Home Tazkirah Ramadhan DMPM

Tazkirah Ramadhan Siri 05/1438H

693
SHARE

Tazkirah Ramadhan Siri 05/1438H

Tadabbur Al Quran Juzuk 5: Surah An-Nisa’: Ayat 59-61

Terjemahannya :

Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasul dan kepada orang-orang yang berkuasa dari antara kamu. Maka jika kamu berselisih dalam sesuatu perkara, hendaklah kamu kembalikan kepada Allah dan Rasul, jikalau memang kamu percaya kepada Allah dan Hari Kemudian. Itulah yang sebaik-baik pengertian. (ayat 59)

Tidakkah engkau lihat kepada orang-orang yang berkata bahawa mereka telah beriman dengan apa yang telah diturunkan kepada engkau dan apa yang diturunkan sebelum engkau, tetapi mereka hendak berhakim kepada ?aghut sedang mereka sudah diperintah supaya mengingkarinya! Dan syaitan sentiasa hendak menyesatkan mereka dengan kesesatan yang sejauh-jauhnya. (ayat 60)

Dan apabila dikatakan kepada mereka, “Ke marilah, kepada apa yang diturunkan Allah dan kepada Rasul,” nescaya engkau melihat orang-orang yang munafik itu berpaling serta menghalang (manusia) dengan bersungguh-sungguh daripada menghampirimu. (ayat 61)

Tafsir ringkas:

1. Ayat 59 ditujukan kepada orang-orang yang beriman dan mengandungi beberapa arahan wajib yang merupakan asas dan sendi kekuasaan dalam Islam iaitu:
a) perintah untuk mentaati Allah SWT
b) perintah mentaati Rasulullah SAW
c) perintah mentaati Ulil Amri.

2.  Berkenaan dengan maksud Ulil Amri, Imam an-Nawawi rahimahullah berkata, “Para ulama mengatakan: yang dimaksud dengan Ulil Amri adalah orang-orang yang Allah wajibkan untuk ditaati iaitu penguasa dan pemerintah”.  Said Hawa juga menyatakan, ulil amri adalah khalifah; yang kepemimpinannya terpancar dari syura kaum Muslim; kepentinganya ialah  untuk menegakkan al-Kitab dan al-Sunnah.

3.  Kewajiban seorang pemimpin adalah berhukum dengan adil dan menunaikan amanat. Jika itu dilakukan, maka wajib bagi kaum muslimin mentaati pemimpin tersebut selagimana  dia tidak menyeru sesuatu yang bercanggah dengan syariat Allah SWT.

4.  Sifat orang yang beriman ialah mentaati Allah, Rasul-Nya dan Ulil Amri yang menegakkan hukum Allah SWT. Manakala sifat orang yang Munafik pula ialah menolak Al-Qur’an dan sunnah Rasul dijadikan sebagai landasan hukum.

5.  Kriteria kaum munafik yang dinyatakan oleh ayat ini ialah: 

a) Mendakwa dirinya  beriman, namun mereka lebih suka berhukum kepada ?aghut (selain hukum Allah dan Rasul-Nya)

b) Menolak dan beralasan  bahkan menentang dengan hebat jika diajak berhukum pada Al-Qur’an dan Sunnah Rasul

 

Pengajaran

1.  Kita perlu mentaati suruhan Allah secara keseluruhan, bukan separuh-separuh, kerana itu sifat munafik.

2. Hayatilah sifat-sifat orang-orang yang beriman dan bandingkan dengan sifat-sifat orang munafik. Adakah kita ada ciri-ciri tersebut? Bersyukurlah jika ia mendekat kepada keimanan namun segeralah bertaubat jika hampir kepada ciri-ciri munafiq.

3.  Kita wajib mentaati perintah pemimpin yang sudah dipilih selagi arahannya tidak bercanggah dengan syarak. Berilah sokongan ke atas apa sahaja usaha mereka untuk menegakkan syariat dan keadilan.

4.  Kita wajib memilih pemimpin yang serius  hendak menegakkan hukum Allah SWT dalam kehidupan bermasyarakat dan negara. Wajib memilih pemimpin yang bersungguh-sungguh membawa kita ke jalan Allah untuk menuju ke Syurga.

5.  Jika ada perselisihan yang tidak dapat diselesaikan dan menemui jalan buntu, maka hendaknya merujuk kepada apa yang telah diputuskan oleh para ulama’ berdasarkan al-Quran, Sunnah, Ijma’ dan Qiyas serta sumber-sumber hukum yang lain.

 

Rujukan: Tafsir Al Azhar, Juz 5, Tafsir Ibn Kathir, Jilid 2

Disusun oleh:
Lajnah Dakwah DMPM dengan kerjasama Ameerah dan Lajnah Penerangan & IT DMPK Gombak.
5 Ramadhan 1438/ 31 Mei 2017