Home Berita PAS Wilayah

Alternative Riding Club (ARC) Wangsa Maju Berjaya Dilancarkan

1158
SHARE

Dataran Wangsa, Wangsa Maju, 29 Oktober 2017 – Seramai lebih 50 orang pemuda Wangsa Maju telah menjayakan Majlis Pelancaran ARC Wangsa Maju.

Program ini bermula dengan solat zohor berjemaah di Masjid Muttaqin Wangsa Melawati, pendaftaran peserta serta taklimat konvoi.

Pada jam 3.00 petang, konvoi diteruskan dengan memberi sumbangan kebajikan dan membersihkan kubur di Kampung Puah Gombak serta penyerahan bendera PAS di cawangan-cawangan terpilih.

Konvoi berakhir dengan pelancaran ARC Wangsa Maju di Dataran Wangsa di mana berlangsung juga Fiesta Hijau anjuran PAS Kawasan Wangsa Maju pada hari yang sama.

Pengarah ARC Wilayah Persekutuan, Saudara Mohammad Sharifuddin Abd Rashid di dalam ucapannya menekankan bahawa ARC bukan sekadar konvoi oleh ‘Mat Motor’ tetapi juga mahukan Islam dimartabatkan sebagai yang tertinggi.

“Selain itu, kerja-kerja amal adalah sinonim bagi ARC di Malaysia ini dan menjadikan ARC sebagai kelab permotoran yang menyampaikan dakwah dimana-mana”, tambah beliau lagi.

Beliau mengakhiri ucapan dengan mengucapkan tahniah kerana penyertaan seramai ini menjadikan kawasan Wangsa Maju antara yang mempunyai ramai ahli ARC selain dari Bandar Tun Razak.

Yang DiPertua (YDP) PAS Kawasan Wangsa Maju, Haji Razali Tumirin ketika melancarkan ARC juga mengucapkan tahniah kepada Dewan Pemuda PAS Kawasan Wangsa Maju atas usaha menubuhkan ARC di kawasan tersebut.

Beliau turut menyampaikan anugerah ‘Ikon Anak Muda’ tempatan kepada saudara Ubaidah bin Zainal Abidin yang merupakan ketua unit konvoi pada petang tersebut.

“Dengan tertubuhnya ARC di kawasan Wangsa Maju, maka PAS berupaya mendekati anak muda tempatan bagi memperkasa dan mempergiatkan aktiviti-aktiviti kemasyarakatan selepas ini”, ujar beliau seusai majlis pelancaran tersebut.