Home Tadabbur Al-Quran

Tadabbur Surah Al-Waqi’ah : Siri 17

864
SHARE

?? Tadabbur Al Quran ??
Surah Al-Waqi’ah: Siri 17
Ayat: 57-59: Pengukuhan dan Pembuktian Tentang Kehidupan Akhirat

? Firman Allah serta terjemahannya:

نَحْنُ خَلَقْنَاكُمْ فَلَوْلَا تُصَدِّقُونَ – ٥٧
Kamilah yang telah menciptakan kamu (dari tiada kepada ada – wahai golongan yang ingkar), maka ada baiknya kalau kamu percaya (akan kebangkitan kamu hidup semula pada hari Qiamat).

أَفَرَأَيْتُمْ مَا تُمْنُونَ – ٥٨
(Mengapa kamu masih berdegil?) Tidakkah kamu memikirkan keadaan air mani yang kamu pancarkan (ke dalam rahim)?

أَأَنْتُمْ تَخْلُقُونَهُ أَمْ نَحْنُ الْخَالِقُونَ – ٥٩
Adakah kamu yang menciptakannya atau Kami yang menciptakannya?

? Tafsir ringkas:

1. Setelah menjelaskan azab bagi orang yang mengingkari hari kebangkitan, pada ayat-ayat ini Allah menghuraikan tanda-tanda kekuasaan-Nya bagi membuktikan kebenaran hari kebangkitan dan kepastian berlakunya hari Qiamat dengan mengajak manusia berfikir dan merenungi ciptaan-Nya supaya dapat meningkatkan keimanan dan keyakinan mereka terhadap kekuasaan Allah yang akan membangkitkan manusia semula selepas mematikan mereka.

2. Allah SWT mengingatkan bahawa Dialah yang telah memulakan penciptaan manusia. Allah Maha Berkuasa menciptakan segala sesuatu daripada tiada kepada ada dan berkuasa juga melenyapkannya. Lalu, kenapakah manusia tidak menerima kebenaran tentang kebangkitan semula selepas mati?

3. Allah juga mengajak manusia merenungi kejadian mereka daripada air mani untuk menyedarkan manusia bahawa mereka bukannya tercipta hasil daripada hubungan seksual antara seorang lelaki dan wanita semata-mata. Hakikatnya, Allah lah yang telah mempertemukan antara benih lelaki dan wanita dan seterusnya menjadikan percantuman benih-benih tersebut sebagai janin yang akan dilahirkan sebagai manusia.

4. Seterusnya Allah SWT mengukuhkan lagi pembuktian kepada kekuasaannya bahawa Allah lah yang menjadikan seorang anak, bukan ibu bapanya. Walaupun benih-benih itu terhasil daripada persetubuhan antara suami dan isteri, mereka tiada kemampuan sama sekali untuk memastikan benih-benih mereka itu akan menghasilkan seorang anak.

? Pengajaran:

1. Ketika kita di dalam kekeliruan dan persoalan tentang hakikat kehidupan ini maka gerakkanlah akal dan ambillah masa sejenak untuk berfikir dan merenung kerana merenung atau berfikir merupakan amalan atau aktiviti yang sangat dianjurkan oleh al-Quran. Bahkan ia boleh memantapkan aqidah dan keimanan seseorang. Seorang Muslim ketika memikirkan tanda-tanda alam dan kejadian di sekitarnya serta merenung sesaat tentang kejadian dirinya lebih besar nilainya daripada amal-amal kebajikan yang lain.

2. Mulakanlah perenungan dari hati yang berpusat di dada, bukan dari akal yang berpusat di kepala semata-mata. Hati kita ibarat cermin yang mampu menangkap sesuatu yang ada di luarnya. Justeru itu, agar hati kita mampu menjalankan fungsinya itu, maka hati harus bersih dari dosa-dosa dan sifat-sifat mazmumah seperti sombong dengan Allah dan engkar kepadaNya.

3. Manusia itu diciptakan daripada keadaan lemah, hanya daripada mani yang hina. Realitinya manusia ini hanya daripada suatu yang lemah, namun kenapa akhirnya sombong dan angkuh sehingga ke tahap tidak ingat mati dan menafikan kebangkitan semula untuk dihisab. Sepatutnya manusia kalau melihat dari asal penciptaannya tidak menjadi orang sombong dan zalim. Justeru itu adalah menjadi kewajipan kita apabila diuji dengan kehebatan dan keberadaan maka bersegeralah kembali ke dalam diri, melakukan muhasabah dan perbanyakkan sujud kepada Allah SWT.

4. Janganlah ada sombong di hati kita walau sedikitpun kerana kesombongan akan menyeret manusia kepada berbagai bentuk kejahatan malah ia akan cenderung untuk engkar dan derhaka kepada Allah. Sesungguhnya manusia diciptakan daripada air mani yang hina yang keluar dari tempat yang sama dengan tempat keluarnya kotoran. Dengan kata lain, selalulah ingat bahawa diri ini diciptakan daripada air mani sahaja.

? Rujukan:
Tafsir Ibnu Katsir
Tafsir al-Azhar, Hamka

Disusun oleh:
Lajnah Dakwah DMPM dengan kerjasama Ameerah dan Lajnah Dakwah DMPK Gombak.
22 Mei 2019 / 17 Ramadhan 1440