Home Artikel PAS Wilayah

DUN SERI SETIA: DR. HALIMAH CALON PILIHAN RAKYAT

231 views
SHARE

Kenyataan Media,
Badan Perhubungan PAS Wilayah Persekutuan

DUN SERI SETIA: DR. HALIMAH CALON PILIHAN RAKYAT

1. Selangor merupakan sebuah negeri yang tidak asing buat rakyat di Wilayah Persekutuan. Bahkan hubungan antara Wilayah Persekutuan dan Selangor sangat rapat dan erat. Bukan sekadar pada geografinya, bahkan pada sejarahnya.

2. Kini DUN Seri Setia memukul gendang Pilihanraya Kecil (PRK) yang akan diadakan pada 8 September ini. Ia merupakan pilihanraya kecil yang ketiga bakal berlangsung selepas PRU ke-14 yang lalu. Lebih menarik lagi, ketiga-tiga PRK ini berlaku di negeri Selangor.

3. Bagi blok pembangkang, PAS satu-satunya calon yang dihantar bagi berhadapan dengan Pakatan Harapan yang mengetuai kerajaan pusat dan kerajaan Selangor. Sekalipun pilihanraya ini tidak memberi kesan yang sangat besar sehingga bertukarnya kerajaan negeri, namun ia sangat signifikan buat seluruh penduduk Seri Setia khususnya dan rakyat Malaysia amnya.

4. Pilihanraya Kecil DUN Seri Setia amat penting bagi menghantar isyarat yang jelas terhadap pentadbiran kerajaan yang begitu angkuh dan lupa diri sehingga meminggirkan kebajikan dan kesejahteraan hidup rakyat. Bahkan laungan manifesto 100 hari kerajaan Pakatan Harapan hanya tinggal janji manis yang telah berkudis. Keputusan-keputusan yang dibuat oleh kerajaan PH menunjukkan secara jelas mereka tidak mempedulikan rakyat. Lebih buruk lagi apabila cadangan yang disuarakan oleh para menteri PH sengaja menghina rakyat.

5. Kini, seluruh rakyat melihat dan merasai bebanan kos sara hidup yang semakin melambung tinggi. Penghapusan cukai GST bukan sahaja tidak mampu menurunkan harga barang, bahkan penindasan terhadap rakyat terus berjalan dengan pelaksanaan cukai SST kelak. Hasilnya, rakyat tetap ditekan dan diperah kerana terpaksa membayar kos lebihan melalui cukai SST juga yang dikenakan diatas pengeluar serta pengilang yang menjadi harga barangan serta perkhidmatan lebih mahal.

6. Menyedari hakikat ini, PAS menyeru seluruh PENGUNDI DUN SERI SETIA agar keluar mengundi dan memilih calon daripada PAS, iaitu Dr. Halimah binti Ali. Seorang calon yang berjaya mempamerkan rekod kerja cemerlang semasa menjadi ADUN dan menjawat jawatan Exco Kerajaan Negeri Selangor sebelum ini. Selain itu, beliau merupakan tokoh masyarakat yang sentiasa bersama dengan denyut nadi rakyat. Seorang calon yang mampu bergembira dan menangis bersama rakyat.

7. Oleh yang demikian, PAS Wilayah Persekutuan menegaskan bahawa hanya Dr. Halimah sahaja calon yang layak dipilih dalam PRK Seri Setia dan mampu memberi khidmat bakti kepada seluruh rakyat terutamanya di DUN Seri Setia.

Terus Khidmat Demi Rakyat

Haji Mohamad Noor bin Mohamad
Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan
17 Ogos 2018