Home Artikel PAS Melaka

Tazkirah Ramadan Bersama Dewan Ulamak PAS Melaka – Siri 1

215
SHARE

 

Assalamualaikum.wbrt..

Ibadat Puasa Menjana Takwa.

Firman Allah Taala dalam Al Quranul karim:-

يا ايها الذين امنوا كتب عليكم الصيام كما كتب علي الذين من قبلكم لعلكم تتقون

Ertinya:-
“Wahai orang-orang yang beriman! diwajibkan kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa.”
(Surah Al-Baqarah ayat 183).

Pengajaran Ayat:-

Puasa dengan berlapar di siang hari dan beribadat di malam harinya benar-benar dapat menjana taqwa seseorang itu. Semua tahap puasa itu merupakan MujahadatunNafsi yang berkesan dan mampu membentuk jati diri manusia sebagai insan yang bertakwa. Orang yang berpuasa hendaklah sentiasa menjaga adab-adabnya supaya pahala puasa tidak hilang.

Mereka yang berpuasa dapat menjaga lidah dari mengumpat, memfitnah, tidak bercakap sia-sia dan lain-lain perbuatan yang keji. Lidah yang tidak dikawal menjadi sebab seseorang itu tersungkur di dalam neraka. Mulut juga dijaga dari makan makanan yang syubhah dan haram.

Benarlah kata-kata Hujjatul Islam Al-imam Al-Ghazali Rahimallahu Taala iaitu orang yang berbuka puasa dengan makanan yang haram samalah seperti membagunkan sebuah istana kemudian ia meruntuhkannya. Sesungguhnya orang yang ingin puasanya diterima Allah S.W.T. hendaklah dia mengawal lidah dan menjaga mulutnya supaya tidak melanggar larangan Allah S.W.T. Begitu juga dengan anggota yang lain seperti telinga, mata, tangan, kaki dan lain-lainnya lagi.

Ibadat malam seperti solat tarawikh, witir dan tahajjud juga menjadi kilang untuk melahirkan orang yang bertakwa. Solat tahajjud mempunyai nilai yang sangat tinggi di sisi Allah S.W.T. Solat yang paling utama selepas solat fardhu ialah solat di tengah malam. Sebagaimana Sabda
Rasulullah S.A.W.:-

افضل الصلاة بعد الصلاة المكتوبة الصلاة. في جوف الليل
Ertinya:
“Solat yang paling baik selepas solat fardhu ialah solat tahajud di tengah malam”- Riwayat Al-Imam Muslim.

Oleh itu, marilah kita mengisi bulan Ramadan yang berkat ini dengan ibadat puasa tahap yang tertinggi seperti yang dinyatakan oleh Al-Imam Al-Ghazali iaitu puasa khusus Lil khusus.

Dan marilah kita sama-sama memperbanyakkan amalan sunat, khususnya ibadah malam kerana ibadat tersebut dapat mendekatkan diri dengan Allah S.W.T. dan dapat menjana taqwa. Marilah kita berazam untuk menjadi graduan Ramadan yang memperolehi ijazah taqwa kelas pertama. Inshaa Allah. Sekian Wassalam.

Tazkirah Ramadan bersama.                     

ABU IKRIMAH
Ketua Urusan Ulamak
PAS Kawasan Masjid Tanah
Naib Ketua Dewan Ulamak PAS Melaka
2 Ramadan 1441 H / 25 April 2020


Wartawan Rakyat Melaka (WARM)