Home Berita Dewan Muslimat PAS Malaysia

Tadabbur Surah Luqman: Siri 14

1197
SHARE

?? Tadabbur Al Quran ??
Surah Luqman: Siri 14

Ayat 31-32: Tanda-tanda Kebesaran dan Kebenaran Allah SWT untuk Difikirkan

? Firman Allah serta terjemahannya:

أَلَمْ تَرَ أَنَّ الْفُلْكَ تَجْرِي فِي الْبَحْرِ بِنِعْمَةِ اللَّهِ لِيُرِيَكُمْ مِنْ آيَاتِهِ إِنَّ فِي ذَلِكَ لآيَاتٍ لِكُلِّ صَبَّارٍ شَكُورٍ ٣١

Tidakkah kamu memperhatikan bahawa sesungguhnya kapal itu berlayar di laut dengan nikmat Allah, supaya diperlihatkannya kepadamu sebahagian daripada tanda-tanda (kekuasaan)-Nya. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi semua orang yang sangat sabar lagi banyak bersyukur.

وَإِذَا غَشِيَهُم مَّوۡجٞ كَٱلظُّلَلِ دَعَوُاْ ٱللَّهَ مُخۡلِصِينَ لَهُ ٱلدِّينَ فَلَمَّا نَجَّىٰهُمۡ إِلَى ٱلۡبَرِّ فَمِنۡهُم مُّقۡتَصِدٞۚ وَمَا يَجۡحَدُ بِـَٔايَٰتِنَآ إِلَّا كُلُّ خَتَّارٖ كَفُورٖ ٣٢

Dan (orang-orang yang tidak bersifat demikian) apabila mereka dirempuh serta diliputi oleh ombak yang besar seperti kelompok-kelompok awan menyerkup, pada saat itu mereka semua berdoa kepada Allah dengan mengikhlaskan kepercayaan mereka kepadaNya semata-mata. Kemudian bila sahaja Allah menyelamatkan mereka ke darat maka sebahagian sahaja di antara mereka yang bersikap adil (lalu bersyukur kepada Allah serta mengesakanNya). Dan sememangnya tiada yang mengingkari bukti-bukti kemurahan Kami melainkan tiap-tiap orang yang bersifat pemungkir janji, lagi amat tidak mengenang budi.

? Tafsir ringkas:

1. Selepas menyatakan tentang kekuasaanNya menjadikan kejadian siang dan malam dengan sempurna, Allah SWT membawa pula agar manusia melihat kejadian laut dan faedahnya buat manusia. Allah SWT memperlihatkan kepada manusia tanda-tanda kebesaranNya agar manusia memperhatikan dan mengerti bahawa Dialah Yang Hak yakni benar ada-Nya dan Tuhan yang sebenarnya, dan bahawa semua yang selainNya adalah batil. Sesungguhnya Dia Maha kaya daripada selainNya, dan segala sesuatu berhajat kepadaNya, kerana semua yang ada di langit dan yang ada di bumi merupakan makhluk dan hamba-hambaNya. Tiada seorang pun daripada mereka yang dapat menggerakkan suatu zarah pun kecuali dengan izinNya.

2. Tanda kebesaran dan nikmat Allah yang dibentangkan dalam ayat 31 adalah Dia menghamparkan lautan luas agar kapal boleh berlayar dengan izinNya, pengaturanNya yang sangat halus memudahkan kapal bergerak di permukaan lautan. Syeikh As Sa’di dalam kitab tafsirnya Taisir Karim al-Rahman berkata, “Kapal yang berada di lautan diambil manfaatnya. Pelbagai barang dibawa untuk kepentingan manusia dan untuk perdagangan mereka. Ini semua kerana rahmat Allah pada hambaNya. Allah sentiasa menyayangi hambaNya dan memberikan manfaat pada mereka.” Semua kejadian ini menjadi tanda-tanda yang jelas bagi golongan mukmin yang amat sabar di saat mereka ditimpa kesusahan dan sangat bersyukur apabila mereka beroleh kesenangan.

3. Dalam ayat 32 pula Allah SWT menjelaskan sikap orang-orang yang tidak beriman tatkala diuji dengan kesusahan dan kesenangan. Apabila mereka berada dalam keadaan genting seumpama orang yang berada di lautan yang sedang dilambung ombak ganas dan menyaksikan pemandangan yang mengerikan, kejadian yang menakutkan dan tanda-tanda kekuasaan Allah, pada ketika itu barulah mereka insaf, berdoa memohon pertolonganNya dan ikhlas tunduk kepadaNya. Namun, apabila Allah memelihara mereka sehingga selamat sampai ke daratan, hanya sebahagian sahaja daripada mereka yang tetap di atas jalan pertengahan (muqtasid) iaitu tauhid kepada Allah, manakala yang lain kembali kepada kekufuran. Allah menyifatkan golongan ini sebagai ‘khattar’ iaitu pengkhianat kerana mereka telah mengkhianati janji kepada Allah SWT ketika dalam kesusahan. Mereka juga adalah golongan yang kufur akan segala nikmat Allah yang telah dikurniakan kepada mereka.

? Pengajaran:

1. Renungi dan hayatilah kebesaran Allah melalui penciptaan laut dan kekuasaanNya yang membolehkan kapal-kapal belayar di lautan. Walaupun manusia mampu meneroka ilmu dan teknologi kejuruteraan maritim dan boleh membina kapal untuk belayar di lautan, sedarilah bahawa ilmu dan kekuasaan Allah jauh lebih hebat lagi.

2. Kita mestilah istiqamah mentaati Allah di kala senang dan susah. Janganlah kita hanya mencari dan mendekati Allah SWT ketika susah sahaja tetapi setelah diberikan nikmat kita leka daripada mengingatiNya. Ingatlah bahawa orang yang paling lalai ialah orang yang tidak kembali kepada Allah apabila ditimpa musibah dan orang yang paling sedar ialah orang yang kembali kepadaNya ketika beroleh nikmat.

3. Golongan yang setiap kali berjanji dan kemudian memungkiri janjinya digelar sebagai pengkhianat. Hendaklah kita menjaga diri dan berwaspada terhadap sikap ini. Berhati-hatilah dalam memberikan janji dan pastikan janji tersebut dilaksanakan dan dipenuhi.

4. Jadikanlah Allah SWT sebagai fokus dan tumpuan yang paling utama dalam menjalani kehidupan seharian, agar hati kita tidak berbolak balik daripada beriltizam dengan syariat Islam.

? Rujukan:
Tafsir Ibnu Kathir
Tafsir Al Munir

Disusun oleh:
Lajnah Dakwah DMPM dengan kerjasama Ameerah dan Lajnah Dakwah DMPK Gombak.
20 November 2020 / 4 Rabiul Akhir 1442