Home Tadabbur Al-Quran

Tadabbur Surah Yaasin Siri 17

1132
SHARE

?? Tadabbur Surah Yaasin ??
Siri 17

? Ayat 48-50: Peringatan Allah SWT Tentang Hari Kiamat

? Firman Allah serta terjemahannya :

وَيَقُولُونَ مَتَىٰ هَٰذَا الْوَعْدُ إِنْ كُنْتُمْ صَادِقِينَ – ٤٨

Dan (apabila mereka diingatkan tentang huru-hara dan balasan akhirat) mereka bertanya (secara mempersenda): “Bilakah datangnya (hari akhirat) yang dijanjikan itu? Jika betul kamu orang-orang yang benar (maka kami sedia menunggu)!”

مَا يَنْظُرُونَ إِلَّا صَيْحَةً وَاحِدَةً تَأْخُذُهُمْ وَهُمْ يَخِصِّمُونَ -٤٩

Mereka tidak menunggu melainkan satu pekikan yang – (dengan secara mengejut) akan membinasakan mereka semasa mereka dalam keadaan leka bertengkar (merundingkan urusan dunia masing-masing).

فَلَا يَسْتَطِيعُونَ تَوْصِيَةً وَلَا إِلَىٰ أَهْلِهِمْ يَرْجِعُونَ – ٥٠

Maka dengan itu, mereka tidak berpeluang membuat sebarang pesanan (wasiat atau lainnya), dan (kalau mereka berada di luar) mereka tidak sempat kembali kepada keluarganya.

? Tafsir Ringkas :

1. Ayat-ayat dari Surah Yasin ini terus menggambarkan sifat buruk golongan yang ingkar dengan seruan taqwa ketika bencana menimpa serta keengganan berinfaq. Antara sebab mereka bersikap demikian kerana kesombongan dan tidak yakin akan datangnya hari kiamat malah mereka mencabar supaya ia disegerakan dengan nada mencemuh dan mengejek Nabi SAW dan orang mukminin yang bersungguh-sungguh menyeru mereka agar beriman dengan hari akhirat.

2. Maka Allah SWT terus menjawab pertanyaan yang berbentuk cemuhan itu dengan satu ancaman yang menegaskan bahawa mereka tidak akan menunggu lama untuk kedatangan hari kiamat. Hanya dengan satu tiupan sangkakala dari malaikat Israfil sahaja, maka kesemuanya akan dihancurkan dalam keadaaan mereka tidak menyedari. Ketika itu mereka sedang sibuk dengan aktiviti masing-masing seperti saling bersaing, bertengkar dan berniaga sebagaimana hari kebiasaannya dalam keadaan yang lalai dan leka. Sesungguhnya Allah Maha Berkuasa untuk membinasakan kesemuanya dengan satu teriakan sahaja.

3. Sikap manusia ketika itu yang saling bertengkar menunjukkan betapa manusia ketika itu amat buruk akhlaknya. Mereka bersengkata kerana sikap kikir dan tamak terhadap kesenangan dunia dan lalai terhadap urusan hari akhirat.

4. Sesungguhnya apabila tiupan itu terjadi, tiada makhluk yang berkata-kata dan bergerak dari tempatnya. Maka, hilanglah segala kesombongan dari diri mereka sedang mereka kaku dan tidak mampu berbuat apa-apa.

5. Hari kiamat itu akan datang secara cepat dan tiba-tiba sehingga tiada seorang pun yang sempat meninggalkan wasiat atau pesanan buat ahli keluarganya. Di saat itu tiada makhluk yang masih hidup kecuali Allah SWT. Semuanya akan dikumpulkan menanti pembalasan yang sesuai dengan perbuatan mereka.

? Pengajaran :

1. Sebagai seorang hamba, kita tidak seharusnya berlaku sombong dan mencabar kekuasaan Allah serta wajib meyakini akan terjadinya hari kiamat.

2. Kita seharusnya mempersiapkan diri dengan amal ibadah dan menjauhi perkara yang dilarang oleh Allah. Mesti bersiap siaga untuk menghadapi hari kiamat yang boleh datang bila-bila masa sahaja.

3. Kita seharusnya mengambil iktibar daripada pelbagai bencana yang telah berlaku di seluruh dunia seperti bencana yang dahsyat yang benar-benar berlaku di negara-negara di sekeliling kita. Mesti menyakini bahawa ia adalah tanda amaran daripada Allah SWT bahawa hari kiamat itu semakin dekat dan bukan sekadar fenomena bencana alam yang biasa.

4. Para pemimpin negara seharusnya mengambil inisiatif dan langkah yang tegas dalam menghadapi perkara-perkara yang bertentangan dengan ajaran Islam yang cuba disebarkan kepada masyarakat melalui ideologi-ideologi tertentu supaya agama Islam terus terpelihara.

5. Setiap dari kita harus memainkan peranan untuk sentiasa menasihati dan mencegah segala kemungkaran yang berlaku bagi mengelakkan lebih banyak kemurkaan Allah yang menyebabkan turunnya bencana kepada kita.

6. Sentiasalah memperbaharui keimanan kita terhadap hari kiamat. Ia adalah suatu yang pasti, malah telah ditunjukkan tanda-tandanya dengan berlakunya banyak kehancuran alam yang boleh dianggap sebagai kiamat kecil.

? Rujukan :
Tafsir Ibnu Kathir

Disusun oleh :
Lajnah Dakwah DMPM dengan kerjasama Ameerah dan Lajnah Dakwah DMPK Gombak
26 Oktober 2018 / 17 Safar 1440