Home Tadabbur Al-Quran

Tadabbur Surah Yassin Siri 13 :

3307
SHARE

? ? Tadabbur Surah Yaasin? ?
_Siri 13_

? Ayat 37: Lagi Bukti Kekuasaan Allah swt: Keunikan Sistem Kawalan Malam dan Siang

? Firman Allah serta terjemahannya:

وَآيَةٌ لَهُمُ اللَّيْلُ نَسْلَخُ مِنْهُ النَّهَارَ فَإِذَا هُمْ مُظْلِمُونَ – ٣٧

_Dan suatu tanda (kekuasaan Allah yang besar) bagi mereka adalah malam; Kami tinggalkan siang dari malam itu, maka dengan serta merta mereka berada dalam kegelapan._

? Tafsir ringkas:

1. Setelah memaparkan kekuasaan Allah SWT dengan fenomena menghidupkan bumi yang mati, maka pada ayat ini dipaparkan pula salah satu keunikan fenomena masa iaitu pada penciptaan malam dan siang.

2. Allah SWT menunjukkan kebesaranNya dengan mencipta malam dan siang serta silih berganti keduanya secara terus menerus. Dialah yang mencipta malam hari dengan cara menanggalkan atau menarik waktu siang dari malam sehingga makhluk berada dalam kegelapan kerana cahaya siang telah sirna. Begitulah kedua-duanya datang secara silih berganti bila mana salah satunya pergi, yang satu lagi terus datang mengantikannya.

3. Kedua-duanya sangat unik dan mempunyai kehebatan tersendiri. Kehebatan malam dengan kegelapannya yang menenangkan dan mendinginkan. Manakala, siang dengan cahayanya yang memancar-mancar penuh keindahan.

4. Gelap atau terang terus memberi manfaat dan kebaikan untuk makhluk di bumi. Dalam kegelapan adalah waktu untuk berehat daripada sebarang aktiviti kehidupan yang memenatkan. Manakala cahaya siang yang bersinar memberi kesenangan untuk bergerak dan bekerja mencari rezeki.

? Pengajaran:

1. Terokailah keluasan ilmu Allah SWT dengan menjejaki manifestasi kekuasaanNya di alam buana ini. Ia adalah saranan daripada Al-Quran yang sering mengajak kita berfikir dan mengambil iktibar dengan kejadian alam agar keimanan dan tauhid terus tertanam kukuh di lubuk hati.

2. Hidupkan budaya tafakur alam dalam wacana-wacana berkaitan aqidah bagi mengenal keagungan Allah Maha Pencipta. Kehebatan fenomena alam yang unik, termasuklah kejadian malam dan siang membuktikan bahawa hanya Allah sahaja yang mampu menciptanya. Maka sudah tentulah tidak layak sama sekali untuk makhluk manusia mempersekutukanNya atau mengambil selain daripadaNya sebagai tuhan dan tempat sandaran. Oleh itu, janganlah kita menyekutukan Allah dengan tuntutan kehidupan dunia yang samar-samar dan sia-sia yang dikejar-kejar selama ini.

3. Pergunakanlah waktu dan isilah ia dengan perkara-perkara yang sesuai dan berfaedah mengikut manual syariat. Allah SWT menjadikan malam supaya manusia boleh berehat, tidur dan mengerjakan ibadat dengan sebaik-baiknya, sesuai dengan kejadian udara malam yang dingin, sejuk, dan tenteram. Maka tidur dan rehat bagi hamba-hambaNya yang beriman tentulah berbeza dengan tidur dan rehat mereka yang tidak beriman dengan Allah SWT. Begitulah pada waktu siang, hamba-hamba Allah yang beriman akan melakukan pelbagai pekerjaan, aktiviti atau urusan yang sejajar dengan peranan kita sebagai hamba Allah SWT. Ia ada ditunjukkan dalam model kehidupan Rasulullah SAW.

4. Ketahuilah bahawa keunikan fenomena siang dan malam juga penting untuk kelangsungan hidup haiwan dan tumbuh-tumbuhan yang juga merupakan nikmat kurniaan Allah untuk memenuhi keperluan hidup kita sebagai manusia.

? Rujukan:
Tafsir Ibnu Kathir
Tafsir Surah Yaasin (TG. Abdul Hadi Hj. Awang)

Disusun oleh:
Lajnah Dakwah DMPM dengan kerjasama Ameerah dan Lajnah Dakwah DMPK Gombak.

_28 September 2018_ / _18 Muharram 1440_