Home Kenyataan Media Dewan Muslimat PAS Malaysia

Tadabbur Surah Yaasin / Siri 08

970
SHARE

Tadabbur Surah Yaasin / Siri 08

Ayat 22-25: Keimanan dan Kesaksian Lelaki Dari Hujung Negeri itu.

Firman Allah serta terjemahannya:

وَمَا لِيَ لَا أَعْبُدُ الَّذِي فَطَرَنِي وَإِلَيْهِ تُرْجَعُونَ (٢٢)

Mengapa aku tidak menyembah (Tuhan) yang telah menciptakan diriku dan yang hanya kepadaNya kamu (semua) akan di­kembalikan?

أَأَتَّخِذُ مِنْ دُونِهِ آلِهَةً إِنْ يُرِدْنِ الرَّحْمَنُ بِضُرٍّ لَا تُغْنِ عَنِّي شَفَاعَتُهُمْ شَيْئًا وَلا يُنْقِذُونِ (٢٣)

Mengapa aku akan menyembah tuhan-tuhan selain­Nya jika (Allah) Yang Maha Pemurah menghendaki kemudaratan terhadapku, niscaya syafaat mereka tidak memberi manfaat sedikit pun bagiku dan mereka tidak (pula) dapat menyelamatkanku?

إِنِّي إِذًا لَفِي ضَلالٍ مُبِينٍ (٢٤)

Sesungguhnya aku kalau begitu pasti berada dalam kesesatan yang nyata.

إِنِّي آمَنْتُ بِرَبِّكُمْ فَاسْمَعُونِ (٢٥)

Sesungguhnya aku telah beriman kepada Tuhanmu; maka dengarkanlah (pengakuan keimanan)ku.

Tafsir ringkas:

1. Setelah bergegas menyatakan sokongan dan pembelaan terhadap para utusan Allah, lelaki dari hujung negeri itu terus mendatangkan sebab dan hujah kenapa beliau berada di pihak utusan-utusan tersebut. Antaranya:

i. Hanya Allah yang mencipta dirinya. Tiada sebab dan alasan yang menghalangi dirinya untuk tidak mengikhlaskan penyembahan kepadaNya.

ii. Tiada manfaat apa pun untuk dia menyembah tuhan-tuhan selain Allah. Hanya Allah SWT sahaja yang Maha berkuasa, Maha memberi mudharat, memberi syafaat dan memberi pertolongan. Segala buruk dan baik yang menimpa makhluk hanyalah dengan izinNya. Tuhan-tuhan ciptaan manusia atau berhala-berhala tidak mampu berbuat apa-apa pun.

2. Seterusnya beliau menegaskan pengakuannya dan kesaksiannya:

i. bahawa adalah satu kesesatan yang nyata jika dia menjadikan tuhan-tuhan selain Allah sebagai sembahan.

ii. bahawa sesungguhnya dia beriman kepada Allah dan mengikuti ajaran yang benar. Ini adalah kesaksiannya kepada para utusan Allah SWT.

3. Menurut riwayat dari Ibnu Abbas r.a, setelah lelaki tersebut membuat pengakuan di hadapan orang ramai, maka kaumnya datang menyerang dan tidak ada siapa yang membelanya. Qatadah menyatakan bahawa lelaki tersebut direjam dengan batu sehingga meninggal dunia dengan lidahnya tidak berhenti berdoa “Ya Allah, berilah kaumku petunjuk, kerana sesungguhnya mereka tidak mengetahui”.

Pengajaran:

1. Hidup ini hanya bermatlamat kepada Allah SWT. Jangan terlalu leka dengan dunia; kadang-kadang kita lupa meletakkan Allah SWT yang paling utama.

2. Hanya Allah SWT yang layak disembah tiada sekutu bagiNya dalam setiap aspek kegiatan hidup yang diceburi. Dan segala amal kebaikan dan keburukan yang kita lakukan pasti akan dibalas di akhirat kelak. Inilah aqidah kita.

3. Kita perlu sentiasa peka dan cakna dengan isu-isu dan masalah ummah yang bersifat tempatan mahupun luar negara.

4. Sentiasa merujuk orang-orang berilmu iaitu ulama yang berautoriti, dalam menerima perkara yang berkait dengan aqidah antaranya pemikiran- pemikiran asing dan gerakan-gerakan yang mengelirukan seperti plurarisme, liberalisma, gerakan LGBT atau apa jua jenama yang diangkat atas nama hak asasi manusia yang menyimpang dari al-Quran.

5. Wajib bersungguh-sungguh menyampaikan dan mempertahankan kebenaran sekalipun ia akan memberi kesan yang negatif kepada diri kita apabila kita sampaikan perkara yang benar. “Berani kerana benar”.

6. Sebarang penyimpangan hendaklah dijelaskan dengan jujur dan segera tanpa bertangguh dengan pelbagai alasan, mengambil semangat lelaki dari hujung kota tersebut.

Rujukan:
Tafsir Ibnu Kathir

Disusun oleh:
Lajnah Dakwah DMPM dengan kerjasama Ameerah dan Lajnah Dakwah DMPK Gombak.
24 Ogos 2018 / 12 Zulhijjah 1439