Home Tadabbur Al-Quran

Tadabbur Surah As-Sajdah : Siri 12

1479
SHARE

?? Tadabbur Surah As-Sajdah ??
Siri 12
Ayat: 23-25 : Hubungan Risalah Nabi Musa AS dengan Risalah Nabi Muhammad SAW

? Firman Allah serta terjemahannya:

وَلَقَدْ آتَيْنَا مُوسَى الْكِتَابَ فَلَا تَكُنْ فِي مِرْيَةٍ مِنْ لِقَائِهِ ۖ وَجَعَلْنَاهُ هُدًى لِبَنِي إِسْرَائِيلَ

Dan demi sesungguhnya! Kami telah memberi kepada Nabi Musa Kitab (Taurat), maka janganlah engkau ragu-ragu menerimanya (al-Quran); dan Kami jadikannya (Kitab Taurat) itu hidayah petunjuk bagi kaum Bani Israel.

وَجَعَلْنَا مِنْهُمْ أَئِمَّةً يَهْدُونَ بِأَمْرِنَا لَمَّا صَبَرُوا ۖ وَكَانُوا بِآيَاتِنَا يُوقِنُونَ

Dan Kami jadikan dari kalangan mereka beberapa pemimpin, yang membimbing kaumnya kepada agama Kami, selama mereka bersikap sabar serta mereka tetap yakin akan ayat-ayat keterangan Kami.

إِنَّ رَبَّكَ هُوَ يَفْصِلُ بَيْنَهُمْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ فِيمَا كَانُوا فِيهِ يَخْتَلِفُونَ

Sesungguhnya Tuhanmu Dialah yang akan memutuskan hukum-Nya di antara mereka pada hari kiamat, mengenai apa yang mereka perselisihkan.

? Tafsir ringkas:

1. Pada ayat ini, Allah SWT hendak menegaskan bahawa tujuan diturunkan al-Kitab adalah untuk memberi panduan dan peringatan kepada manusia. Kerana itu jugalah umat terdahulu seperti umat Nabi Musa pun diberikan panduan dan peringatan kepada mereka melalui al-Kitab juga. Oleh yang demikian penurunan kitab bukanlah suatu perkara baru dan bukan pula model baru dan pertama di antara para nabi. Ini menjelaskan lagi bahawa terdapat hubungan yang erat di antara kedua-dua risalah samada misi dan tugas rasul dalam membimbing umat masing-masing.

2. Ayat ini juga bermaksud memberi motivasi dan hiburan kepada Nabi Muhammad SAW agar terus teguh dan sabar setelah digambarkan bahawa Nabi Musa juga menghadapi cabaran dalam berhadapan dengan penentangan kaumnya dan dalam mengharungi ujian berdakwah. Justeru itulah Nabi Muhammad diseru agar jangan merasa ragu dalam menerima Kitab al-Quran sebagaimana Nabi Musa telah menerima Kitab Taurat itu. Sebagaimana Taurat adalah sebagai petunjuk kepada Bani Israil, maka al-Qur’an juga adalah sebagai petunjuk dan sebagai rahmat kepada umat Nabi Muhammad SAW.

3. Kalimah ( لِّقَائِهِ ) juga boleh bermaksud jangan ragu-ragu tentang pertemuan dengan Nabi Musa. Allah hendak memberitahu kepada Nabi Muhammad yang baginda pasti akan bertemu dengan Nabi Musa nanti. Dan memang dalam satu hadith tentang isra’ mi’raj, Nabi Muhammad telah bertemu dengan Nabi Musa AS. Nabi Musa lah yang menasihatkan Nabi Muhammad supaya minta dikurangkan jumlah solat daripada 50 waktu. Nabi telah berkali-kali turun dan naik antara Nabi Musa dan Allah sehinggalah waktu solat sehari semalam telah dikurangkan kepada 5 waktu sahaja sekarang.

4. Ayat seterusnya menerangkan bahawa Taurat terus diamalkan dan menjadi petunjuk oleh umat Nabi Musa serta pemimpin-pemimpin dari kalangan Bani Israil. Mereka bersabar dalam menjalankan perintah-perintah Allah, meninggalkan larangan-larangan-Nya, membenarkan rasul-rasul-Nya, dan mengikuti petunjuk yang dibawakan oleh para rasul kepada mereka. Maka Allah menjadikan mereka pemimpin-pemimpin yang memberi petunjuk kepada kebenaran dengan perintah Allah, menyeru kepada kebaikan, memerintahkan kepada kebajikan, serta mencegah kemungkaran.

5. Namun kemudian setelah mereka mengganti, mengubah, serta mentakwilkan ayat-ayat Allah (dengan takwilan yang menyimpang), maka dicabutlah kedudukan itu dari mereka dan jadilah hati mereka keras. Mereka mengubah-ubah kalimah-kalimah Allah dari tempat-tempatnya, maka tiada lagi amal yang soleh dan tiada akidah lagi yang benar pada mereka. Maka pada ayat 25, Allah SWT menyatakan akan memberi keputusan di antara mereka pada hari kiamat tentang masalah akidah dan amal perbuatan yang selalu mereka perselisihkan.

? Pengajaran:

1. Sekiranya mahu berjaya dan memimpin umat dan dunia, wajib bagi umat ini kembali kepada Al-Quran sepenuhnya tanpa keraguan sebagaimana yang dirakamkan oleh surah ini bagaimana umat Nabi Musa yang menjadikan Kitab Taurat sebagai panduan sehingga lahir dari kalangan mereka pemimpin-pemimpin yang membebaskan kaumnya dari kezaliman dan pemindasan dan pernah menjadi kaum yang terpuji dan mantap jiwa dan aqidah mereka kerana mereka yakin dan berpegang dengan Taurat.

2. Pemimpin yang memimpin ke arah petunjuk agama tidak terhasil dengan semata-mata berkempen dan memangkah kertas undi. Akan tetapi akan terhasil apabila pemimpin dan masyarakat itu sendiri yang sabar mempraktikkan agama secara keseluruhan dan beriman sepenuhnya kepada al-Quran.

3. Pemimpin hendaklah tidak menyalahgunakan amanah dan kuasa yang diberikan. Mereka perlu menyedari bahawa kuasa adalah alat untuk memimpin rakyatnya agar taat kepada Allah SWT dalam semua aspek kehidupan. Mereka hendaklah memimpin dengan cara yang Allah ajar melalui kitab-Nya. Bukan dengan menggunakan otak dan akal sendiri, apalagi memimpin dengan mengikut hawa nafsu dan syaitan.

4. Jika mahu Islam memimpin, umat ini mestilah menghayati dan menjiwai makna sabar. Jika tiada konsep sabar, kita belum mampu membawa Islam sebagai satu kuasa yang boleh memimpin. Sabar adalah pakaian yang perlu ada dalam kepimpinan. Sabar itu bermaksud sabar di dalam mengikut arahan dan panduan dari al-Kitab iaitu al-Quran. Kejayaan Bani Israil dahulu adalah kerana mereka sabar dalam berpegang dengan syariat dalam Taurat ini.

5. Jangan gopoh mahu menjadi pemimpin dengan melalui jalan pintas untuk cepat menang sehingga melanggar semua peraturan dan panduan Allah yang dasarnya tersemat dalam al-Quran.

6. Sebagai umat yang membaca al-Quran, kita mestilah memiliki keyakinan penuh bahawa Islam adalah agama yang tertinggi dan mampu untuk memimpin. Kalau kita sendiri tidak percaya dan tidak yakin dengan al-Qur’an, tentu kita tidak boleh meyakinkan orang lain untuk menerima bahawa Islam adalah yang terbaik. Janganlah kita lebih percaya kepada kuasa- kuasa lain atau untuk mengambil rujukan-rujukan lain sehingga mengenepikan al-Quran terutamanya dalam hal-hal yang berkait dengan kepimpinan dan kenegaraan.

7. Perbezaan pendapat adalah perkara biasa kerana ada manusia yang hatinya lembut dan mudah menerima penjelasan terutama berkenaan wahyu. Ada pula yang hatinya keras dan menolak apa sahaja yang disampaikan padanya. Kita haruslah bijak menanganinya. Kelemahan kita menangani karenah dan kepelbagaian manusia menyebabkan kita tidak dapat meneruskan dakwah dan menyampaikan Islam. Kadang-kadang perbezaan itu tidak dapat diselesaikan dalam dunia. Hanya Allah sahaja yang dapat memberikan keputusan. Allah lah sahaja yang Maha Mengetahui. Oleh kerana Allah akan memberitahu setiap perselisihan itu pada hari kiamat kelak, maka hendaklah kita bersabar dengan orang-orang yang menolak Islam serta menyerahkan urusan kepada Allah SWT.

? Rujukan:
Tafsir Ibnu Katsir
Tafsir Fi Zhilalil Quran

Disusun oleh:
Lajnah Dakwah DMPM dengan kerjasama Ameerah dan Lajnah Dakwah DMPK Gombak
5 April 2019 / 29 Rejab 1440H