Home Tadabbur Al-Quran

Tadabbur Surah Yaasin Siri 16

1270
SHARE

??Tadabbur Surah Yaasin??
Siri 16

? Ayat 45-47: Sikap Golongan Kuffar Terhadap Kekuasaan Allah dan Seruan Para Utusan-Nya

? Firman Allah serta terjemahannya:

وَإِذَا قِيلَ لَهُمُ اتَّقُوا مَا بَيْنَ أَيْدِيكُمْ وَمَا خَلْفَكُمْ لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ – ٤٥

Dan apabila dikatakan kepada mereka, “Takutlah kamu akan seksa yang di hadapanmu (di dunia) dan azab yang akan datang (akhirat) agar kamu mendapat rahmat.

وَمَا تَأْتِيهِم مِّنْ آيَةٍ مِّنْ آيَاتِ رَبِّهِم إِلَّا كَانُوا عَنْهَا مُعْرِضِينَ – ٤٦

Dan setiap kali suatu tanda dari tanda-tanda (kebesaran)Tuhan datang kepada mereka, mereka selalu berpaling darinya.

وَإِذَا قِيلَ لَهُمْ أَنفِقُوا مِمَّا رَزَقَكُمُ اللَّهُ قَالَ الَّذِينَ كَفَرُوا لِلَّذِينَ آمَنُوا أَنُطْعِمُ مَن لَّوْ يَشَاءُ اللَّهُ أَطْعَمَهُ إِنْ أَنتُمْ إِلَّا فِي ضَلَالٍ مُّبِينٍ – ٤٧

Dan apabila dikatakan kepada mereka, “Infakkanlah sebahagian rezeki yang diberikan oleh Allah kepadamu,” orang-orang yang kafir itu berkata kepada orang-orang yang beriman (secara mempersenda), “Apakah patut kami memberi makan kepada orang-orang yang jika Allah mahu, Dia akan memberikannya makan? Kamu benar-benar dalam kesesatan yang nyata.”

? Tafsir Ringkas:

1. Setelah memaparkan ayat-ayat tentang keagungan dan kekuasaan Allah SWT yang terbentang di alam ini, didedahkan pula sikap orang-orang kafir yang tetap juga berpaling dari ayat-ayat Allah SWT.

2. Allah SWT menyeru golongan kafir tersebut supaya mengambil iktibar serta berjaga-jaga dari kemurkaan-Nya supaya tidak ditimpakan azab dan bencana di dunia. Juga supaya mereka mengambil pengajaran terhadap ancaman azab akhirat kepada umat-umat terdahulu setelah mendustakan para Rasul. Yang demikian itu supaya mereka mendapat rahmat daripada Allah.

3. Namun mereka tidak mengambil pengajaran, malah menolak ayat-ayat Allah yang mengajak kepada mentauhidkan-Nya dan mendustakan para Rasul walaupun dengan mukzijat yang jelas.

4. Mereka juga tidak membuat penelitian serta tidak mengambil manfaat atas suruhan tersebut. Mereka menolak semua itu dalam bentuk pendustaan dan ejekan.

5. Mereka juga diseru agar memberi derma dari rezeki Allah buat mereka dengan diberikan kepada faqir miskin, namun mereka menempelak orang beriman dengan berkata “Bukankah Allah boleh sahaja memberi harta kepada mereka? Kenapa perlu menyuruh kami memberi harta kami?” Malah mereka menuduh pula bahawa orang beriman itulah yang berada dalam kesesatan yang nyata.

? Pengajaran:

1. Raihlah rahmat Allah SWT dengan sentiasa mengambil iktibar daripada musibah dan bencana yang Allah timpakan di dunia ini sama ada yang berlaku di hadapan mata kita atau yang telah ditimpakan kepada orang-orang terdahulu.

2. Sentiasa bersama-sama dengan golongan yang menerima dan mengimani ayat-ayat Allah. Perhati dan ambillah pengajaran yang boleh membawa diri kita makin beriman dengan Allah serta membenarkan utusan para Rasul Allah.

3. Jika kita tidak menggunakan akal untuk memikirkan, mengamati, mentadabbur isi kandungan Al-Quran serta melihat kebesaran Allah, maka ditakuti kita tergolong sama dalam golongan orang kuffar yang sentiasa menolak tanda kebesaran Allah dan ayat-ayat-Nya.

4. Apabila musibah menimpa atau berlakunya malapetaka, jiwa mukmin hendaklah terus kembali bersandar kepada Allah SWT dengan bertaqwa dan rasa takut (khashyatillah) dengan keperkasaan-Nya.
Adapun proses gangguan alami pada gerakan alam menurut sains hanyalah asbab sahaja, namun kita tidaklah menafikan proses tersebut setelah dibuat kajian yang betul.

5. Tinggalkanlah maksiat, jauhi dosa-dosa dan larangan Allah SWT. Ingatlah Allah, perbanyakkan meminta ampun dan bertaubat serta tingkatkanlah amal ibadah kerana orang beriman akan berbuat demikian setelah mengambil pengajaran dari segala bala bencana yang menimpa.

6. Sambutlah suruhan infaq dengan semangat suka memberi kerana seruan tersebut bukan kerana Allah tidak mampu memenuhi keperluan manusia sebagaimana dakwaan golongan musyrikin, bahkan Allah ingin menguji sikap belas ihsan orang kaya terhadap orang miskin serta sejauh mana kesabaran orang miskin atas ujian kesusahan yang mereka hadapi.

Disebut ‘مما رزقكم الله’ adalah sebagai galakan dalam memberi infaq kerana jika kita memberi apa yang dikurniakan oleh Allah, maka Allah akan datangkan rezeki kedua dan begitulah seterusnya. Selagi kita memberi, selagi itu Allah turut menambah pemberian-Nya. Sebaliknya, Allah mencela orang-orang yang bakhil kerana mereka meninggalkan belas ihsan terhadap sesama manusia (makhluk).

7. Ajari hati untuk bertaqwa terutama ketika ditimpa musibah dan permasalahan hidup. Antara jalan keluar daripadanya sebagaimana yang terkandung dalam inti taqwa ialah membanyakkan istighfar, bersedeqah dan membantu golongan yang memerlukan.

? Rujukan:
Tafsir Al-Munir
Tafsir Sofwah At-Tafasir

Disusun oleh:
Lajnah Dakwah DMPM dengan kerjasama Ameerah dan Lajnah Dakwah DMPK Gombak
19 Oktober 2018 / 10 Safar 1440

SHARE
Previous articleUlasan Awal
Next articleRebut Ganjaran Jaga PAS