Home Tadabbur Al-Quran

Tadabbur Surah As-Sajdah : Siri 7

5433
SHARE

?? Tadabbur Surah As-Sajdah ??
Siri 7
Ayat: 15-16: Akhlak Orang-Orang Mukmin di Dunia

? Firman Allah serta terjemahannya:

إِنَّمَا یُؤۡمِنُ بِـَٔایَـٰتِنَا ٱلَّذِینَ إِذَا ذُكِّرُوا۟ بِهَا خَرُّوا۟ سُجَّدًا وَسَبَّحُوا۟ بِحَمۡدِ رَبِّهِمۡ وَهُمۡ لَا یَسۡتَكۡبِرُونَ ۩ – ١٥

Sesungguhnya yang sebenar-benar beriman kepada ayat-ayat keterangan Kami hanyalah orang-orang yang apabila diberi peringatan dan pengajaran dengan ayat-ayat itu, mereka segera merebahkan diri sambil sujud (menandakan taat patuh), dan menggerakkan lidah dengan bertasbih serta memuji Tuhan mereka, dan mereka pula tidak bersikap sombong takbur.

تَتَجَافَىٰ جُنُوبُهُمۡ عَنِ ٱلۡمَضَاجِعِ یَدۡعُونَ رَبَّهُمۡ خَوۡفًا وَطَمَعًا وَمِمَّا رَزَقۡنَـٰهُمۡ یُنفِقُونَ – ١٦

Mereka merenggangkan diri dari tempat tidur, (sedikit sangat tidur, kerana mengerjakan sembahyang tahajjud dan amal-amal soleh); mereka sentiasa berdoa kepada Tuhan mereka dengan perasaan takut (akan kemurkaan-Nya) serta dengan perasaan ingin memperolehi lagi (keredhaan-Nya); dan mereka selalu pula mendermakan sebahagian dari apa yang Kami beri kepada mereka.

? Tafsir ringkas:

1. Setelah digambarkan golongan yang berdosa yang menerima azab dan penyesalan pada ayat yang lalu, seterusnya dipaparkan pula sifat dan akhlak golongan yang beriman dengan ayat- ayat Allah. Merekalah mukmin sejati yang berbeza benar dengan golongan orang yang jahil dan derhaka.

2. Ciri-ciri yang ada pada golongan yang beriman dengan ayat-ayat Allah ialah mereka menerima apa sahaja yang terkandung dalam al-Quran, yang berupa hukum hakam, perintah dan peringatan:

i. Dengan penuh ketaatan dan ketundukan

ii. Dengan bertasbih mensucikan Allah dan memuji-muji-Nya

iii. Dengan penuh tawadhuk, rendah hati dan tidak menyombong diri

2. Amalan mereka adalah:

i. Sentiasa bangun malam berqiyamullail, mengerjakan solat-solat sunat dan kurang tidur semata-mata untuk bangkit beribadah pada-Nya di malam hari serta memperbanyak doa dan munajat di hadapan Allah.

ii. Sentiasa mengeluarkan harta dengan bersedekah dan berkongsi kesenangan dengan orang lain.

3. Inilah sifat dan akhlak orang-orang yang takut dengan siksaan Allah dan terus berharap pahala yang melimpah dari-Nya.

? Pengajaran:

1. Ukurlah keimanan kita dengan membandingkan sikap dan amalan kita dengan golongan yang digambar dalam surah as-Sajdah ini. Bagaimana sikap kita di hadapan ayat-ayat Allah. Sudahkan Al-Quran diamalkan di segenap kehidupan kita?

2. Koreksi diri dan masyarakat kita hari ini. Sejauhmana al-Quran menjadi tumpuan kita dalam mendapatkan solusi kehidupan yang berkaitan dengan ekonomi, politik dan kemasyarakatan. Adakah ada sumber lain yang menjadi rujukan utama kita yang berupa akhbar-akhbar dan media-media serta teknologi maklumat yang dimonopoli oleh golongan kuffar dan sekular.

3. Sibukkan diri dengan al-Quran dan medium keilmuan yang berpandukan al-Quran. Perbanyak membaca buku-buku dan tulisan-tulisan yang mendekatkan kita kepada Allah SWT.

4. Sentiasa berhemah, menapis dan tabayyun (mengesahkan kebenaran) maklumat atau ilmu yang diterima melalui media teknologi. Jangan lalai dan terjebak dengan kegalakan medsos serta terpedaya dengan berita yang tidak diketahui kesahihannya apalagi yang berunsur fitnah dan adu domba.

5. Jadualkan perjalanan waktu sepanjang hari dengan perancangan para muqarrabin. Sudah tentu jadual mereka sentiasa disusun ke arah untuk mendekatkan diri dengan Allah SWT. Sepanjang hari ada zikir dan tasbih, ada tilawah, ada usaha bekerja mencari nafkah dengan hasrat rezeki yang Allah kurniakan dapat dirasai oleh keluarga serta orang-orang yang memerlukan. Pada malam hari pula menjadi hamba yang tunduk dan sujud dalam ibadat qiamnya.

? Rujukan:
Tafsir Ibnu Kathir

Disusun oleh:
Lajnah Dakwah DMPM dengan kerjasama Ameerah dan Lajnah Dakwah DMPK Gombak
1 Mac 2019 / 24 Jamadil Akhir 1440