Home Berita PAS Sabah

Muslimat perlu kuasai media sosial menjadi ejen penerangan

146
SHARE

Oleh : Nur Syarifah Ariffin
8 Ogos 2022

TAWAU: Tugas muslimat bukan hanya menyebarkan dakwah dan membantu gerak kerja belakang tabir tapi juga perlu kuasai media sosial dan berperanan sebagai ejen penerangan.

Perwakilan Dewan Muslimat PAS Tawau, Hajiyah Sirajuddin berkata, peranan muslimat sebagai ejen penerangan dalam media sosial amat penting bagi menyebarkan maklumat sahih kepada masyarakat.

“Semua ahli perlu sentiasa berusaha menangkis serangan minda alaf baru di media sosial disamping perlu berganding bahu memikul peranan yang sama sebagai persediaan menghadapi pilihan raya umum (PRU).

“Kita semua adalah ejen penerangan jadi perlu banyak membaca serta cakna tentang isu semasa.

“Kita perlu berusaha menjadikan media sosial sebagai medan mendidik masyarakat agar menjadi lebih baik bagi melahirkan generasi yang bermanfaat kepada agama dan negara,” ujarnya dalam sesi penangguhan sempena Muktamar Dewan Muslimat PAS Negeri Sabah (DMPNS) kali ke-32, Sabtu lepas.

Sementara itu, perwakilan Libaran, Arfaida Azam pula mengajak muslimat aktif menyertai program anjuran Lajnah Penerangan dan Media Baharu bagi menambah ilmu dan menguasai media sosial.

“Muslimat juga boleh gunakan media sosial sebagai medan dakwah dengan menyebarkan kepentingan mempunyai aqidah yang benar berlandaskan al-Quran kerana zaman ini terlalu banyak cabaran dan sebaran yang bertentangan dengan akidah,” ujarnya lagi.

Arfaida turut menyeru agar muslimat berusaha memposisikan diri dalam gerak kerja penerangan sebagai usaha dan medan jihad memenangkan Islam.

Ucapan penangguhan perwakilan Dewan Muslimat daripada semua kawasan telah berlansung semasa Muktamar Tahunan DMPNS di Auditorium Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Kota Kinabalu.