Home Tadabbur Al-Quran

Tadabbur Surah Al-Waqi’ah : Siri 19

1466
SHARE

?? Tadabbur Al Quran ??
Surah Al-Waqi’ah : Siri 19
Ayat: 63-67 : Makanan Sumber Kehidupan Sebagai Bukti Kasih Sayang Allah

? Firman Allah serta terjemahannya:

أَفَرَءَيۡتُم مَّا تَحۡرُثُونَ – ٦٣
Maka (mengapa kamu masih berdegil?) Tidakkah kamu melihat apa yang kamu tanam?

ءَأَنتُمۡ تَزۡرَعُونَهُ ۥۤ أَمۡ نَحۡنُ ٱلزَّٲرِعُونَ – ٦٤
Kamukah yang menumbuhkannya atau Kami yang menumbuhkannya?

لَوۡ نَشَآءُ لَجَعَلۡنَـٰهُ حُطَـٰمًا فَظَلۡتُمۡ تَفَكَّهُونَ – ٦٥
Kalau Kami kehendaki, sudah tentu Kami akan jadikan tanaman itu kering hancur (sebelum ia berbuah), maka dengan itu tinggallah kamu dalam keadaan hairan dan menyesal,

إِنَّا لَمُغۡرَمُونَ – ٦٦
(Sambil berkata): “Sesungguhnya kami menanggung kerugian.

بَلۡ نَحۡنُ مَحۡرُومُونَ – ٦٧
“Bahkan kami hampa (daripada mendapat sebarang hasil) “

? Tafsir ringkas:

1. Ayat ini adalah bukti yang seterusnya betapa benarnya hari kebangkitan. Ayat terdahulu menyarankan kepada golongan yang ingkar agar merenung asal kejadian diri sendiri, maka pada ayat ini mereka diseru untuk memikirkan tentang kejadian tumbuh-tumbuhan atau rezeki yang Allah kurniakan.

2. Allah SWT menempelak mereka yang degil dengan beberapa persoalan agar mereka memikirkannya. Antaranya:

i. Merenung kembali tanam-tanaman dan apa saja yang telah mampu mereka tanam ketika menjalani kehidupan di bumi ini

ii. Memikirkan siapakah sebenarnya yang menumbuhkannya. Sudah tentu
Allah SWT lah yang telah menetapkan dan menumbuhkan tanaman daripada bumi. Manusia hanya menenggala bumi dan menabur biji benih yang telah diciptakan Allah.

iii. Merenung kehendak Allah yang seandainya Allah menghendaki nescaya Allah menjadikan tanaman itu kering sebelum ia sempurna dan berbuah. Jika tanaman itu kering dan mereput sebelum mengeluarkan buah-buahnya tentulah peladang-peladang itu membuat berbagai-bagai sungutan.

3. Persoalan ini memberi isyarat kepada kehidupan semula. Sebagaimana benih ditanam itu akan keluar sebagai tumbuhan, maka nanti semua mayat yang ditanam di dalam tanah juga akan keluar sebagai makhluk baru untuk diadili di Mahsyar kelak.

? Pengajaran:

1. Manusia harus menginsafi bahawa setiap tanaman itu Allah lah yang menciptakan bermula daripada benih sehingga tumbuh meninggi dan menghasilkan buah. Bahawasanya dengan kudrat Allah sahajalah semua peringkat kejadian tanaman itu berlaku.

2. Apa yang disebutkan merupakan nikmat Allah SWT kepada hamba-hamba-Nya, Dia mengajak kita dengan menyebutkan nikmat itu untuk mentauhidkan-Nya, beribadah dan kembali kepada-Nya serta sentiasa bersyukur kerana Dia telah melimpahkan nikmat kepada kita dengan memudahkan kita menanam tanaman dan tumbuhan yang mengeluarkan pelbagai bahan makanan yang menjadi keperluan dalam kehidupan ini.

3. Ketika diuji dengan kesusahan seperti pertanian tidak menjadi, perniagaan merugi dan sebagainya janganlah mengeluh sana sini, bersungut dan tidak menerimanya dengan sabar. Sepatutnya kita mengadulah kepada Allah, bukan mengadu kepada manusia.

4. Ramai manusia lupa yang mereka hanya boleh berusaha sahaja, tapi kejayaan bergantung kepada kehendak Allah semata-mata. Kita tidak mampu menentukan kejayaan kita walaupun sudah pelbagai usaha kita lakukan. Maka jika usaha dan kerja keras kita tidak berjaya janganlah merasa hairan. Redhalah sahaja. Banyakkan doa kepada Allah SWT.

? Rujukan:
Tafsir Ibn Kathir
Tafsir Fi Zilal

Disusun oleh:
Lajnah Dakwah DMPM dengan kerjasama Ameerah dan Lajnah Dakwah DMPK Gombak.
24 Mei 2019 / 19 Ramadhan 1440