Home Kenyataan Media Dewan Muslimat PAS Malaysia

Tadabbur Surah Yaasin / Siri 07

724
SHARE

?? Tadabbur Surah Yaasin ??
Siri 07

? Ayat 20-21: Kemunculan lelaki dari hujung negeri yang menyokong dan membenarkan para utusan Allah

? Firman Allah serta terjemahannya:

وَجَاءَ مِنْ أَقْصَى الْمَدِينَةِ رَجُلٌ يَسْعَىٰ قَالَ يَا قَوْمِ اتَّبِعُوا الْمُرْسَلِينَ (.٢)

Dan datanglah dari hujung kota, seorang laki-laki dengan bergegas dia berkata, “Wahai kaumku! Ikutilah utusan-utusan itu.

اتَّبِعُوا مَن لَّا يَسْأَلُكُمْ أَجْرًا وَهُم مُّهْتَدُونَ (٢١)

Ikutilah orang-orang yang tidak meminta imbalan kepadamu, dan mereka adalah orang-orang yang mendapat petunjuk.

? Tafsir ringkas:

1. Ibnu Ishaq dalam riwayatnya mengatakan penduduk negeri tersebut hampir saja membunuh utusan-utusan Allah kepada mereka, lalu datanglah seorang laki-laki dari pinggir kota bergegas menyatakan sokongan dan mempertahankan rasul-rasul tersebut dari ancaman kaumnya.

2. Lelaki tersebut dipercayai bernama Habib Al- Najjar. Beliau segera tampil ke hadapan untuk membela para rasul tersebut walaupun beliau bukanlah orang ternama, dikenali, berpengaruh mahupun ulama’.

3. Ayat ini menggambarkan beliau seorang lelaki yang aktif menyokong perjuangan para rasul serta pengikut yang tegar dan suka berkongsi; iaitu berkongsi rasa kemanisan iman dengan kaumnya.

4. Lelaki ini juga menjelaskan utusan-utusan Allah itu tidak sekali pun mengharapkan balasan dan upah malah utusan itu mengajak mereka ke arah kebenaran dengan ikhlas.

? Pengajaran:

1. Kita hendaklah menerima dan mengikuti kebenaran yang datang tanpa mengira siapa pembawa kebenaran tersebut, sama ada orang tersebut mempunyai kekuasaan, pengaruh dan kedudukan ataupun tidak.

2. Kita sepatutnya menyelidik berita yang dibawa agar kita tidak mudah membina persepsi walaupun dengan orang yang tidak kita kenali.

3. Kebenaran boleh dimiliki oleh sesiapa, orang yang tinggi atau rendah darjatnya di mata kasar manusia seperti lelaki yang datang dari hujung kota tersebut.

4. Kita hendaklah tetap berada pada jalan yang benar walaupun tidak mendapat sokongan daripada kebanyakan orang setelah meyakini kebenaran itu.

5. Miliki sikap cintakan yang hak dan cintakan ulama yang benar kerana mereka adalah pewaris nabi dan sentiasalah berada di pihak yang membela kebenaran.

6. Dalam berhadapan dengan cabaran pemikiran dan fitnah akhir zaman, umat Islam hari ini mestilah menjadi benteng yang kuat dalam mempertahankan kemuliaan Rasulullah SAW dari didustakan dan dihinakan.

? Rujukan:
Tafsir Ibnu Kathir

Disusun oleh:
Lajnah Dakwah DMPM dengan kerjasama Ameerah dan Lajnah Dakwah DMPK Gombak.
17 Ogos 2018 / 5 Zulhijjah 1439