Home Tadabbur Al-Quran

Tadabbur Surah Yassin Siri 20

1283
SHARE

??Tadabbur Surah Yaasin ??
_Siri 20_

? Ayat 59-62: Pembalasan dan Kecelakaan Golongan yang Durhaka

*?Firman Allah serta terjemahannya:*

وَامْتَازُوا الْيَوْمَ أَيُّهَا الْمُجْرِمُونَ – ٥٩

_Dan (dikatakan pada orang kafir), “Berpisahlah kamu (dengan orang yang beriman) pada hari ini, wahai orang-orang yang berdosa._

أَلَمْ أَعْهَدْ إِلَيْكُمْ يَا بَنِي آدَمَ أَنْ لا تَعْبُدُوا الشَّيْطَانَ إِنَّهُ لَكُمْ عَدُوٌّ مُبِينٌ – ٦٠

_Bukankah Aku perintahkan kepada kamu wahai anak-anak Adam supaya jangan menyembah syaitan? Sesungguhnya ia musuh yang jelas terhadap kamu!_

وَأَنِ اعْبُدُونِي هَذَا صِرَاطٌ مُسْتَقِيمٌ – ٦١

_Dan hendaklah kamu menyembahKu. Inilah jalan yang lurus_

وَلَقَدْ أَضَلَّ مِنْكُمْ جِبِلا كَثِيرًا أَفَلَمْ تَكُونُوا تَعْقِلُونَ – ٦٢

_Dan sungguh, ia telah menyesatkan sebahagian besar di antara kamu. Maka apakah kamu tidak mengerti?_

? *Tafsir Ringkas:*

1. Setelah menggambarkan layanan istimewa terhadap orang-orang yang soleh di syurga dalam ayat sebelum ini, maka pada ayat ini digambarkan pula layanan yang diterima oleh para pendosa. Ketika itu para penderhaka dan pendosa diasingkan dari orang-orang mukmin. Di akhirat orang-orang soleh dan para pendosa dipisahkan dan tidak bercampur sesama mereka sebagaimana di dunia. Malah ayat ini menggambarkan bahawa para pendosa dihalau agar beredar jauh daripada golongan mukmin. Maka sudah tentu layanan terhadap mereka juga berbeza. Golongan yang soleh mendapat nikmat, manakala golongan berdosa mendapat azab.

2. Antara sebab mereka diasingkan dan dipisahkan ialah kerana mereka masih juga berterusan mengikuti dan terpedaya dengan bisikan syaitan sedangkan Allah SWT telah berpesan dan memerintahkan agar mentaatiNya dan jangan menentang perintahNya. Mereka telah diseru agar menyembah Allah dan mengikuti syariat dan jalan Islam kerana itulah jalan yang lurus.

3. Mereka juga sudah dijelaskan bahawa syaitan itu adalah musuh yang nyata yang sentiasa menyesatkan ramai manusia sebagaimana syaitan juga telah menyesatkan orang-orang yang terdahulu. Malangnya mereka tidak menyedarinya dan tidak pula mengambil pengajaran.

? *Pengajaran:*

1. Ketika mahu melakukan dosa dan maksiat, cubalah bayangkan layanan buruk di akhirat yang akan diterima akibat dari perbuatan kita. Di dunia ini pun kita akan merasa sakitnya jika diberi layanan buruk, dihalau dan diasingkan posisi kita dengan orang lain, lebih-lebih lagi jika kita dibeza-bezakan mengikut darjat, kedudukan, pangkat dan kekayaaan. Kita duduk di tempat yang hina sedangkan orang lain di tempat yang berprestij. Apa perasaan kita?

2. Berusahalah untuk bermujahadah melawan syaitan samada yang sedang menjalar dalam urat nadi kita atau pun syaitan-syaitan berupa manusia yang bersungguh-sungguh merancang untuk menjauhkan umat Islam dari agama serta menyesatkan umat seluruhnya.

3. Teruslah belajar dan mengkaji taktik-taktik syaitan. Ia menjelma dalam banyak wajah yang cukup memperdaya. Jauhi kelompok-kelompok yang budayanya sedang menjalar dalam kehidupan umat yang tanpa disedari kita telah termasuk dalam golongan mereka. Kita tidak perlu mengaku menjadi Yahudi dan Nasrani untuk menjadi pengikut mereka. Cukuplah dengan mengamalkan cara hidup mereka. Kita juga tak perlu menyembah api seperti agama Majusi ataupun tidak menyembah apa-apa seperti Atheis, tapi cukuplah jika kita cenderung dengan gaya hidup bertuhankan materialis dan liberalis, maka dibimbangi kita dan anak-anak cucu kita akan terjerumus dalam perangkap syaitan. Mahukah kita dihalau masuk ke dalam kelompok ini di akhirat kelak?

4. Lindungi diri dengan pelbagai cara dari tipu daya syaitan yang licik yang tidak pernah berhenti walau sesaat memasukkan jarum-jarumnya menyuntik racun penderhakaan ke dalam jiwa manusia. Oleh itu jangan biarkan diri kita alpa dan berlindunglah dengan Allah SWT dengan zikir dan _muraqabatullah_ iaitu usaha mendekati Allah melalui pelbagai jalan yang ditunjuki oleh Nabi SAW.

? *Rujukan:*
Tafsir Ibnu Katsir
Tafsir Munir

Disusun oleh:
*Lajnah Dakwah DMPM dengan kerjasama Ameerah dan Lajnah Dakwah DMPK Gombak.*
_16 November 2018 / 8 Rabiul Awal 1440_