Home Berita PAS Johor

Ahli PAS Perlu Hidupkan Majlis Ilmu di Markaz

838
SHARE

Ahli PAS Perlu Hidupkan Majlis Ilmu di Markaz

Oleh : Tinta Tebrau

Tebrau, 21 July – AJK Dewan Ulama PAS Pusat, Al-Fadhil Ustaz Ahmad Dusuki Abd Rani menyampaikan mutiara ilmu dalam program bulanan PAS Kawasan Tebrau, Liqa Thaqafi pada 19 Julai yang lalu bertempat di Markaz PAS Kawasan Tebrau.

Beliau memulakan mukaddimah dengan firman Allah SWT di dalam surah Al-Maidah, ayat 2 tentang tolong menolong dalam perkara kebaikan dan bukan kemungkaran. “Kita berada dalam PAS bukan kerana suka-suka mengisi masa lapang atau mahu menang pilihanraya sahaja. Jauh dari itu kerana kita mahu memikul Islam hingga ke syurga Allah SWT”, ujarnya sebagai mengingatkan para hadirin akan peranan sebagai ahli PAS.

“Majlis-majlis ilmu perlu dihidupkan dan diimarahkan di markaz-markaz, bukan sahaja di masjid-masjid atau surau-surau untuk mendidik hawa nafsu supaya menjadi nafsu mutma’innah. Ambil kesempatan menuntut ilmu dengan ustaz-ustaz PAS yang ada, insyaAllah PAS akan terus mara” ujar beliau menyeru kepada para hadirin.

Sempat berkongsi kisah kejayaan Islam terbesar di Malaysia pada tahun 1990 dalam pilihanraya di Kelantan sewaktu bersama pimpinan Almarhum Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat. Pada waktu itu, ulama seluruh dunia berpendapat Islam tidak boleh masuk dalam pilihanraya kerana sistem demokrasi yang berasal dari barat. Namun, kejayaan tersebut membuka mata dunia.

Mengulas tajuk Ta’awun Siyasi Menurut Perspektif Syara’, beliau mengajak PAS di Johor supaya menyusun dan menggerakkan sistem tanzim PAS supaya mampu melahirkan pemimpin yang tidak tamak, pemimpin yang ditarbiyah dengan menjadikan Islam sebagai kehidupan dan mampu bersama-sama dengan masyarakat umum.

Islam perlu menguasai, bukan dikuasai. Jika Islam hanya bertumpu kepada solat semata, puasa sahaja, Rasulullah SAW tidak berhijrah ke Madinah. “Kenapa Rasulullah SAW berhijrah ke Madinah ? Baginda mahu mengajar Islam perlu berkuasa walaupun masyarakat Islam Madinah pada waktu itu hanya golongan minoriti, ” tambah beliau dalam penyampaiannya.

Mengakhiri program malam itu, Ustaz Ahmad Dusuki berkenan mengijazahkan kepada para hadirin akan doa satu yang dibacakan oleh Baginda Muhammad SAW kepada Abu Hurairah RA, yang dikarangkan semula oleh beliau di dalam bukunya yang berjudul “Persiapan Menjelang Kematian”.

Terdahulu, beliau menyempurnakan jemputan menyampaikan mutiara ilmu dalam kuliah Maghrib di Surau Al-Bararah, Kampung Cahaya Baru.