Home Tazkirah Ramadhan DMPM

Tazkirah Ramadhan Siri 12/1438H

582
SHARE

Tazkirah Ramadhan Siri 12/1438H

Tadabbur Al Quran Juzuk 12: Surah Hud: Ayat 15-16

Terjemahannya:

“Barangsiapa yang menghendaki kehidupan dunia dan perhiasannya, nescaya Kami berikan kepada mereka balasan pekerjaan mereka di dunia dengan sempurna dan mereka di dunia itu tidak akan dirugikan.” (ayat 15)

“Itulah orang-orang yang tidak memperoleh (sesuatu) di akhirat, kecuali Neraka dan lenyaplah di akhirat itu apa yang telah mereka usahakan di dunia dan sia-sialah apa yang telah mereka kerjakan.” (ayat 16)

 

Tafsir ringkas:

1. Ayat ini menjelaskan segolongan manusia yang beramal dan bekerja kerana untuk mendapat habuan dunia semata-mata. Dunialah  menjadi perhatian, niat dan tujuannya tanpa membuat  persiapan yang berguna untuk kehidupannya di akhirat, seperti beramal kebajikan dan membersihkan diri dari berbagai sifat yang tercela. Maka Allah akan memberikan kepada mereka apa yang mereka inginkan sesuai dengan ketentuan sunnatullah dan Allah tidak akan mengurangi sedikit pun dari hasil usaha mereka itu kerana soal rezeki itu biasanya berkait rapat dengan kerja keras dan usaha.

2. Amalan seperti ini termasuklah juga orang-orang yang gemar berbuat riya’ yang apabila beribadah ia hanya ingin dipuji dan mendapat kedudukan di mata masyarakat. Amalan ini bukan kerana Allah bahkan boleh terjatuh ke dalam syirik niat.

3. Mereka berusaha di dunia bukan kerana dorongan iman kepada Allah dan bukan untuk membersihkan diri dari dosa dan kejahatan dan bukan pula untuk mengejar keutamaan dan takwa, tetapi semata-mata untuk memenuhi kepuasan hawa nafsunya. Kelak di akhirat nanti ia termasuk orang-orang yang rugi.

 

Pengajaran:

1. Amalan/pekerjaan yang tertolak dan tidak diterima Allah ialah:

a) amalan yang dilakukan untuk mendapat habuan dunia semata tanpa mengira  halal dan haram.

b) amalan yang dilakukan dengan riya (bukan kerana Allah tetapi untuk mendapatkan perhatian manusia) 

 

2. Selalulah berdoa dan berzikir agar Allah membantu kita dalam beramal dan mendapat kebaikan di dunia dan akhirat.

Antaranya : “Ya Allah, Bantu aku untuk berzikir, bersyukur, dan memperbaiki ibadah kepada-Mu.”(HR. Ahmad, Abu Daud, dan al-Nasai)

“Ya Allah, ya Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan peliharalah kami dari siksa neraka.” (HR. Bukhari dan Ahmad)

3. Kurangkan bercerita / berkongsi tentang amalan / kebaikan di media sosial dan mengejar ‘like’ dan pujian.

4. Jauhi daripada menggunakan nama Islam untuk melariskan produk / perkhidmatan / perniagaan sendiri dan seumpamanya. Contohnya valet doa, minuman / makanan bacaan Al quran dan umrah palsu.

5. Apa juga bentuk perjuangan, seruan dan dakwah jika bukan kerana mengajak manusia kepada Allah juga sia-sia dan tiada nilai di sisiNya.

 
Rujukan:
Tafsir Ibnu KatsirDisusun oleh:
Lajnah Dakwah DMPM dengan kerjasama Ameerah dan Lajnah Penerangan & IT DMPK Gombak.
12 Ramadhan 1438 /7 Jun 2017