Home Tadabbur Al-Quran

Tadabbur Surah Yaasin Siri 23

80 views
SHARE

📓📓 Tadabbur Surah Yaasin 📓📓
Siri 23

💌 Ayat 69-70: Al-Quran Kalam Allah sebagai Kitab Petunjuk

🖋 Firman Allah serta terjemahannya:

وَمَا عَلَّمْنٰهُ الشِّعْرَ وَمَا يَنْۢبَغِيْ لَهٗ ۗ اِنْ هُوَ اِلَّا ذِكْرٌ وَّقُرْاٰنٌ مُّبِيْنٌ – ٦٩

(Nabi Muhammad bukanlah penyair) dan Kami tidak mengajarkan syair kepadanya, dan kepandaian bersyair itu pula tidak sesuai baginya. Yang Kami wahyukan kepadanya itu tidak lain melainkan nasihat pengajaran dan Kitab Suci yang memberi penerangan;

لِّيُنْذِرَ مَنْ كَانَ حَيًّا وَّيَحِقَّ الْقَوْلُ عَلَى الْكٰفِرِيْنَ – ٧٠

Supaya ia memberi peringatan kepada orang yang sedia hidup (hatinya), dan supaya nyata tetapnya hukuman (azab) terhadap orang-orang yang kufur ingkar.

📖 Tafsir Ringkas:

1. Pada ayat-ayat ini Allah SWT menegaskan bahawa Nabi Muhammad SAW bukanlah seorang penyair. Baginda tidak pandai bersyair malah tidak meminatinya serta tidak menghafal wazan syair. Pernah diceritakan oleh para sahabat, baginda pernah memetik syair daripada seorang penyair. Namun ucapan itu adalah disebut secara kebetulan, tanpa sengaja bertepatan dengan wazan syair.

2. Allah SWT hanya mengajarkan Nabi SAW Al-Quran yang berfungsi untuk memberi penerangan. Perkara ini menjadi dalil menolak tuduhan yang mengatakan bahawa Al-Quran itu adalah syair. Ia juga bukan sesuatu yang dicipta atau direka oleh Nabi Muhammad SAW.

3. Ayat ini juga menjelaskan tujuan Al-Quran diturunkan iaitu sebagai peringatan kepada seluruh makhluk samada yang taat ataupun yang derhaka.

🎀 Pengajaran:

1. Bait-bait indah di dalam Al-Quran bukanlah ciptaan manusia. Apalagi untuk disamakan dengan syair atau pun sajak. Ia adalah kalam Allah SWT yang diwahyukan kepada Nabi Muhammad SAW untuk umat terakhir. Maka, sebagai khalifah di muka bumi ini, kita wajib beriman dengan Al-Quran yang datang dari Allah serta kemukjizatannya.

2. Dalam menjalankan kerja dakwah dan amar makruf nahi mungkar, hendaklah sentiasa menjadikan Al-Quran sebagai sumber rujukan utama kerana di dalamnya sarat dengan panduan dan contoh perjuangan para nabi yang penuh dengan motivasi dan semangat yang tinggi dalam mereka menegakkan kebenaran.

3. Sebagai mukmin, hendaklah berusaha memperdalami ilmu-ilmu selok belok al-Quran agar kita mampu berhujjah dan mempertahankan kesuciannya terutama apabila timbul gerakan-gerakan yang cuba mengelirukan keaslian al-Quran dan apabila terjadinya tohmahan terhadap Islam.

4. Berlumba-lumbalah menjadi pencinta al-Quran yang sering berinteraksi dengannya dalam pelbagai cara samada tilawah, tadabbur, taranum, menghafaz serta menyampaikan isinya dengan amanah.

📚 Rujukan:
Tafsir Ibnu Katsir

Disusun oleh:
Lajnah Dakwah DMPM dengan kerjasama Ameerah dan Lajnah Dakwah DMPK Gombak.
7 Disember 2018 / 29 Rabiul Awal 1440