Home Berita PAS Melaka

Tazkirah Ramadan Bersama Dewan Ulamak PAS Negeri Melaka -Siri 2

1219
SHARE

SIRI 2  | 3 Ramadan 1441 H

MEMELIHARA RAMADAN

Alhamdulillah kita telah pun melangkah masuk ke gerbang RAMADAN yang dipenuhi dengan keberkahan, kerahmatan, keampunan dan berbagai-bagai ganjaran yang berlipat ganda di sisi Allah. Apakah perasaan kita pada masa ini dalam menyambut bulan yang mulia? Adakah sangat teruja? Berdebar-debar? Atau biasa- biasa sahaja, lebih lebih lagi dalam suasana diuji Allah dengan wabak CORONA VIRUS 19 ini. Semoga kita tergolong dalam golongan yang sangat teruja dengan ketibaan bulan yang mulia ini, insya-Allah.

Berbicara mengenai puasa, tentunya kita akan dapat merasai perbezaan antara berpuasa sunat dengan puasa Ramadan. Berpuasa pada bulan Ramadan bukan sahaja menuntut kita untuk menahan diri daripada lapar dan dahaga, malah kita juga dituntut untuk menjaga kesucian bulannya agar tidak dicemari dengan perkara-perkara maksiat. Ini adalah kerana, bulan Ramadan adalah bulan yang paling agung dan istimewa berbanding dengan bulan-bulan yang lain kerana pada bulan inilah Al-Quran diturunkan. Allah SWT berfirman yang bermaksud:

شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنْزِلَ فِيهِ الْقُرْآنُ هُدًى لِلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِنَ الْهُدَىٰ وَالْفُرْقَانِ ۚ

“(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) Bulan Ramadan, bulan yang padanya diturunkan Al Quran menjadi petunjuk bagi sekalian manusia dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan menjelaskan perbezaan (antara yang benar dengan yang salah).”

(Surah Al Baqarah ayat 185)

Saudara,

Bulan Ramadan adalah medan untuk kita berlumba-lumba untuk mengejar pahala semaksima mungkin kerana setiap kebaikan yang kita kerjakan pasti akan diganjari dengan pahala yang berlipat kali ganda. Ia berdasarkan hadis Qudsi yang bermaksud:

كُلُّ عَمَلِ ابْنِ آدَمَ يُضَاعَفُ الْحَسَنَةُ عَشْرُ أَمْثَالِهَا إِلَى سَبْعمِائَة ضِعْفٍ ،
قَالَ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ : ” إِلَّا الصَّوْمَ فَإِنَّهُ لِي ، وَأَنَا أَجْزِي بِهِ ، يَدَعُ شَهْوَتَهُ وَطَعَامَهُ مِنْ أَجْلِي

“Setiap amalan anak Adam adalah digandakan pahalanya kepada sepuluh hingga 700 kali ganda, maka berkata Allah SWT : Kecuali puasa, sesungguhnya ia adalah khas untukKu dan Akulah yang akan membalas kebaikannya, mereka meninggalkan makanan, minuman dan syahwat mereka (di siang hari) hanya keranaKu.”

(Hadis Riwayat Bukhari & Muslim)

Walaupun begitu, ganjaran pahala juga boleh terhapus jika kita tidak meninggalkan amalan-amalan keji seperti mencarut, mengeji, mengumpat, memfitnah serta banyak lagi perbuatan-perbuatan dosa yang lain. Ingatlah sabda Nabi s.a.w yang bermaksud:

مَنْ لَمْ يَدَعْ قَوْلَ الزُّورِ وَالْعَمَلَ بِهِ وَالْجَهْلَ فَلَيْسَ لِلَّهِ حَاجَةٌ فِيْ أَيْ يَدَعَ طَعَامَهُ وَشَرَابَهُ

“Barangsiapa yang tidak meninggalkan perkataan buruk dan perbuatannya tatkala puasa, maka tiada hajat Allah baginya (kerana pahala akan terhapus) walaupun meninggalkan makanan dan minumannya”

(Hadis Riwayat Bukhari)

Oleh itu, , marilah bersama-sama kita melatih diri untuk mengelakkan diri daripada melakukan perbuatan-perbuatan keji bermula dari sekarang agar kita dapat menjaga dan memelihara kesucian bulan Ramadan nanti dengan sebaik-baiknya, InsyaAllah.

Akhirnya kita semua akan kembali kepada fitrah yang mana Allah s.w.t mengembalikan rasa kasih dan rahmatNya kepada kita semua dan diangkat kembali ujian buat kita ini agar dapat kita menjalani ibadat ibadat seperti sediakala. Ambillah ini sebagai ujian dan ibrah dariNya untuk kita lebih insaf dan menyesal atas tindakan kita yang banyak dosa ini.
WALLAHUALAM

ULAMA PEMIMPIN PENYELESAIAN ISLAM

ISLAM MEMIMPIN PERPADUAN.

Dari saya…
USTAZ SUDIN BIN NOOH
Ketua Urusan Ulamak
PAS Kawasan Kota Melaka


Wartawan Rakyat Melaka (WARM)