Home Artikel PAS Pulau Pinang

Konvensyen Pilihanraya 2.0 PAS Pulau Pinang

205 views
SHARE

Oleh : UMMU AL – FATEH

KEPALA BATAS: Jentera Pilihanraya PAS Pulau Pinang dalam Konvensyen Pilihanraya PAS 2.0 peringkat negeri, telah berikrar untuk berjihad memastikan kemenangan PAS dalam PRU 15 mahupun pada mana-mana PRK yang diadakan selepas ini.

Konvensyen yang telah berlangsung pada 6 Februari 2019 di Markaz Tarbiyah PAS Negeri, Pongsu Seribu dihadiri oleh 200 peserta dari Jabatan Pilihanraya Negeri, Jabatan Pilihanraya Pemuda Negeri, Jabatan Pilihanraya Muslimat Negeri, Jabatan Pilihanraya Ulama Negeri serta jentera pilihanraya dari kawasan-kawasan.

Tuan Bukhori Ghazali Pengarah Jabatan Pilihanraya PAS Negeri Pulau Pinang, dalam ucapannya menjelaskan objektif konvensyen ini ialah sebagai medan muhasabah, membina momentum gerak kerja yang lebih bersepadu serta meneroka nilai tambah bagi memantapkan syiar Islam.

Beliau secara bersungguh-sungguh mengajak semua peringkat jentera pilihanraya untuk melaksanakan transformasi gerak kerja serta memaksimumkan faktor kemenangan antaranya dengan membuka kaunter SPR dalam usaha meningkatkan daftar pemilih secara berterusan.

Melalui pembentangan postmortem serta SWOT dari jabatan pilihanraya pemuda, muslimat dan jentera pilihanraya kawasan-kawasan yang bertanding dalam PRU 14 yang lalu, didapati antara pendekatan yang perlu digiatkan ialah melalui program dialog, sembang santai, dan fb live yang mampu menarik minat masyarakat terutamanya generasi muda.

Di samping itu, PAS hendaklah berhati-hati dengan ancaman dari Gen Z yang sikap mereka berubah-ubah serta cepat membuat sesuatu keputusan mengikut suasana tanpa berfikir secara bijak terlebih dahulu. Ini menyebabkan mereka mudah terkesan dengan fitnah mahupun persepsi yang tersebar melalui media massa.

Mengulas postmortem pilihanraya, Hussain Sazlan Timbalan Pengarah JPrNPP telah menyeru para peserta konvensyen untuk meningkatkan aktiviti ziarah para pengundi dan mengajak mereka untuk turut serta bersama dalam program-program anjuran PAS.

Beliau turut menekankan kepentingan setiap cawangan berfungsi sepenuhnya sama ada muslimin, muslimat mahupun pemuda di samping beliau menjelaskan program pengisian rohani hendaklah dilaksanakan secara berterusan merangkumi pengisian ilmu dan tarbiah.

Sementara itu, Ustaz Muhammad Fauzi dalam ucapan perasmian penutup mengingatkan janji Allah kepada orang yang beriman dan beramal soleh bahawa Allah akan menjadikan mereka sebagai khalifah di atas muka bumi.