Home Berita PAS Sabah

Tambah pusat transit untuk kebajikan keluarga pesakit luar bandar

335
SHARE

Oleh: Fadilah Nordin
8 Ogos 2022

KOTA KINABALU : Muktamar Tahunan Dewan Muslimat PAS Sabah kali ke-32 sebulat suara meluluskan usul sebagai cadangan berkaitan isu pusat transit yang perlu ditambah.

Usul berkenaan dibentang oleh Perwakilan Dewan Muslimat PAS Kawasan (DMPK) Sepanggar, Darma Yusop sempena Muktamar Tahunan Dewan Muslimat PAS Negeri Sabah kali ke 32, di sini Sabtu lepas.

Menerusi usul berkenaan, DMPK Sepanggar mencadangkan agar pusat transit percuma ditambahbaik serta diperbanyakkan untuk masyarakat luar bandar yang datang ke hospital di bandar untuk mendapatkan rawatan dan memerlukan tempat tinggal dalam waktu yang lama.

“Masalah yang sering dihadapi oleh masyarakat luar bandar khususnya pedalaman bagi mendapatkan rawatan dalam tempoh masa yang lama di hospital, acapkali mengalami kesukaran mencari tempat tinggal sementara dengan kos yang murah kerana kekangan kewangan, kenderaan dan sebagainya.

“Mereka bersama waris yang menemani terpaksa mengeluarkan kos yang tinggi untuk urusan penginapan sahaja. Bahkan, ada yang harus berjimat terpaksa rehat dan tidur di kaki lima hospital kerana tiada tempat tinggal,” ujarnya lagi.

Tambahnya lagi dengan wujudnya lebih banyak pusat transit secara percuma, mampu meringankan beban yang mereka hadapi.

“Hanya beberapa rumah transit sahaja terdapat sekitar Sabah antaranya Anjung Kasih Hospital Duchess of Kent (HDOK) Sandakan di bawah kelolaan Yayasan Kebajikan Negara (YKN).

“Di Kota Kinabalu pula, terdapat Rumah Perantaraan Hospital Likas, Sabah. Rumah ini merupakan rumah kedai berhampiran Hospital Likas,” ujarnya lagi.

Menurut Darma, projek itu di bawah kendalian Jabatan Kerja Sosial Perubatan, Hospital Likas Sabah dengan kerjasama Persatuan Pegawai Pembangunan Masyarakat (Perubatan) Malaysia dan Pertubuhan Budhist Tzu Chi Sabah.

Perbahasan usul ini diakhiri dengan sokongan majoriti menerima usul sebagai cadangan.