Home Berita PAS Pusat

Tangkap Pemilik, Pelakon Iklan Judi Raya

177
SHARE

Kenyataan Media
Parti Islam Se-Malaysia (PAS)

Tangkap Pemilik, Pelakon Iklan Judi Raya

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) menggesa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk mengambil tindakan segera terhadap video lagu raya yang diterbitkan oleh syarikat judi GDBet333.

Video berdurasi dua minit itu jelas mengajak kepada orang beragama Islam berjudi dan bergantung nasib dengan syarikat tersebut. Perkara ini telah melanggar Enakmen Jenayah Syariah yang menjadi kesalahan umat Islam terlibat dengan aktiviti perjudian yang mencemarkan institusi agama.

Firman Allah SWT dalam surah Al-Maidah ayat 90:

يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْ إِنَّمَا ٱلۡخَمۡرُ وَٱلۡمَيۡسِرُ وَٱلۡأَنصَابُ وَٱلۡأَزۡلَٰمُ رِجۡسٞ مِّنۡ عَمَلِ ٱلشَّيۡطَٰنِ فَٱجۡتَنِبُوهُ لَعَلَّكُمۡ تُفۡلِحُونَ

“Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.”

PAS kecewa penghinaan terhadap Islam terus berlaku saban hari. Belum reda isu majikan memukul pekerja disebabkan puasa, kini penghinaan kepada kemuliaan perayaan umat Islam pula. Aidilfitri adalah tanda kemenangan umat Islam setelah sebulan berpuasa bagi tujuan meraih takwa daripada Allah SWT. Bukannya suatu perkara kecil yang boleh dicampuradukkan dosa pahala dengan aktiviti perjudian yang sememangnya mendapat murka-Nya.

Oleh itu, PAS menggesa agar PDRM menahan dan menyiasat pemilik dan barisan pelakon video tersebut seterusnya mengenakan tindakan tegas. Perkara ini mesti dijadikan pengajaran kepada seluruh rakyat Malaysia khususnya umat Islam agar memelihara kesucian agama Islam.

‘Islam Memperkukuh Perpaduan’