Home Kenyataan Media Dewan Pemuda PAS Malaysia

Tarbiyah Siyasiyyah Dalam Bulan Ramadhan

574
SHARE

Muqaddimah

Bulan yang dinantikan oleh seluruh umat Islam kembali tiba. Penghulu segala bulan dan sebaik-baik bulan di sisi Allah. Tetamu yang dinanti-nantikan ini disambut dengan penuh kegembiraan oleh umat Islam, menunjukkan iman yang ada dalam hati mereka tidak boleh dipadamkan oleh musuh-musuh Islam.

Anak Muda dan Ramadhan
Anak-anak muda di seluruh pelusuk dunia Islam bergembira dengan ketibaannya walaupun pelbagai ragam pada diri mereka yang diboleh dilihat pada ‘style’ cara pemakaian dan penampilan diri. Sebagai contoh pada bulan Ramadhan, masjid-masjid di Turki dipenuhi oleh anak-anak muda, mereka itu memakai gelang, rantai dan ‘tatoo’ pada badan, walaupun dengan kejahilan tetapi mereka sayangkan Islam. Jangan hukum mereka mengikut zahir, santunilah mereka dengan penuh berhikmah. Kecintaan pada bulan Ramadhan dicampak oleh Allah ke dalam hati setiap Muslim. Inilah mukjizat Ramadhan!

Ramadhan Bulan Tarbiyah
Bulan Ramadhan sinonim dengan bulan tarbiyah; ia adalah bulan tarbiyah jasadiyyah dengan ibadah puasa yang diwajibkan untuk mendidik jasad kita supaya menghargai nikmat makan minum yang dikurniakan Allah. Ia adalah bulan tarbiyah ruhiyyah dengan segala macam hidangan ibadah-ibadah yang menyucikan rohani daripada sifat-sifat yang keji seperti sombong, angkuh, marah, membazir dan lain-lain lagi. Ia adalah bulan tarbiyah jihadiyyah kerana seseorang itu berjaya melawan nafsunya untuk melaksanakan perintah Allah dan juga bulan kemenangan kepada umat Islam dalam menghadapi musuh-musuhnya seperti kemenangan dalam Perang Badar, Pembukaan Makkah dan lain-lain lagi. Bulan Ramadhan juga ialah bulan tarbiyah siyasiyyah (tarbiyah politik) kerana Rasulullah SAW telah mengendali urusan-urusan penting dalam politik Islam pada bulan ini, antaranya ialah:

Tarbiyah Siyasiyyah Dalam Perang Badar
Perang Badar perlu dilihat dari sudut politik Islam yang lebih luas sama ada sebelum dan selepasnya, bukan sahaja dari sudut peperangan bersenjata semata-mata. Perang pertama dalam sejarah Islam ini berlaku selepas negara Islam dibentuk di Madinah yang dipimpin sendiri oleh Rasulullah SAW. Fatrah (zaman) Madaniyyah ini dilengkapkan penurunan ayat-ayat yang berkait hubungan manusia dengan manusia, khususnya ayat-ayat yang berkait dengan politik pemerintahan; hak-hak bukan Islam dalam negara Islam, hukum-hakam jenayah dan termasuk juga hubungan negara Islam dengan negara bukan Islam sama ada ketika perang atau damai. Dalam tempoh ini Allah menurunkan ayat-ayat yang mengizinkan kepada Nabi SAW untuk berperang, seperti firman Allah SWT yang bermaksud:

“Perangilah orang-orang musyrikin keseluruhannya.” (Surah al-Taubah: 36)

Menurut Dr Yusuf al-Qardhawi di dalam bukunya; Fiqh al-Jihad dan juga Dr Haykal di dalam tesis PhDnya; al-Jihad wa al-Qitaal fi al-Siyasah al-Syari’yyah (Jihad dan Perang Dalam Politik Islam) antara lain menyebut bahawa; dari segi politik Islam, pengisytiharan perang ke atas negara bukan Islam hanya boleh dilakukan oleh negara Islam. Adapun individu Muslim atau organisasi tidak boleh mengisytiharkan perang ke atas negara bukan Islam kerana ia salah dari sudut fiqh al-Jihad. Kecuali jika sekiranya negara kafir menyerang dan menakluk negara Islam, maka setiap orang Islam wajib bangkit untuk mempertahankan diri sebagaimana yang berlaku di Palestin. Inilah apa yang berlaku dalam sirah nabawiyyah, di mana Nabi SAW tidak mengisytihar perang ke atas Musyrikin Makkah semasa baginda berada di Makkah. Akan tetapi ianya berlaku selepas negara Islam dibentuk di Madinah. Ini adalah satu bentuk tarbiyah siyasiyyah yang ditunjukkan oleh Nabi SAW kepada umatnya yang pilih oleh Allah SWT berlaku pada bulan Ramadhan yang mulia ini.

Antara tarbiyah siyasiyyah yang berlaku pada peperangan ini juga ialah konsep musyawarah yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW ketika baginda mahu memutuskan tempat berkubu bagi tentera Islam. Rasulullah SAW menerima pandangan salah seorang sahabatnya kerana melihat ia adalah strategi yang terbaik. Peristiwa ini menunjukkan bahawa Islam mendahului demokrasi Barat yang memberikan hak kepada rakyat untuk menegur dan memberi pandangan kepada Ketua Negara.

Tarbiyah Siyasiyyah Dalam Pembukaan Makkah
Peristiwa Pembukaan Makkah yang berlaku pada bulan Ramadhan tahun ke-8 hijrah juga adalah satu contoh tarbiyah siyasiyyah yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW. Jika sekiranya Perang Badar dilihat sebagai politik perang antara negara Islam dan bukan Islam. Adapun peristiwa Pembukaan Makkah adalah politik damai yang ditunjukkan oleh baginda. Ketika tamadun-tamadun manusia lain menunjukkan politik dendam ke atas musuh setelah satu-satu tempat itu ditakluk, hingga berlakunya pertumpahan darah, perampasan hak dan seumpamanya sebagaimana ditunjukkan dalam tamadun Rom dan Parsi. Termasuk juga kuasa-kuasa selepas daripada zaman Islam seperti penaklukan tentera Salib ke atas Baitulmaqdis yang membunuh dan menyembelih penganut-penganut Islam dan Yahudi sebagaimana disaksikan sendiri oleh ahli-ahli sejarah Barat. Begitu juga apa yang dilakukan oleh Kerajaan-kerajaan Kristian ketika merampas Sepanyol dari tangan umat Islam, bukan sahaja mereka dibunuh bahkan kubur-kubur mereka dicungkil untuk memadamkan tanda-tanda kewujudan Islam.

Dalam peristiwa Pembukaan Makkah, Rasulullah SAW telah menunjukkan budaya politik matang dan berakhlak terhadap negara Makkah yang dibuka oleh baginda. Tidak berlaku pertumpahan darah dan perampasan hak, walaupun permusuhan yang begitu dalam antara mereka. Bahkan Rasulullah SAW mengisytiharkan Deklarasi Makkah dengan memberikan pengampunan kepada sebahagian besar penduduk Makkah yang pernah menzaliminya dan orang-orang beriman yang bersama dengan baginda. Ini adalah kebijaksanaan berpolitik yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW bagi memastikan kestabilan politik berlaku di dalamnya dan pandangan jauh Nabi SAW dari sudut politik dakwah untuk menarik orang-orang Makkah kepada Islam.

Ramadhan dan Tarbiyah Siyasiyyah
Ramadhan adalah bulan yang mendidik umat Islam untuk berpolitik dengan politik Islam. Politik di dalam Islam adalah sebahagian daripada ajaran yang tidak boleh dipisahkan kerana ianya adalah asas dan rukun yang penting di dalam Islam. Al-Imam al-Qurtubi menegaskan di dalam tafsirnya ketika menafsirkan firman Allah:

“Dan ingatlah ketika Tuhan kamu berfirman kepada malaikat, “Sesungguhnya aku ingin jadikan di atas dunia ini seorang khalifah.” Malaikat berkata, “Adakah kamu mahu jadikan di atasnya mereka yang melakukan kerosakan dan pertumpahan darah?” Allah berfirman, “Sesungguhnya Aku mengetahui apa yang kamu tidak mengetahui”.”(Surah al-Baqarah: 30)

Ayat ini menjadi hujah bahawa politik dan urusan pemerintahan adalah merupakan salah satu rukun-rukun Islam yang penting. (lihat Tafsir Al-Qurthubi)

Dalam al-Qur’an juga menerangkan peranan yang dimainkan oleh Anbiya’ sebagai ahli politik yang mentadbir urusan dunia dengan petunjuk wahyu daripada Allah atau menegur dan menasihati pemerintah yang zalim supaya mengikut petunjuk Allah. Nabi Daud dan Nabi Sulaiman diceritakan di dalam al-Qur’an sebagai raja yang adil dan bijaksana yang mentadbir kerajaan dengan panduan wahyu dari Allah. Firman Allah yang bermaksud:

“Dan sesungguhnya kami telah mengurniakan ilmu pengetahuan kepada Nabi Daud dan Nabi Sulaiman, dan mereka berdua bersyukur dengan berkata: “Segala puji bagi Allah yang dengan limpah kurnianya memberi kami kelebihan mengatasi kebanyakan hamba-hambanya yang beriman.” Dan Nabi Sulaiman mewarisi (pangkat kenabian dan kerajaan) Nabi Daud; dan setelah itu Nabi Sulaiman berkata: “Wahai sekelian rakyat! Kami telah diajar mengerti bahasa pertuturan burung dan kami telah diberikan serba sedikit dari tiap-tiap sesuatu (yang diperlukan) sesungguhnya yang demikian itu adalah limpah kurnia (dari Allah) yang jelas nyata”.” (Surah al-Naml : 15-16)

Begitu juga Nabi Yusuf, firman Allah Ta’ala yang bermaksud:
“Dan demikianlah caranya kami tetapkan kedudukan Yusuf memegang kuasa di bumi (Mesir), ia bebas tinggal di bumi itu di mana sahaja yang disukainya. Kami limpahkan rahmat kami kepada sesiapa sahaja yang kami kehendaki dan kami tidak menghilangkan balasan baik orang-orang yang berbuat kebaikan.” (Surah Yusuf: 56)

Nabi Musa diceritakan sebagai seorang ahli politik pembangkang yang menegur dan menasihati Firaun supaya telus dan adil di dalam pemerintahannya. Firman Allah Ta’ala:

“Pergilah kamu berdua kepadanya (Firaun) dan katakanlah sesungguhnya kami adalah Rasul Tuhan kamu, maka lepaskanlah Bani Israel supaya mereka bersama kami dan kamu seksakan mereka. Sesungguhnya kami telah datang dengan ayat (keterangan) Tuhan kamu dan salam sejahtara kepada sesiapa yang mengikut petunjuk.” (Surah Taha: 47)

Petunjuk Nabawiyyah di atas menunjukkan bahawa keprihatinan Nabi SAW untuk mendidik umat baginda mengenai politik Islam di sepanjang masa termasuklah di bulan Ramadhan. Ia mengajar kita bahawa Islam adalah ugama yang mengikat seseorang dengan Tuhannya, bukan sahaja pada ibadah-ibadah khususiyyah seperti ibadah puasa pada bulan Ramadhan, bahkan juga dalam urusan-urusan kehidupan manusia lain khususnya politik. Jangan kita putuskan hubungan dengan urusan politik setelah masuknya bulan Ramadhan dengan alasan ia adalah bulan tarbiyah rohani untuk menyucikan diri semata-mata.

MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Ketua
Dewan Pemuda PAS Malaysia
2 Ramadhan 1438 | 28 Mei 2017

{jathumbnail off}