Home Tazkirah Ramadhan DMPM

Tazkirah Ramadhan Siri 07/1438H

955
SHARE

Tazkirah Ramadhan Siri 7/1438H

Tadabbur Al Quran Juzuk 7: Surah Al-An’am: Ayat 68-69

Terjemahannya:

Dan apabila kamu melihat orang-orang yang memperolok-olokkan ayat-ayat Kami, maka tinggalkanlah mereka sehingga mereka membicarakan pembicaraan yang lain. Dan jika syaitan menjadikan kamu lupa (akan larangan ini), maka janganlah kamu duduk bersama orang-orang yang zalim itu sesudah teringat (akan larangan itu).(ayat 68)

Dan tidaklah ada tanggungjawab sedikitpun atas orang-orang yang bertaqwa mengenai dosa orang-orang (kafir yang mengejek-ejek) itu, akan tetapi (kewajipan orang-orang Islam) ialah mengingati (larangan Allah itu) supaya mereka bertaqwa. (ayat 69)

 

Tafsir ringkas:
 
1.  Ayat ini mengandungi perintah Allah SWT kepada orang-orang yang beriman supaya meninggalkan dan menjauhi orang-orang yang menghina Islam, memperolok-olok Al-Quran dan hukumnya. Kita tidak boleh duduk sekali dalam suatu majlis bersama mereka tetapi dimaafkan jika mereka mengalihkan pembicaraan mereka pada masalah lain atau kalau kita terlupa. Namun begitu, selepas kita ingat kembali amaran tersebut, menjadi kewajipan untuk kita menghindarkan diri sehingga mereka tidak lagi bercakap menghina Islam.

2. Jika terpaksa juga untuk duduk dalam satu majlis dengan mereka, hendaklah orang-orang mukmin? memberi peringatan tentang amaran Allah, agar mereka jangan menghina Islam atau mengejek-ngejek ayat-ayat Allah di dalam al-Quran.

3. Allah juga menegaskan bahawa orang-orang mukmin yang bertakwa kepada Allah tidaklah bertanggung jawab atas perbuatan orang-orang musyrikin yang memperolok-olokkan ayat-ayat Allah dan mereka tidak akan menanggung dosa mereka.

 

Pengajaran:

1. Wajib menjauhkan diri dari orang-orang yang memperolok-olokkan ayat-ayat Allah, atau orang-orang yang menyeleweng ayat-ayat Allah semata-mata mengikuti keinginan hawa nafsunya, seandainya tidak sanggup menegur mereka agar menghentikan perbuatan itu.

2. Walaupun ada manusia menghina ayat-ayat Allah, perjuangan untuk menyampaikannya mestilah tetap diteruskan. Kita memang tidak bertanggung jawab terhadap kekufuran orang-orang kafir, namun berkewajiban mengingatkan mereka di samping menjaga adab-adab pergaulan dengan manusia yang pelbagai ragam dan majlis mereka yang pelbagai jenis.

3. Boleh duduk bersama-sama membicarakan sesuatu yang bermanfaat dengan orang-orang kafir, selama mana mereka tidak memperolok-olokan agama Allah.

4. Sikap para pejuang Islam di sepanjang zaman mestilah mengikut cara bersosial yang selamat daripada fitnah seperti yang ditetapkan oleh Islam, memberi dukungan kepada kebaikan dan menghapuskan majlis mungkar apabila diberi kuasa memerintah.

Rujukan: Tafsir Qurtubi & Tafsir TGHHDisusun oleh:
Lajnah Dakwah DMPM dengan kerjasama Ameerah dan Lajnah Penerangan & IT DMPK Gombak.
7 Ramadhan 1438 /2 Jun 2017