Home Berita PAS Perlis

Ulamak nadi perjuangan Islam

80
SHARE

Oleh MUHAMMAD HADI

KANGAR, 8 Ogos: Kedudukan ulamak dalam organisasi perjuangan Islam ini adalah pada kedudukan yang tertinggi dan  bukan sekadar sebagai sayap kiri mahupun kanan.

Demikian tegas Ahli Majlis Syura Ulamak PAS, Tuan Guru Ustaz Ahmad Ali pada Muktamar Tahunan Dewan Ulamak PAS Negeri Perlis yang berlangsung di Kompleks PAS Perlis (KOMPAS) di sini, baru-baru ini.

Berucap merasmikan muktamar tersebut, beliau menjelaskan ulamak bahkan diibaratkan seperti nadi dan jantung jemaah yang tanpanya tidak mungkin jemaah Islam ini dapat berfungsi.

Justeru katanya, mereka yang berada dalam dewan berkenaan tidak dapat tidak perlu menyedari betapa besarnya tanggungjawab yang perlu mereka laksanakan dalam perjuangan Islam.

“Ulamak adalah pewaris nabi mempunyai tugas yang amat berat dan tiada pilihan lain ulamak juga perlu menggalas tugas yang berat ini serta mesti berazam untuk melakukan yang terbaik mengikut kemampuan yang ada.

“Selebihnya pohonlah doa kepada Allah agar Dia membantu kita,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan para ulamak supaya bersedia menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 dengan meletakkan keutamaan kepada agenda-agenda politik dalam semua program yang dianjurkannya.

“Kuliah-kuliah yang disampaikan dalam tempoh ini (menjelang PRU-15) juga perlulah diberi keutamaan kepada kerja-kerja politik berpandukan Al-Quran dan As-Sunnah, kena beri keutamaan terhadap perkara ini,” ujarnya.