Home Tadabbur Al-Quran

Tadabbur Surah Al-Waqi’ah : Siri 22

1176
SHARE

?? Tadabbur Al Quran ??
Surah Al-Waqi’ah : Siri 22
Ayat: 75-76 : Allah Bersumpah Dengan Bintang Sebagai Tanda Kebesaran-Nya

? Firman Allah serta terjemahannya:

فَلَا أُقْسِمُ بِمَوَاقِعِ النُّجُومِ
Maka, Aku bersumpah dengan tempat beredarnya bintang-bintang

وَإِنَّهُ لَقَسَمٌ لَوْ تَعْلَمُونَ عَظِيمٌ
Sesungguhnya sumpah itu adalah sumpah yang besar seandainya kamu mengetahui

? Tafsir ringkas:

1. Setelah Allah SWT memerintahkan hambaNya bertasbih mensucikanNya, Dia lalu bersumpah dengan tempat beredar bintang-bintang. Sumpah ini merupakan dalil yang menunjukkan keagunganNya.

2. Ada beberapa pandangan ulama tafsir tentang kalimah ( لا ) pada lafaz sumpah ini iaitu ;

i. ia adalah kalimah penguat untuk sumpah itu,

ii. ia merupakan zaidah (tambahan). Maka makna yang dimaksudkan ialah “Aku bersumpah dengan tempat beredarnya bintang-bintang.”

iii. ia menolak fahaman salah manusia – “Tidak, kebenaran itu tidaklah seperti yang kamu sangkakan!” Maknanya Allah hendak menolak fahaman salah dan kemudian Allah sambung dengan sumpah. Allah menolak dulu fahaman salah manusia dan kemudian beritahu kebenaran.

3. Maksud ‘dengan tempat beredarnya bintang-bintang’ juga mempunyai pelbagai pendapat:

i. Tempat peredaran bintang-bintang atau orbit.

ii. Ayat-ayat al-Quran. Al-Quran diturunkan secara keseluruhan pada malam Lailatul Qadar dari langit tertinggi ke langit dunia. Kemudian turun secara terpisah-pisah dalam beberapa tahun setelah itu.

ii. Maksudnya adalah bertebarannya bintang-bintang kelak pada hari kiamat.

4. Jumhur berpendapat sumpah dalam ayat ini merupakan sumpah daripada Allah atas apa yang dikehendakiNya terhadap para hambaNya.

5. Ayat kedua membawa pengertian sumpah yang besar kerana kebesaran dan keagungan yang mengucapkannya iaitu Allah Azza wa Jalla. Akan tetapi ramai manusia tidak memahami ketinggian dan kedudukannya.

? Pengajaran:

1. Allah bersumpah dengan salah satu kekuasaanNya iaitu tempat bintang-bintang supaya manusia mahu berfikir mengenai betapa teraturnya bintang-bintang beredar pada posisinya nescaya mereka akan tahu betapa besarnya sumpah ini.

2. Memerhati dan mengkaji bintang-bintang adalah salah satu keajaiban dunia yang mampu membuat manusia sedar kewujudan Pencipta Yang Maha Agung iaitu Allah jika mereka mahu berfikir dengan fikiran yang terbuka.

3. Manusia sentiasa mendapat penemuan terbaharu mengenai bintang-bintang (bidang astronomi) seolah-olah Allah mengisyaratkan kepada kita supaya jangan berhenti mendalami al-Quran. Pasti akan sentiasa ada penemuan baru yang sentiasa relevan dengan masalah/zaman yang kita hadapi.

4. Ketika mana merenung bintang-bintang di langit di malam hari, kita dapati bintang itu amat tinggi jauh di atas sana. Sewajarnya kita merasa kerdil dan rendah sekali. Maka begitu juga kita kena patut merasa tawadhuk dan memandang tinggi kepada Qur’an ini, lantas memuliakannya.

? Rujukan:
Tafsir Ibnu Katsir
Tafsir Al-Wajiz
Cahaya di Atas Cahaya, Menyingkap Rahsia Alam Menurut Al-Quran dan Sains.

Disusun oleh:
Lajnah Dakwah DMPM dengan kerjasama Ameerah dan Lajnah Dakwah DMPK Gombak.
27 Mei 2019 / 22 Ramadhan 1440