Home Tadabbur Al-Quran

Tadabbur Surah Al-Anfal: Siri 4

596
SHARE

??Tadabbur Al Quran??
Surah Al-Anfal: Siri 4

Ayat 9-11 : Situasi dan Pertolongan Allah dalam Perang Badar

? Firman Allah serta terjemahannya:

إِذْ تَسْتَغِيثُونَ رَبَّكُمْ فَاسْتَجَابَ لَكُمْ أَنِّي مُمِدُّكُمْ بِأَلْفٍ مِنَ الْمَلَائِكَةِ مُرْدِفِينَ (٩)

(Ingatlah), ketika kamu memohon pertolongan kepada Tuhanmu, lalu diperkenankan-Nya bagimu: “Sesungguhnya Aku akan mendatangkan bala bantuan kepada kamu dengan seribu malaikat yang datang berturut-turut”.

وَمَا جَعَلَهُ اللَّهُ إِلَّا بُشْرَىٰ وَلِتَطْمَئِنَّ بِهِ قُلُوبُكُمْ ۚ وَمَا النَّصْرُ إِلَّا مِنْ عِنْدِ اللَّهِ ۚ إِنَّ اللَّهَ عَزِيزٌ حَكِيمٌ (١٠)

Dan Allah tidak menjadikannya (mengirim bala bantuan itu), melainkan sebagai khabar gembira dan agar hatimu menjadi tenteram kerananya. Dan kemenangan itu hanyalah dari sisi Allah. Sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.

إِذْ يُغَشِّيكُمُ النُّعَاسَ أَمَنَةً مِنْهُ وَيُنَزِّلُ عَلَيْكُمْ مِنَ السَّمَاءِ مَاءً لِيُطَهِّرَكُمْ بِهِ وَيُذْهِبَ عَنْكُمْ رِجْزَ الشَّيْطَانِ وَلِيَرْبِطَ عَلَىٰ قُلُوبِكُمْ وَيُثَبِّتَ بِهِ الْأَقْدَامَ (١١)

(Ingatlah), ketika Allah menjadikan kamu mengantuk sebagai suatu ketenteraman daripada-Nya, dan Allah menurunkan kepadamu hujan dari langit untuk menyucikan kamu dengan hujan itu dan menghilangkan daripada kamu gangguan-gangguan syaitan dan untuk menguatkan hatimu dan memperteguh dengannya telapak kaki(mu).

?Tafsir ringkas:

1. Setelah menyatakan bagaimana perasaan berat hati tentera Islam sebelum perang Badar bermula apabila ditakdirkan oleh Allah SWT untuk berhadapan dengan tentera perang musyrikin Mekah dan bukan hanya menghalang rombongan dagangan, maka ayat seterusnya Allah SWT menggambarkan istighothah (munajat memohon pertolongan) oleh Nabi SAW dan pertolongan Allah buat tentera Islam.

2. Ketika Perang Badar, Nabi SAW bermunajat dan memohon dengan penuh kesungguhan dan harapan kepada Allah SWT agar tentera Islam diberikan kemenangan walaupun bilangan mereka jauh lebih sedikit berbanding tentera musyrikin Mekah. Sehingga Baginda mengatakan,”Wahai Allah, jika hancur tentera Islam ini, Engkau tidak akan disembah di dunia ini selama-lamanya.” Peristiwa ini yang membawa kepada turunnya ayat 9 ini.

3. Allah SWT memberikan nusrah atau pertolongannya kepada tentera Islam dengan mengutuskan seribu tentera daripada kalangan malaikat sebagai khabar gembira dan memberikan ketenangan buat mereka. Hakikatnya kemenangan sebenar umat Islam bukannya kerana turunnya para malaikat itu. Kemenangan dan pertolongan hanyalah milik Allah SWT yang boleh diberikan kepada sesiapa sahaja yang beriman kepadaNya.

4. Allah SWT mengingatkan kepada tentera Islam bahawa rasa mengantuk yang mereka alami kerana penat dan letih itu sebenarnya adalah nikmat, agar mereka berasa tenang dan tenteram daripada memikirkan bilangan mereka yang sedikit dan pelbagai kekurangan lain.

5. Allah SWT turut menurunkan nikmat hujan yang lebat buat tentera Islam yang membolehkan mereka mandi dan menyucikan diri daripada hadas. Keadaan yang suci menguatkan hati dan memberikan tentera Islam keyakinan untuk berjuang dan melakukan ibadah. Nikmat hujan ini juga membolehkan mereka bersiap dengan bekalan minuman yang cukup di samping menjadikan pasir lebih kuat untuk dipijak dan mereka mampu bergerak dengan cepat dan lancar. Maha Hebat perancangan dan bantuan Allah SWT.

? Pengajaran:

1. Berdoalah dengan sepenuh pengharapan kepada Allah SWT (istighothah) secara konsisten dalam menghadapi pelbagai cabaran dalam kehidupan dan perjuangan. Allah SWT tidak akan sesekali membiarkan hambaNya dizalimi dalam keadaan tidak dibantu.

2. Yakinlah bahawa bantuan dan pertolongan Allah SWT sangat dekat bagi mereka yang sentiasa bertaqarrub kepadaNya. Segalanya bergantung kepada usaha dan keyakinan kita kepada kekuasaan Allah SWT.

3. Bersiap siagalah dengan seluruh kekuatan yang ada kerana itu adalah perintah Allah SWT. Namun harus diingat bahawa hakikatnya kemenangan yang Allah SWT berikan bukan kerana faktor kekuatan tokoh, strategi dan material semata-mata, kerana ia adalah hak mutlak Allah SWT untuk memberikan kemenangan dan bantuan kepada sesiapa sahaja yang benar-benar membuktikan keimanannya kepada Allah SWT.

4. Ingatlah bahawa nusrah Allah SWT dihadirkan dalam pelbagai bentuk. Mungkin sesuatu perkara yang hadir itu kelihatan seperti tiada impak yang besar dalam perjuangan ataupun mungkin seperti mendatangkan keburukan, walhal Allah SWT telah menentukannya sebagai asbab yang besar untuk membawa umat Islam kepada kemenangan yang sebenar.

? Rujukan:
1. Tafsir Ibnu Katsir
2. Tafsir Al-Azhar

Disusun oleh:
Lajnah Dakwah DMPM dengan kerjasama Ameerah Gombak dan Lajnah Dakwah DMPK Gombak
16 April 2021 / 4 Ramadhan 1442

#baca&sebar
#siritadabbursurahalanfal