Home Tadabbur Al-Quran

Tadabbur Surah Al-Waqi’ah (Siri 10)

2400
SHARE

?? Tadabbur Al Quran ??
Surah Al-Waqi’ah: Siri 10

Ayat: 27-31: Siapakah Ashabul Yamin & Taman Syurga buat Mereka

? Firman Allah serta terjemahannya:

وَأَصْحَابُ الْيَمِينِ مَا أَصْحَابُ الْيَمِينِ – ٢٧

Dan golongan kanan, alangkah mulianya golongan kanan itu

فِي سِدْرٍ مَّخْضُودٍ – ٢٨

Mereka berada di antara pohon bidara yang tidak berduri

وَطَلْحٍ مَّنضُودٍ – ٢٩

dan pohon pisang yang bersusun-susun buahnya

وَظِلٍّ مَّمْدُودٍ -٣٠

dan naungan yang terbentang luas

وَمَاءٍ مَّسْكُوبٍ – ٣١

dan air yang mengalir terus-menerus

? Tafsir ringkas:

1. Setelah menjelaskan tentang golongan pertama di akhirat kelak iaitu al-sabiqun al-muqarrabun, maka pada ayat-ayat ini dijelaskan tentang golongan kedua pula, iaitu ashab al-yamin yang bermaksud golongan kanan. Golongan ini adalah mereka yang menerima kitab amalan mereka dengan tangan kanan. Mereka ini masih lagi golongan orang mukmin tapi kedudukan mereka di bawah kedudukan golongan yang pertama tadi.

2. Surah ini membayangkan betapa beruntungnya mereka lantaran betapa besar kedudukan dan pembalasan untuk mereka. Mereka di tempatkan di syurga yang sangat nyaman sebagaimana yang disebutkan sifat-sifatnya:

i. Di bawah pohon bidara yang tidak berduri. Di akhirat pohon bidara itu mempunyai banyak buah dan tidak berduri sebagaimana Ibnu ‘Abbas juga menyebut, “Yakni pohon yang dipenuhi dengan buah-buahan.”

ii. Di penuhi dengan pokok-pokok pisang yang tersusun berderet-deret satu sama lain, terhampar luas dan tidak akan pernah habis. Ibnu ‘Abbas mengungkapkan: “Pohon ini menyerupai pohon thalh (pisang) di dunia, tetapi pohon tersebut mempunyai buah yang lebih manis dari madu.”

iii. Di bawah naungan kenyamanan, cuaca yang redup dan menyenangkan. Al-Dhahhak, As-Suddi, dan Abu Harzah mengatakan: “Naungan yang luas itu tidak terputus, di dalamnya tidak terdapat matahari, tidak panas seperti sebelum terbitnya fajar.”

iv. Terdapat air yang manis sentiasa mengalir yang tiada henti bersumber dari semburan mata air syurga dan sungai-sungainya. Ini menambahkan keindahan syurga itu dan menenangkan hati penghuninya.

? Pengajaran

1. Allah SWT menggambarkan syurga buat golongan kanan dengan agak detail ciri-cirinya. Hamba-hamba yang menghayati ayat-ayat syurga ini seharusnya memahami bahawa syurga adalah antara perkara sam‘iyyat. Ia merupakan perkara yang perlu diambil berat dan perlu diberi penjelasan yang tepat bagi membentuk keyakinan yang jelas dalam diri muslim. Ini kerana setiap perlakuan yang terhasil adalah berdasarkan kepada pegangan dan keimanan seseorang.

2. Hari akhirat merupakan destinasi utama yang pasti ditempuh oleh setiap manusia dan mereka akan kekal di sana sama ada sebagai ahli syurga atau ahli neraka. Justeru itu membaca ayat-ayat tentang syurga, ia bukan sekadar menyedapkan telinga mendengarnya tetapi perlunya kita mengambil motivasi dan peringatan daripada nikmat yang digambarkan oleh Allah di dalam al Quran.

3. Tingkatan kenikmatan yang di kecapi di syurga adalah berbeza mengikut tahap keimanan dan amalan yang dilakukan semasa di dunia. Mudah-mudahan gambaran syurga mengikut kategori penghuninya dapat menanam dan mengukuhkan lagi keyakinan tentang keindahan dan kesempurnaan syurga yang dijanjikan kepada orang yang beriman, lantas jiwa-jiwa yang beriman sentiasa berusaha menjadi yang terbaik untuk merebut tempat yang terbaik di sana.

? Rujukan:
Tafsir Ibn Kathir
Tafsir Al-Wajiz, Prof. Dr. Wahbah al-Zuhaili

Disusun oleh:
Lajnah Dakwah DMPM dengan kerjasama Ameerah dan Lajnah Dakwah DMPK Gombak.
15 Mei 2019 / 10 Ramadhan 1440