Home Tazkirah Ramadhan DMPM

Tazkirah Ramadhan Siri 10/1438H

638
SHARE

Tazkirah Ramadhan Siri 10/1438H

Tadabbur Al Quran Juzuk 10: Surah Al-Anfal: Ayat 60-62

Terjemahannya:

Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan dari pasukan-pasukan berkuda yang lengkap sedia, untuk menggerunkan dengan persediaan itu musuh Allah dan musuh kamu serta musuh-musuh yang lain dari mereka yang kamu tidak mengetahuinya; sedang Allah mengetahuinya. Dan apa sahaja yang kamu belanjakan pada jalan Allah akan disempurnakan balasannya kepada kamu, dan kamu tidak akan dianiaya. (ayat 60)

Dan jika mereka (pihak musuh) cenderung kepada perdamaian, maka engkau juga hendaklah cenderung kepadanya serta bertawakallah kepada Allah. Sesungguhnya Dia Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui. (ayat 61)

Dan jika mereka bertujuan hendak menipumu, maka sesungguhnya cukuplah Allah (menjaga dan memberikan perlindungan) kepadamu. Dia lah yang menguatkanmu dengan pertolongan-Nya dan dengan (sokongan) orang-orang yang beriman. (ayat 62)

 

Tafsir ringkas:

1. Dalam ayat ini Allah memerintahkan supaya kaum Muslimin membuat persiapan jihad. Antaranya dengan mempersiapkan tentera berkuda yang ditempatkan di tempat strategik untuk menggempur dan menghancurkan setiap serangan musuh dari mana pun datangnya. Pada zaman Nabi, pasukan berkuda ini begitu tinggi nilainya dan amat besar keampuhannya.

2. Pada masa sekarang kewajipan jihad turut berterusan. Maka umat Islam juga wajib membuat persiapan dari segala sudut sama ada mental atau fizikal, sama ada mempersiapkan berbagai senjata moden untuk mempertahankan negaranya dari serangan musuh ataupun strategi pemikiran dan perancangan untuk memenangkan Islam.

3. Berapa pun pembelanjaan yang dikeluarkan semasa jihad, maka pahalanya akan dibalas secara penuh dan sempurna oleh Allah. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Abu Daud, disebutkan bahawa dirham yang dibelanjakan di jalan Allah dilipatgandakan pahalanya sehingga 700 kali ganda.

4. Ayat seterusnya menegaskan bahawa Islam mementingkan perdamaian. Oleh itu jika golongan kafir cenderung untuk berdamai dengan umat Islam, maka bolehlah berdamai dengan mereka dengan syarat ia memberi kebaikan kepada Islam. Ini kerana agama Islam adalah agama yang benar dan tinggi daripada agama lain. Maka kita mesti meninggikan agama Islam ini. Islam juga menganjurkan supaya menerima perdamaian, selagi pihak lawan tidak berusaha menipu.

5. Selepas mengambil langkah berdamai dengan musuh, bertawakallah kepada Allah kerana Dialah sahaja yang Maha Mencukupi dan Menjamin  keselamatan kita.

 

Pengajaran:

1. Kehadiran di medan jihad dan keterlibatan dalam menyiapkan pasukan Muslim merupakan tugas agama bagi setiap orang Muslim. Kita hendaklah membuat persiapan untuk menghadapi musuh semampu kita dari segenap segi sama ada ilmu, kewangan, ketenteraan dan sebagainya.

2. Untuk menyediakan persiapan dan kelengkapan perjuangan, infak adalah amat diperlukan. Jemaah Islam perlu memastikan kempen-kempen dan anjuran menafkahkan harta fi sabilillah dipergiatkan lagi.  Pastikan harta kita diinfaqkan untuk perjuangan Islam.

3. Di samping persediaan dan strategi yang kemas, para pejuang wajib sentiasa meletakkan pergantungan kepada Allah SWT. Setelah merancang, berserahlah kepada Allah kerana kita yakin yang Allah mendengar apa yang mereka rancangkan. Dan Allah tahu apakah rancangan mereka – sama ada baik atau buruk.

 

Rujukan: Tafsir Ibn Kathir

Disusun oleh:
Lajnah Dakwah DMPM dengan kerjasama Ameerah dan Lajnah Penerangan & IT DMPK Gombak.
10 Ramadhan 1438/5 Jun 2017