Home Berita PAS Melaka

Tazkirah Ramadan Bersama Dewan Ulamak PAS Negeri Melaka Siri 16

675
SHARE

17 RAMADAN 1441 H
10 MEI 2020M

PELUANG MENDAPAT KEAMPUNAN YANG DISIA-SIAKAN

Bismillah…

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ : كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ مَنْ قَامَ رَمَضَانَ إيمَانًا وَاحْتِسَابًا، غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ

Maksudnya: Daripada Abu Hurairah r.a, bahawa Nabi SAW bersabda: “Barangsiapa yang mendirikan Ramadan dengan penuh keimanan dan penuh pengharapan, akan diampunkan baginya segala dosanya yang telah lalu”.
(HR Abu Daud)

Setinggi kesyukuran dipanjatkan ke hadrat Ilahi kerana alhamdulillah kita sudah masuk di fasa kedua Madrasah Ramadan.

Wahai saudaraku,

Marilah kita renungi bagaimanakah amalan kita sehingga ke hari ini? Tepuk dada tanya iman. Sepertimana yang kita sedia maklum, bulan Ramadan merupakan bulan yang Allah bukakan pintu rahmatNya. Waktu yang paling baik untuk minta ampun kepadaNya ialah ketika berbuka. Namun, ramai manusia tidak mengambil peduli tentang waktu keemasan ini. Mereka lebih sibuk dengan perkara lain dan mengabaikan waktu menadah tangan memohon keampunan dariNya.

Memohon keampunan itu penting kerana manusia tidak sempurna. Biarpun memiliki kelebihan, ia turut memiliki berbagai-bagai kelemahan. Namun, malangnya tidak ramai manusia yang sedia mengakui dosa dan salah silapnya. Mereka lebih mudah menyenaraikan kesalahan orang lain berbanding dosa yang dilakukan.

Mengakui kesalahan adalah sebuah kesedaran tentang erti tanggungjawab sebagai seorang manusia. Ia berbeza dengan ‘tahu’ kerana ramai manusia yang mempunyai pengetahuan tetapi tidak mempunyai kesedaran. Hal ini kerana mereka tidak mempunyai kesedaran atau lupa tanggungjawab sebagai seorang Muslim.

Persoalannya, kenapa manusia gagal dan lupa untuk menyedari salah silap mereka?

Pertama: Sifat angkuh dan sombong.

Sifat ini menjadikan manusia gagal tunduk pada perintah Allah. Contoh yang terbaik untuk golongan ini ialah iblis yang enggan sujud kepada Adam akibat keangkuhannya.

Kedua: Menuruti hawa nafsu.

Sifat ini menyebabkan manusia leka dengan misi sebenar kehadiran mereka ke bumi ini. Keinginan manusia yang tidak terbatas ini perlu di lawan dan dikatakan TIDAK pada sebahagian dari kemahunnya.

Ketiga: Hilang sifat malu.

Ia merupakan tanda iman yang sangat penting kerana sifat ini akan menjadikan seseorang itu sensitif terhadap sesuatu perlakuan yang menyalahi perintah Allah.

Keempat : Gagal menghayati amaran Allah.

Terdapat banyak amaran Allah tentang mereka yang melanggarnya. Orang yang mempunyai kesedaran terhadap azab dan seksaan Allah pasti akan menjauhi laranganNya.

Wahai saudaraku,

Kembali dengan situasi yang berlaku hari ini. Allah menguji kita semua dengan menghantar satu wabak iaitu COVID-19 yang menyinggah kepada sesiapa yang dikehendakiNya. Adakah kita menyedari hakikat mengapa Allah menghantar wabak tersebut? Antaranya ialah ingin memberi teguran kepada kita semua. Dan di sebalik yang berlaku ada hikmah yang tersembunyi.

Oleh itu, di bulan yang penuh barakah ini, terdapat waktu yang mustajab untuk berdoa antaranya ialah ketika berbuka puasa. Ini jelas sebagaimana Sabda Rasulullah:

“Tiga orang yang doanya tidak tertolak: pemimpin yang Adil, orang yang berpuasa ketika dia berbuka, dan doa orang yang dizalimi”

(At-Tirmidzi)

Justeru itu, peruntukan masa lima minit sebelum berbuka untuk kita menadah tangan berdoa bersama keluarga dan memohon keampunan Allah. Persiapkan makanan dan minuman lebih awal serta jangan lepaskan peluang keemasan ini. Moga-moga dengan peruntukan masa ini Allah memakbulkan permohonan doa kita dan memberikan dorongan dan hidayah kepada kita.

Akhirnya, janganlah kita menjadi golongan yang mensia-siakan peluang yang disediakan secara percuma. Rebutlah dengan bersungguh-sungguh setiap peluang yang ada dalam bulan Ramadan kali ini. Jadikan Ramadan kali ini yang terbaik dari sebelumnya. Pertingkatkan amal soleh, jaga hubungan dengan Allah dan orang sekeliling, membaca Al Quran, bersedekah dan lain-lain. Juga jaga kesihatan dan kebersihan diri dan keluarga. InshaAllah moga segalanya diberkati.

“Ramadan Karim, Allahu Akram”

USTAZ IMRAN ABDUL RAHMAN
Timbalan Pesuruhjaya 2 PAS MELAKA
Timbalan Ketua Dewan Ulamak PAS MELAKA
YDP PAS Kawasan PAS Masjid Tanah


Wartawan Rakyat Melaka (WARM)