Home Berita PAS Pahang

Tahfiz & SAR Wajib Dipertahan

718
SHARE

1. Sudahlah nasib Maahad Tahfiz dan Sekolah Agama Rakyat (SAR) tidak mendapat tempat yang wajar dalam Bajet 2018, kini berdepan pula dengan *ancaman akan ditutup* jika tidak daftar dengan kerajaan. Selain disyaratkan mendapat kelulusan bomba, kesihatan dan sebagainya.

2. Bajet 2018 hanya menyediakan peruntukan pendawaian Maahad Tahfiz dan itupun disalurkan kepada Giat MARA. *Bantuan perkapita kepada SAR masih belum dikembalikan* sejak ianya “dirampas” pada zaman Tun Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri.

3. Saya dimaklumkan oleh pengusaha TAHFIZ dan SAR di Pahang bahawa kini mereka pula sedang ditekan. Untuk dapatkan kelulusan bomba itu tidak mudah. Karenah birokrasi jadi hambatan. Pejabat ini kata, kena dapat pengesahan pejabat itu dulu. Bila mereka pergi ke pejabat itu, diberitahu kena ada kelulusan pejabat ini pula baru boleh disahkan.

4. Situasi disulitkan. Saya lihat perkembangan ini sebagai *usaha untuk menghapuskan TAHFIZ swasta dan SAR secara sistematik*. Ini sangat menyedihkan malah sungguh mengecewakan.

5. Saat Bajet 2018 yang dibentang oleh Perdana Menteri tempohari hanya memberi peruntukan langsung kepada sekolah jenis lain bahkan sekolah muballigh, *malangnya SAR terus tidak “diperakui sebagai anak”.*

6. Negeri Pahang sahaja mempunyai lebih 100 buah Maahad Tahfiz dan SAR. Saya percaya di negeri – negeri lain juga banyak. *Kenapa hak mereka dinafikan ?* Dimana hak pendemokrasian ilmu yang dilaungkan ?

7. Jangan pandang kecil kewujudan TAHFIZ dan SAR ini. Meskipun tidak berdaftar dengan kerajaan, inilah *institusi yang banyak membantu kerajaan untuk melahirkan insan berguna*. Lihat sahaja berapa ramai mufti, qadhi, alim ulamak dan insan soleh yang lahir dari SAR ini ?

8. Ada pihak mengherdik saya, kenapa payah sangat TAHFIZ dan SAR mahu berdaftar dengan kerajaan ? Izinkan saya mengherdik kembali, *kenapa payah sangat kerajaan nak hulurkan bantuan* lalu membenarkan mereka beroperasi secara selesa dan terkawal dibawah pelbagai rupa undang-undang yang sedia ada ?

9. Jika bimbang SAR melahirkan militan, bukankah negara telah ada undang-undang mengekang militan ? Jika bimbang SAR membawa ajaran sesat, bukankah negara telah ada undang-undang menangani ajaran sesat ?

10. Persoalannya, Bukankah SAR adalah institusi rakyat ? kepada siapa lagi kalau tidak kerajaan berbakti kepada rakyat ? *Bukankah kerajaan selayaknya membantu rakyat ?* Kalau jutaan ringgit boleh dihabiskan untuk bantuan individu melalui BRIM, kenapa tidak dikembalikan bantuan perkapita SAR ? *Saya tidak jangka kerajaan mahu bermusuh dengan rakyatnya sendiri.*

Sejahtera Bersama Islam

YB Ustaz Nasrudin bin Hassan

ahli Parlimen Temerloh