Tangani COVID-19 : Sokongan Semua Adalah Penting
1. Negara Malaysia sedang mengalami sebuah cabaran pandemik melalui penularan COVID-19 yang menjadikan jumlah kumulatif pesakit positif meningkat saban hari. Dalam menangani wabak ini, kerjasama semua pihak adalah amat diharapkan bagi menyokong usaha pemimpin negara dan menumpukan segala daya mempertahankan negara dari serangan musuh yang tidak kelihatan ini.
2. Wabak yang melanda seluruh dunia, bermula di Wuhan, China ini bukan sahaja melibatkan negara kita yang kecil seperti Malaysia malah turut menimpa negara-negara gergasi luar yang lain. Pelbagai krisis yang berlaku hari ini mungkin sedikit sebanyak terkesan dari kelembapan mengambil tindakan yang sewajarnya di peringkat awal apabila wabak ini mula melanda dan membunuh ramai masyarakat di daerah Wuhan, China. Namun keadaan kembali stabil dengan langkah proaktif kerajaan Perikatan Nasional yang berusia lebih sebulan ini mengambil tanggungjawab untuk menangani krisis yang berlaku dengan penuh cermat dan hati-hati.
3. Ketika ini, jumlah kes positif COVID-19 di seluruh dunia telah mencapai satu juta dengan kadar kematian adalah 5.23%. Jumlah kes COVID-19 di Malaysia yang terkumpul setakat 3 April menurut Kementerian Kesihatan Malaysia adalah sebanyak 3,333 kes dengan angka kematian seramai 53 orang.
4. Negara besar Amerika Syarikat telah mencatatkan bilangan pengidap COVID-19 teramai di dunia sedangkan kira-kira dua minggu lalu pengidap penyakit tersebut adalah sekitar seribu orang sahaja. Perkara ini dikatakan adalah berpunca dari pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump yang mementingkan kestabilan ekonomi berbanding kesejahteraan rakyatnya. Selain itu, AS juga sedang berhadapan pemilihan presiden yang mana menyaksikan semua pihak berkempen menjayakan survival politik masing-masing. Sememangnya ‘lockdown’ atau perintah berkurung akan memberi masalah kepada ekonomi mana-mana negara pun, namun sekiranya sesebuah negara mementingkan kesejahteraan rakyat maka pilihan tersebut mestilah diambil secara segera supaya penularan wabak ini dapat disekat dengan lebih awal. Kepincangan ekonomi sesuatu negara boleh sentiasa diperbaiki melalui nasihat para pakar dan ahli ekonomi, akan tetapi nyawa yang hilang tidak mungkin dapat dikembalikan.
5. Saya faham kegusaran rakyat Malaysia dalam cabaran untuk kekal selamat, namun inilah pengajaran yang harus diambil demi memastikan Malaysia kembali bebas dari masalah yang mencengkam negara sekarang. Angka 3,333 orang pengidap COVID-19 walaupun kecil dari statistik dunia, namun apabila dibandingkan dengan bilangan keseluruhan rakyat Malaysia, angka tersebut adalah sangat besar. Setiap nyawa pastinya bernilai dan ia merupakan aset sebuah negara. Semua pihak tidak harus bermain persepsi semata-mata sebaliknya mesti patuh pada cadangan dan arahan yang dikeluarkan oleh kerajaan. Rakyat harus meletakkan kepercayaan kepada Perdana Menteri dan barisan kabinet yang mengemudi Majlis Keselamatan Negara.
6. Marilah kita bersama-sama melaksanakan arahan kerajaan ini demi menghadapi wabak pembunuh ini. Jika ada cadangan yang ingin diutarakan, salurkanlah dengan cara yang betul. Bukan sekadar membangkang tanpa menyatakan cadangan yang bernas. Tumpukan pada isu pokok yang perlu dihadapi sekarang. Demi membantu rakyat meneruskan kelangsungan kehidupan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang ditetapkan akan berakhir pada 14 April ini, pelbagai insentif telah diberikan kepada rakyat antaranya melalui Pakej Rangsangan Ekonomi PRIHATIN Rakyat. Semoga melalui usaha kerajaan ini kesemua rakyat beroleh kebaikan dan terus menjadi hambaNya yang sentiasa bersyukur.
“Islam Memimpin Perpaduan”
”Islam memimpin, Wanita Sejahtera”
#StayAtHome
BreakTheChain
Dr. Najihatussalehah Binti Ahmad
Ketua Penerangan
Dewan Muslimat PAS Malaysia
4 April 2020 / 10 Syaaban 1441H