Home Tadabbur Al-Quran

Tadabbur Surah As-Sajdah : Siri 11

2856
SHARE

?? Tadabbur Surah As-Sajdah ??
Siri 11

Ayat 22 : Penyebab Umum Manusia diazab

? Firman Allah serta terjemahannya:

وَمَنْ اَظْلَمُ مِمَّنْ ذُكِّرَ بِاٰيٰتِ رَبِّهٖ ثُمَّ اَعْرَضَ عَنْهَاۗ اِنَّا مِنَ الْمُجْرِمِيْنَ مُنْتَقِمُوْن – ٢٢

Dan siapakah yang lebih zalim daripada orang yang telah diperingatkan dengan ayat-ayat Tuhannya, kemudian dia berpaling darinya? Sungguh, Kami akan memberikan balasan kepada orang-orang yang berdosa.

? Tafsir ringkas:

1. Ayat ini berhubungan dengan ayat sebelumnya di dalam surah Al-Sajdah, ayat 15 dan 10, yang membicarakan tentang perbezaan orang yang beriman dengan orang yang ingkar (berbuat dosa).

2. Orang yang beriman apabila diberi peringatan ayat Al-Quran, mereka tunduk sujud, namun sebaliknya orang yang ingkar, tidak mempedulikan peringatan ayat-ayat Allah SWT.

3. Ayat 22 di atas menerangkan, tidak ada orang yang lebih aniaya daripada orang yang diberi peringatan ayat-ayat Allah SWT dan dijelaskan dengan terang kemudian dia berpaling darinya dan meninggalkannya serta mengingkarinya dan berpura-pura melupakannya seakan-akan ia tidak mengenalnya.

4. Pada akhir ayat ini, Allah SWT menegaskan bahawa orang yang berbuat dosa dan maksiat akan dibalas dengan pembalasan yang keras atau siksaan yang pedih.

5. Di dalam sebuah hadis ada disebutkan akhir kalimat ayat ini, diriwayatkan oleh Ibnu Jarir dari Mu’az bin Jabal, ia berkata aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: Tiga perkara barang siapa yang mengerjakannya, maka ia melakukan perbuatan dosa, iaitu barang siapa yang telah bertekad ikut berperang di jalan tidak benar atau menyakiti kedua orang tuanya atau berjalan bersama orang yang zalim dan membantunya. Allah SWT berfirman:
( اِنَّا مِنَ الْمُجْرِمِيْنَ مُنْتَقِمُوْن )
“Sesungguhnya Kami akan memberikan pembalasan kepada orang-orang yang berdosa”.

? Pengajaran:

1. Fahami makna ‘zalim’ menurut al-Quran yang sangat luas konteksnya. Dengan kefahaman yang benar, ia dapat menghalang kita dari berlaku zalim dan melepaskan kita dari dosa dan azab.

Menurut Al Quran, antara perbuatan zalim ialah mempersekutukan Allah dan mendustakan-Nya; menyembunyikan kebenaran; mungkir janji; bersifat dengan sifat orang-orang yang fasiq; menyalahgunakan jawatan dan amanah yang diberikan; orang-orang beriman yang mengikuti perilaku dan keinginan orang kafir; orang yang mengingkari Rasulullah SAW serta  perbuatan-perbuatan yang melanggar hukum lainnya, yang telah ditetapkan oleh Allah.

Dan orang yang paling zalim di sisi Allah SWT ialah orang yang telah sampai kepadanya peringatan Allah, hujjah-hujjah dan bukti kebenaran melalui ayat-ayat Al-Quran dan petunjuk Rasul, kemudian mereka berpaling dari ajaran dan petunjuk itu.

2. Jauhi dari berbuat zalim kerana ia boleh menutup hati dari mengambil iktibar daripada musibah yang menimpa sehingga tidak mampu untuk bertaubat dan gagal mencari jalan pulang. Lantas mereka berterusan dalam dosa contohnya berjuang atas prinsip yang salah dan dengan niat buruk, derhaka kepada orang tuanya, menindas orang bawah atau yang lemah serta bersekongkol dengan pemimpin yang tidak mahu menegakkan syariat Allah.

3. Orang yang mengingkari ayat-ayat Allah SWT adalah orang yang mempunyai penyakit sombong dan dengki di dalam hatinya, maka jagalah hati daripada dikuasai penyakit sombong dan dengki terhadap Allah SWT dan makhlukNya, atau hati akan sukar menerima nasihat.

4. Jangan sekali-kali berterusan lalai dari mengingati Allah SWT, kerana ruang yang kosong itu akan dipenuhi dengan tipu daya syaitan dan dikuasai hawa nafsu yang akan mendorongnya melakukan dosa dan maksiat.

5. Dalam konteks kehidupan seharian kita, seperti urusan jual beli, urusan pentadbiran, adab berjiran, cara hidup berkeluarga dan lain-lain perlu mengikut garis panduan yang telah ditetapkan berdasarkan ayat Al-Quran dan As Sunnah namun ramai yang tidak perasan atau tidak mengendahkannya apalagi dalam perkara yang lebih besar dalam mengurus agama, negara dan ummah.

6. Jangan sekali-kali meremehkan perintah dan ancaman dalam al-Quran; dibimbangi akibat daripada tidak mengendahkan ayat-ayat Allah SWT, kita akan mengalami kesempitan hidup di dunia, hati sentiasa resah dan tidak bahagia serta menerima pembalasan di akhirat kelak.

7. Sebagai orang Islam, kita diperintahkan untuk mentaati dan menjalankan perintah Allah SWT serta menjauhi larangan-laranganNya agar tidak di timpa azab dari Allah SWT.

? Rujukan:
Tafsir Ibnu Katsir
Tafsir Al Mishbah

Disusun oleh:
Lajnah Dakwah DMPM dengan kerjasama Ameerah dan Lajnah Dakwah DMPK Gombak
29 Mac 2019 / 22 Rejab 1440H