amat bersyukur dan berterima kasih kepada semua penyumbang yang dermawan melalui LKK DMPM atas sumbangan yang dihulurkan sehingga menjayakan program ini dengan jayanya. Semoga penerima sumbangan ini sedikit sebanyak merasa ringan sedikit bebanan dan bergembira di Bulan Ramadhan yang mulia ini.

‘Sirru ala barakatillah’.

 

{jathumbnail off}