Home Artikel PAS Sabah

Umat Islam Sabah bantah penghinaan terhadap Rasulullah SAW.

2681
SHARE

Oleh : Muhammad Salman Darwis.
1 Mac 2019.

SANDAKAN : Umat Islam di daerah ini telah mengadakan himpunan aman bagi membantah penghinaan yang dilakukan oleh pihak tertentu terhadap Nabi Muhammad SAW.

Himpunan yang diadakan usai solat jumaat hari ini di perkarangan Masjid Daerah Sandakan itu telah dianjurkan oleh Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah dengan kerjasama beberapa badan bukan kerajaan.

Antara badan bukan kerajaan yang terlibat ialah Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA), Persatuan Gabungan Maahad-Maahad Tahfiz Bahagian Sandakan, Pertubuhan Lang Merah Sejagat, Majlis Ta’alim Al-Asyairah termasuk UMNO Bahagian Libaran.

Berucap semasa himpunan, Timbalan Pesuruhjaya III PAS Sabah, Sahar Abdul Majid menegaskan agar pihak yang berkenaan memohon maaf secara terbuka kepada seluruh umat Islam kerana sengaja mengguris perasaan mereka.

Sementara itu, Ketua Pemuda UMNO Libaran, Rizan Aziz mengajak umat Islam agar bersatu atas dasar persaudaraan sesama Islam dan menolak sentimen perkauman dan permusuhan agama seumpama ini.

Unjuk rasa yang berakhir dengan aman itu turut diadakan serentak di seluruh negeri Sabah termasuk di Masjid Negeri Sabah, Kota Kinabalu, Masjid Al-Kauthar, Tawau, Masjid Daerah Kunak, Kunak, Masjid As-Salam, Semporna dan beberapa masjid lain.