?? Tadabbur Surah As-Sajdah ??
Siri 4
Ayat: 7-9: Bukti Kasih Sayang dalam Penciptaan Manusia
? Firman Allah serta terjemahannya:
الَّذِي أَحْسَنَ كُلَّ شَيْءٍ خَلَقَهُ وَبَدَأَ خَلْقَ الإنْسَانِ مِنْ طِينٍ – ٧
Yang membuat segala sesuatu yang Dia ciptakan sebaik-baiknya dan Yang memulai penciptaan manusia dari tanah.
ثُمَّ جَعَلَ نَسْلَهُ مِنْ سُلالَةٍ مِنْ مَاءٍ مَهِينٍ – ٨
Kemudiaan Dia menjadikan keturunannya dari sari pati air yang hina (air mani).
ثُمَّ سَوَّاهُ وَنَفَخَ فِيهِ مِنْ رُوحِهِ وَجَعَلَ لَكُمُ السَّمْعَ وَالأبْصَارَ وَالأفْئِدَةَ قَلِيلا مَا تَشْكُرُونَ – ٩
Kemudian Dia menyempurnakan dan meniupkan ke dalam tubuh (nya) roh ciptaan(Nya) dan Dia menjadikan bagi kamu pendengaran, penglihatan dan hati; (tetapi) kamu sedikit sekali bersyukur.
? Tafsir ringkas:
1. Allah SWT menciptakan segala sesuatu (termasuk langit, bumi & manusia) dengan sebaik-baiknya dan serapi-rapinya.
2. Dia juga memulakan penciptaan manusia (Nabi Adam) daripada tanah.
3. Seterusnya Allah menjadikan manusia berkembang biak melalui nutfah (air mani) yang dipandang hina. Ada yang menafsirkan mahiin sebagai air yang lemah.
4. Ketika Allah mencipta Nabi Adam daripada tanah, Dia menciptakannya dengan ciptaan yang sempurna lagi utuh.
5. Allah kemudiaannya meniupkan roh ke dalam tubuh ciptaannya iaitu manusia dan memberinya deria pendengaran, penglihatan serta hati iaitu akal.
6. Ketiga-tiga pemberian ini adalah tanda kasih sayang Allah yang sepatutnya disyukuri namun hanya sedikit sahaja yang bersyukur kepada-Nya.
7. Orang-orang yang berbahagia ialah orang yang menggunakan pendengaran, penglihatan & hati untuk ketaatan kepada Allah.
? Pengajaran:
1. Hakikat yang wajib disedari oleh kita ialah bahawa asal kejadian manusia adalah sebaik-baik penciptaan yang Allah kurniakan pada alam ini. Apa-apa yang dilihat kurang @ tidak baik pada pandangan mata kita sebagai manusia hanyalah kerana kita tidak mengetahui hikmah di sebaliknya. Bersyukurlah apa adanya pada diri kita.
2. Janganlah kita angkuh dengan keturunan, pangkat dan lain-lain kerana asal keturunan setiap manusia (selain Adam) semuanya sama, iaitu daripada air mani yang mahiin (hina, lemah).
3. Allah menjadikan pendengaran & penglihatan untuk kita menghubungkan diri kita dengan alam sekeliling. Bawalah hasil keduanya ke dalam hati kita supaya menginsafi kebesaran dan kebenaran Allah.
4. Gunakanlah pendengaran, penglihatan & hati (akal) kita untuk bersyukur kepada Allah dengan cara mentaati-Nya, nescaya kita akan berbahagia.
5. Apabila Allah menyebut hati, bermakna kita berkewajipan menghidupkannya. Hati inilah yang akan dibawa semula bertemu dengannya. Mana milik kita? Kalau Allah tidak memberikannya kepada kita, kita tidak punya apa-apa.
? Rujukan:
Tafsir Ibnu Katsir
Tafsir Al-Azhar
Disusun oleh:
Lajnah Dakwah DMPM dengan kerjasama Ameerah dan Lajnah Dakwah DMPK Gombak.
8 Feb 2019 / 3 Jamadil Akhir 1440