Home Tadabbur Al-Quran

Tadabbur Surah Al-Waqi’ah : Siri 3

1590
SHARE

?? Tadabbur Al Quran ??
Surah Al-Waqi’ah: Siri 3
Ayat: 4-6: Allah Menceritakan Keadaan Bumi Pada Hari Qiamat

? Firman Allah serta terjemahannya:

إِذَا رُجَّتِ الأرْضُ رَجًّا – ٤
Apabila bumi digoncang sedahsyat-dashyatnya

وَبُسَّتِ الْجِبَالُ بَسًّا – ٥
Dan gunung-gunung dihancurkan sehancur-hancurnya

فَكَانَتْ هَبَاءً مُنْبَثًّا – ٦
Maka, jadilah ia debu yang berterbangan

? Tafsir ringkas:

1. Ayat-ayat ini menggambarkan keadaan hari Qiamat bila mana bumi ini akan digoncang sedahsyat-dahsyatnya. Kalau diumpamakan dengan gempa bumi berskala tinggi dan tsunami sekalipun, ia tidak dapat menyamai kedahsyatan hari Qiamat.

2. Kedahsyatan goncangan bumi menyebabkan gunung ganang runtuh dan hancur. Kalimah (بَسًّا) juga digunakan apabila merujuk kepada tepung yang diuli. Ia sudah cukup membayangkan betapa akan sampai masanya gunung terpecah dan hancur menjadi debu setelah diuli, dipusing ke atas dan ke bawah.

3. Ibnu Abbas, Mujahid, Ikrimah, Qatadah dan lain-lain ulama’ menggambarkan bahawa gunung-ganang pada hari itu dihancurkan sehancurnya dan menurut Ibnu Zaid, gunung-ganang ini digambarkan menjadi seperti tompokan pasir yang berterbangan.

4. Akhirnya gunung-ganang itu akan tercabut daripada paksinya dan pecah. Ia bukan sahaja pecah, bahkan akan hancur menjadi debu berterbangan (مُنْبَثًا) kerana diterbangkan dan dihamburkan oleh angin seperti kapas yang ditiup angin. Begitulah gambaran betapa teruknya hari Qiamat nanti.

5. Abu Ishaq menceritakan daripada Al-Harits, daripada Ali RA bahawa gunung-ganang akan menjadi seperti debu-debu yang dihamburkan, naik dan kemudian hilang. Tiada yang tersisa daripadanya.

? Pengajaran:

1. Kita perlu menghayati situasi gempar dan dahsyat pada hari Qiamat sebagaimana yang digambarkan oleh Allah SWT dalam Al Quran. Berusahalah untuk mewujudkan rasa gerun dalam diri kita terhadap kedahsyatan hari tersebut agar kita sentiasa beringat dan bersedia untuk menghadapinya.

2. Qiamat itu digambarkan sebagai satu goncangan yang dahsyat sehingga untuk berdiri pun kita tidak mampu. Ia tidak berlaku hanya pada suatu tempat, tapi pada seluruhnya sehingga tiada satu tempat pun yang selamat untuk kita berlindung. Justeru itu, kita hendaklah sentiasa berdoa agar diberi perlindungan oleh Allah daripada kegawatan hari tersebut.

3. Selain bumi tergoncang, gunung-ganang yang terlihat kukuh akan hancur selumatnya sehingga menjadi debu yang berterbangan ditiup angin. Selama ini Allah sering memperlihatkan gunung itu sebagai sesuatu yang kukuh sehingga kita kagum dan terpegun. Walhal, gunung tersebut pada hari Qiamat nanti akan hancur sehingga tiada yang tersisa daripadanya melainkan debu. Oleh itu, janganlah kita mudah terpesona dan terpedaya dengan kehebatan, kekuatan dan kekuasaan yang dimiliki di dunia ini kerana semua itu akan hancur musnah di Akhirat nanti.

4. Ambillah ibrah betapa gunung yang kukuh pun akan hancur menjadi debu; apatah lagi kita manusia yang hanya dicipta dari bahan yang lemah dan hina. Terlalu mudah bagi Allah untuk menghancurkan kita. Justeru itu, hidup ini hanyalah ehsan dari Allah. Tidak layak kita berjalan di atas muka bumi ini dengan sombong serta merasa lebih pandai daripada Allah SWT sehingga mempertikai banyak ketentuan yang telah Allah taqdirkan.

5. Kongsi dan sebarkan taddabur ayat- ayat tentang hari Qiamat sebagai salah satu usaha dakwah agar masyarakat menghayati peristiwa ini. Mudah-mudahan perkongsian seperti ini dapat melembutkan hati yang keras dan degil serta menambahkan keimanan untuk terus bersedia menghadapi hari Qiamat.

? Rujukan:
Tafsir Ibn Kathir

Disusun oleh:
Lajnah Dakwah DMPM dengan kerjasama Ameerah dan Lajnah Dakwah DMPK Gombak.
8 Mei 2019 / 3 Ramadhan 1440