Home Tadabbur Al-Quran

Tadabbur Surah Yaasin Siri 14

1341
SHARE

? ? Tadabbur Surah Yaasin ? ?
Siri 14

? Ayat 38-40: Lagi Bukti Kekuasaan Allah SWT: Keajaiban Matahari dan Kejadian Bulan

? Firman Allah serta terjemahannya:

وَالشَّمْسُ تَجْرِي لِمُسْتَقَرٍّ لَهَا ذَلِكَ تَقْدِيرُ الْعَزِيزِ الْعَلِيمِ – ٣٨

Dan matahari berjalan di tempat peredarannya. Demikianlah ketetapan (Allah) Yang Maha Perkasa, Maha Mengetahui.

وَالْقَمَرَ قَدَّرْنَاهُ مَنَازِلَ حَتَّى عَادَ كَالْعُرْجُونِ الْقَدِيمِ – ٣٩

Dan telah kami tetapkan tempat peredaran bagi bulan, sehingga (setelah ia sampai ke tempat peredaran yang terakhir) kembalilah ia seperti bentuk tandan yang tua.

لَا الشَّمْسُ يَنْبَغِي لَهَا أَنْ تُدْرِكَ الْقَمَرَ وَلا اللَّيْلُ سَابِقُ النَّهَارِ وَكُلٌّ فِي فَلَكٍ يَسْبَحُونَ – ٤٠

Tidaklah mungkin bagi matahari mengejar bulan dan malam pun tidak dapat mendahului siang. Masing-masing beredar pada garis edarnya.

? Tafsir Ringkas:

1. Penciptaan bulan dan matahari juga merupakan sebahagian daripada tanda dan bukti keagungan Allah SWT yang melibatkan fenomena siang dan malam iaitu:

i. Matahari berputar di orbitnya sehinggalah di hujung tempat peredarannya

ii. Bulan beredar di tempat-tempat yang telah ditetapkan di sepanjang jalur edarnya.

2. Orbit tempat berputarnya matahari di sebut dalam ayat ini sebagai مُسْتَقَرّ . Ada dua pendapat mengenai makna kalimat ‘limustaqarril laha’:

i. Pendapat pertama: merujuk kepada dimensi ruang/tempat iaitu lokasi matahari yang berada di bawah ‘Arasy yang berhadapan dengan bumi bila dilihat dari arah ‘Arasy. Dengan kata lain, di mana pun matahari berada, ia tetap berada di bawah ‘Arasy; demikian pula semua makhluk lainnya, di mana ‘Arasy menjadi atap bagi kesemuanya.

ii. Pendapat kedua: merujuk kepada dimensi masa iaitu waktu berakhirnya pergerakan matahari pada hari Kiamat kelak.

3. Manakala pergerakan bulan pula ayat menjelaskan, bahawa Allah SWT telah menetapkan tempat-tempat tertentu sebagai jarak-jarak bagi peredaran bulan, sehingga pada setiap jarak tersebut ia mengalami perubahan, baik dalam bentuk dan ukurannya, mahupun dalam kekuatan sinarnya. Tempat-tempat tersebut berjumlah sebanyak dua puluh lapan tempat. Pertama bulan itu muncul dalam keadaan kecil dan cahaya yang lemah. Kemudian ia menjadi bulan sabit dengan bentuk melengkung serta sinar yang semakin terang. Selanjutnya bentuknya semakin sempurna bundarnya, sehingga menjadi bulan purnama dengan cahaya yang sangat terang. Tetapi kemudian makin menyusut, sehingga pada akhirnya ia menyerupai sebuah tandan kering yang berbentuk melengkung dengan cahaya yang memudar, kembali ke kondisi asalnya semula.

4. Berdasarkan pengaturan dan ketetapan Allah ( sunnatullah ) yang berlaku bagi makhluk-makhluk di angkasa itu, maka tidaklah mungkin terjadi perlanggaran di antara matahari dan bulan, dan tidak pula malam mendahului siang. Matahari, bulan dan bumi, masing-masing berjalan (disebut dalam ayat: يَسْبَحُونَ yang bermaksud berenang-renang) sesuai dengan peraturan yang telah ditetapkan. Masing-masing tetap bergerak menurut garis edarnya yang telah ditetapkan Allah baginya. Betapa kecilnya kekuasaan manusia, jika dibanding dengan kekuasaan Allah yang menciptakan dan mengatur perjalanan benda-benda di angkasa itu sehingga tetap berjalan dengan tertib. Manusia telah membuat bermacam-macam peraturan lalu lintas di jalan raya dilengkapi dengan kemudahan yang beraneka ragam. Akan tetapi kemalangan dan kecelakaan lalu lintas tetap terjadi di mana-mana. Semuanya dengan izin Allah.

? Pengajaran:

1. Sebagai hamba yang kerdil, sewajibnya kita menyucikan Allah SWT daripada segala perkara yang boleh menyamakan perbuatan kita dengan orang-orang kafir yang menyembah selain dari Allah SWT. Mereka secara zahir ada yang menyembah matahari dan berhala-berhala yang dibentukkan sama dengan makhluk-makhluk ciptaan Allah yang lain. Begitulah juga kita wajib mensucikan Allah SWT dari segala bentuk-bentuk penyembahan secara abstrak seperti membesarkan hawa nafsu kita, tuntutun-tuntutan duniawi, kuasa-kuasa dari tangan-tangan manusia melebihi dari kekuasaan Allah SWT.

2. Seharusnya kajian al-Quran dan sains mestilah seiring. Teori-teori sains yang dikagumi oleh manusia adakalanya tidak tepat, namun apabila dirujuk al-Quran barulah terserlah hakikat yang sebenar. Contohnya Allah SWT menjelaskan matahari yang turut berpusing dan beredar pada garisan atau landasannya. Ayat ini menolak teori alam yang dipopularkan oleh saintis barat yang menyatakan matahari tidak berpusing, matahari duduk tetap pada tempatnya. Sebetulnya Allah SWT yang Maha Benar. Akal dan teori pengkajian manusia semata-mata belum tentu dapat melihat bagaimana uniknya matahari bergerak, berpusing dan mengelilingi orbit yang ditentukan Allah SWT kepadanya setiap saat.

3. Pergerakan alam semesta yang digambarkan al-Quran wajar direnungi dan menjadi bahan tafakkur jiwa-jiwa yang beriman kerana bilamana kita mengetahui bahawa setiap bintang di cakerawala, pergerakan yang berlaku di atas landasannya inilah yang di namakan Syariat baginya. Semuanya itu tunduk dan taat bergerak dan berjalan di atas ketetapan yang telah ditentukan. Demikianlah manusia juga perlu berjalan di atas landasan yang telah di tetapkan yang dinamakan Syariat sebagaimana yang telah dinyatakan dalam Al Quran. Manusia yang melanggar Syariat samalah seperti matahari atau bulan yang keluar dari landasannya. Binasalah jawabnya kerana Allah SWT menciptakan segala-galanya dengan menggunakan neraca keadilan.

4. Sentiasalah merenung ayat-ayat dan tanda-tanda kebesaran Allah SWT bagi memantapkan keimanan dan melahirkan rasa cinta kita kepada Allah yang mencipta kita daripada tiada apa-apa sehingga kita bijak mengurus diri dan mengatur hidup ini.

5. Basahi bibirmu dan limpahi hatimu dengan kalimah-kalimah yang membesarkan Allah SWT ketika berhadapan dengan alam kerana jika diperhatikan pada benda-benda angkasa lainnya yang jutaan banyaknya, dengan jarak dan besar yang berbeza-beza, serta kelajuan pergerakan yang berbeza, semua berjalan dengan teratur rapi, semua itu akan menambah keyakinan kita tentang besarnya kekuasaan Allah yang menciptakan dan mengatur makhluk-Nya. Dengan memperhatikan semua itu, tak akan ada kata-kata lain yang keluar dari mulut orang yang beriman, selain ucapan “Allahu Akbar! Allah Maha Besar, lagi Maha Besar kekuasaan-Nya”.

? Rujukan:
Tafsir Ibnu Kathir
Tafsir Al-Quran Karim

Disusun oleh :
Lajnah Dakwah DMPM dengan kerjasama Ameerah dan Lajnah Dakwah DMPK Gombak.
5 Oktober 2018 / 25 Muharram 1440