5 RAMADAN 1441/ 28 APRIL 2020
بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف المرسلين ,سيدنا وحبيبنا محمد صلى الله عليه وسلم وعلى آله وصحبه أجمعين.
“Sesungguhnya, Allah SWT telah menganugerahkan kita suatu bulan yang sangat istimewa dan terkenal dengan kemuliaannya iaitu bulan Ramadan”.
Bulan ini juga dikenali sebagai شهر الخيرات (bulan penuh kebaikan),شهر المغفرة (bulan pengampunan) الرحمة شهر (bulan penuh rahmat).
Telah berlaku peristiwa bersejarah bagi pengetahuan umat Islam di dalam bulan Ramadan iaitu turunnya al-Quran yang agung, dibawa oleh malaikat Jibrail A.s daripada langit ke-7 ke bumi dan disampaikan ke junjungan mulia nabi kita Muhammad SAW bertepatan dengan firman Allah SWT di dalam surah al-Baqarah ayat 185:
شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنزِلَ فِيهِ الْقُرْآنُ هُدًى لِّلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِّنَ الْهُدَىٰ وَالْفُرْقَانِ ۚ
“Bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah”.
Kitab Allah yang lengkap dan sempurna dengan perlembagaan dan aturan yang kekal untuk dijadikan rujukan buat sekalian umat manusia. Jadikan musim Ramadan ini sebagai medan kita memperbanyakkan membaca dan mentadabbur al-Quran.
Bertepatan dengan musim PKP ini, mungkin ramai yang berasa sedih kerana tidak dapat menyambut Ramadan seperti Ramadan yang lepas. Tetapi, adakah kita sedar bahawa amat besar hikmah di sebaliknya?
Allah SWT telah melapangkan masa kita selapang-lapangnya. Masa kita untuk bekerja, aktiviti luar rumah, melepak bersama rakan, dan sebagainya telah ‘dikosongkan’ oleh Allah SWT. Jadi, gunakan peluang keemasan ini untuk kita lebih mendekatkan diri dengan Pencipta kita, Allah SWT. Rebutlah peluang ini juga dengan memenuhi masa kita bersama al-Quran , sentiasa membacanya dan cuba mengkhatamkannya.
Begitulah amalan kebiasaan para ulama semenjak zaman silam hingga zaman kini, masa mereka tidak pernah lekang dengan al-Quran . Allah SWT berfirman di dalam surah al-Isra’ ayat 9 :
إِنَّ هَٰذَا ٱلْقُرْءَانَ يَهْدِى لِلَّتِى هِىَ أَقْوَمُ وَيُبَشِّرُ ٱلْمُؤْمِنِينَ ٱلَّذِينَ يَعْمَلُونَ ٱلصَّٰلِحَٰتِ أَنَّ لَهُمْ أَجْرًا كَبِيرًا
“Sesungguhnya Al Quran ini memberikan petunjuk kepada (jalan) yang lebih lurus dan memberi khabar gembira kepada orang-orang Mu’min yang mengerjakan amal sholeh bahwa bagi mereka ada pahala yang besar”
Marilah kita bermohon di bulan Ramadan yang penuh keberkatan ini, moga Allah SWT memberi kita petunjuk ke arah kebaikan dan menghilangkan musibah Covid-19 yang sedang melanda kita hari ini. Insyallah, dengan keberkahan bacaan al quran dan doa serta amalan kita di bulan Ramadan ini, Allah SWT mustajabkan. Amiin
Ustaz Al-Faqer ibnu Sulaiman
Bendahari
Dewan Ulamak PAS Negeri Melaka