?? Tadabbur Surah Yaasin ??
Siri 06
? Ayat 18-19: Dialog & Perdebatan antara Penduduk Negeri (Al-Qaryah) dengan Para Utusan Allah – Bahagian II
? Firman Allah serta terjemahannya:
قَالُوٓاْ إِنَّا تَطَيَّرۡنَا بِكُمۡۖ لَٮِٕن لَّمۡ تَنتَهُواْ لَنَرۡجُمَنَّكُمۡ وَلَيَمَسَّنَّكُم مِّنَّا عَذَابٌ أَلِيمٌ۬ ١٨
Penduduk bandar itu berkata pula: “Sesungguhnya kami bernasib malang kerana kamu. Demi sesungguhnya, jika kamu tidak berhenti (menyeru kami), nescaya kami akan merejam kamu dan kamu pasti akan merasai seksaan yang pedih daripada kami”.
قَالُواْ طَـٰٓٮِٕرُكُم مَّعَكُمۡۚ أَٮِٕن ذُڪِّرۡتُمۚ بَلۡ أَنتُمۡ قَوۡمٌ۬ مُّسۡرِفُونَ ١٩
Rasul-rasul itu menjawab: “Nahas dan malang kamu itu adalah disebabkan (kekufuran) yang ada pada kamu. Patutkah kerana kamu diberi peringatan dan nasihat pengajaran (maka kamu mengancam kami dengan apa yang kamu katakan itu)? (Kamu bukanlah orang-orang yang mahu insaf) bahkan kamu adalah kaum pelampau”.
? Tafsir ringkas:
1. Penduduk negeri tersebut terus ingkar terhadap dakwah para utusan Allah itu malah menuduh mereka dengan pelbagai tuduhan dan dakyah.
2. Antara tuduhannya, para utusan Allah itu adalah pembawa sial yang menyebabkan rakyat negeri itu berpecah belah akibat terpengaruh dengan ajakan rasul-rasul dan ajaran itu pula jauh menyimpang dari ajaran nenek moyang mereka.
3. Dakyah yang mengatakan ajaran rasul itu membawa sial dan kerosakan itu hanya fitnah semata-mata tanpa mereka dapat mengemukakan dengan bukti dan fakta. Pendek kata, inilah cara mereka berhujah dengan orang-orang yang membawa Islam.
4. Fitnah dan dakyah itu disusuli pula dengan ugutan dan ancaman untuk menyakiti para utusan itu.
5. Walaupun para rasul sering didustakan dan diancam dengan pebagai ancaman dan ugutan, mereka tetap tidak berganjak dan menjawab bahawa kesialan yang orang kafir dakwa kononnya datang bersama-sama nabi dan rasul yang berdakwah kepada mereka adalah salah. Sebaliknya orang kafir itu tidak sedar bahawa kekafiran yang ada pada diri merekalah yang menyebabkan mereka menjadi sial.
6. Allah menjelaskan kepada semua manusia terutamanya yang membenci para pendakwah agar mereka jangan terlalu mudah meletakkan tohmahan dan ‘kesialan’ itu kepada orang lain. Padahal, sebaliknya ia adalah berpunca dari diri mereka sendiri yang menolak kebenaran.
? Pengajaran:
1. Antara cabaran yang mesti dihadapi oleh para pejuang agama Allah ialah orang kafir akan sentiasa dan segera menuding jari kepada Islam terhadap apa-apa perkara buruk yang terjadi kepada mereka walaupun tanpa fakta dan bukti. Mereka tidak sedar bahawa perkara buruk yang berlaku ke atas mereka itu adalah kerana perbuatan mereka sendiri.
2. Untuk meneruskan dakwah para nabi, mungkin kita terpaksa melalui kepayahan sebagaimana mereka juga. Mungkin perjuangan ini akan menerima ugutan dan ancaman bagi mematahkan usaha yang mulia ini. Justeru itu para pendakwah dan pejuang Islam haruslah membuat persiapan mental, fizikal dan ilmu bagi menghadapi golongan yang menentang agama ini.
3. Jangan putus asa dan merasa takut selagi mana kita berada di atas jalan yang benar. Jangan juga merasa jemu untuk menerang yang makruf dan menyebar kebenaran.
4. Teruskan bersuara dengan hujah yang benar bagi menegak yang hak. Jangan biarkan musuh Islam terus mencabul kesucian Islam sehari demi sehari tanpa pembelaan yang sewajarnya.
? Rujukan:
Tafsir At-Tibyan
Disusun oleh:
Lajnah Dakwah DMPM dengan kerjasama Ameerah dan Lajnah Dakwah DMPK Gombak
10 Ogos 2018 / 28 Zulkaedah 1439