Home Berita PAS Kedah

Tak kecewa tidak dilantik calon, Radhi Mat Din yakin kemampuan calon PN Pokok Sena

481
SHARE

POKOK SENA – Lagenda bolasepak Kedah merangkap calon PAS Pokok Sena pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), Radhi Mat Din, 57 tidak berkecil hati meskipun tidak dicalonkan semula bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) bagi kerusi Parlimen Pokok Sena susulan pencalonan Pesuruhjaya PAS Kedah, Dato’ Ahmad Yahaya di kerusi itu.

“Secara peribadi saya sangat mengalu-alukan Ustaz Mad Ya di kawasan Pokok Sena ini sememangnya bukan kerana dia seorang Pesuruhjaya, tetapi diatas ketokohan beliau dan gaya kepimpinan yang beliau tunjukkan.

“Keputusan PAS Pusat untuk meletakkan Ustaz Mad Ya bertanding pilihan raya umum sangat tepat dengan kemampuan yang beliau ada,” katanya.

Tambahnya, beliau secara peribadi tiada halangan dan menyokong Dato’ Ahmad Yahaya dan akan membantunya berkempen sehabis mungkin.

“Kita akan berkempen secara all out untuk memastikan PAS memenangi kembali kerusi Pokok Sena, iaitu kerusi yang pernah kita kuasai.

“Harapan daripada Jemaah PAS dan penduduk Pokok Sena supaya kedatangan ulama kita Ustaz Mad Ya membawa suatu pembaharuan yang lebih baik, penyebaran ilmu agama yang lebih mendalam dan yang paling penting orang Islam dapat hidup dalam satu suasana yang bersatu padu demi penyatuan ummah di Pokok Sena,” katanya.

Mengulas mengenai Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat itu, beliau menyifatkan Dato Ahmad Yahaya adalah seorang yang tawadhuk dan merendah diri sesuai dengan ketinggian keilmuan yang dimilikinya.

“Walaupun usianya beza sepuluh tahun dengan saya, tetapi sepanjang saya mengikuti kuliah beliau banyak manfaat dan ilmu yang saya peroleh, umum orang tahu bahawa Ustaz Mad Ya ni adalah orang yang tawadhuk,” ujarnya.

Perikatan Nasional Kedah memutuskan pembahagian kerusi iaitu sembilan kerusi diletakkan calon Pas manakala enam kerusi lagi adalah untuk Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).