Home Tadabbur Al-Quran

Tadabbur Surah Al-Anfal: Siri 29

922
SHARE

?? Tadabbur Al Quran ??
Surah Al-Anfal: Siri 29

Ayat : 72-73 : Hubungan antara Sesama Muslim dan Orang Kafir Sesama Mereka

? Firman Allah serta terjemahannya:

اِنَّ الَّذِيْنَ اٰمَنُوْا وَهَاجَرُوْا وَجَاهَدُوْا بِاَمْوَالِهِمْ وَاَنْفُسِهِمْ فِيْ سَبِيْلِ اللّٰهِ وَالَّذِيْنَ اٰوَوْا وَّنَصَرُوْٓا اُولٰۤىِٕكَ بَعْضُهُمْ اَوْلِيَاۤءُ بَعْضٍۗ وَالَّذِيْنَ اٰمَنُوْا وَلَمْ يُهَاجِرُوْا مَا لَكُمْ مِّنْ وَّلَايَتِهِمْ مِّنْ شَيْءٍ حَتّٰى يُهَاجِرُوْاۚ وَاِنِ اسْتَنْصَرُوْكُمْ فِى الدِّيْنِ فَعَلَيْكُمُ النَّصْرُ اِلَّا عَلٰى قَوْمٍۢ بَيْنَكُمْ وَبَيْنَهُمْ مِّيْثَاقٌۗ وَاللّٰهُ بِمَا تَعْمَلُوْنَ بَصِيْرٌ (٧٢)

Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad dengan harta dan jiwanya pada jalan Allah dan orang-orang yang memberikan tempat kediaman dan memberi pertolongan (kepada Muhajirin), mereka itu satu sama lain saling melindungi. Dan (terhadap) orang-orang yang beriman tetapi belum berhijrah, maka tidak ada kewajiban sedikit pun bagimu melindungi mereka, sampai mereka berhijrah. (Tetapi) jika mereka meminta pertolongan kepadamu dalam (urusan pembelaan) agama, maka kamu wajib memberikan pertolongan kecuali terhadap kaum yang telah terikat perjanjian antara kamu dengan mereka. Dan Allah Maha Melihat apa yang kamu kerjakan.

وَالَّذِيْنَ كَفَرُوْا بَعْضُهُمْ اَوْلِيَاۤءُ بَعْضٍۗ اِلَّا تَفْعَلُوْهُ تَكُنْ فِتْنَةٌ فِى الْاَرْضِ وَفَسَادٌ كَبِيْرٌۗ (٧٣)

Dan orang-orang yang kafir, sebahagian mereka melindungi sebahagian yang lain. Jika kamu tidak melaksanakan apa yang telah diperintahkan Allah (saling melindungi), nescaya akan terjadi kekacauan di bumi dan kerosakan yang besar.

? Tafsir ringkas:

1. Ayat-ayat sebelum ini menyatakan tentang panduan daripada Allah SWT tentang tawanan perang dan sikap orang beriman dalam menghadapinya.

2. Ayat 72 pula menjelaskan tentang kelompok orang Islam yang ada pada ketika itu iaitu:

i. Golongan Muhajirin Mekah yang berjihad dan berhijrah meninggalkan harta dan tempat tinggal mereka demi Allah SWT.

ii. Golongan Ansar yang setia membantu Muhajirin dan memberi perlindungan dan tempat tinggal buat mereka tanpa berat hati.

iii. Golongan muslimin di Mekah yang tidak berhijrah, di mana Nabi SAW tidak diwajibkan memberi perlindungan kepada mereka melainkan mereka meminta bantuan.

3. Namun Allah SWT melarang Rasulullah SAW memberi bantuan kepada muslimin Mekah jika pihak yang perlu ditangani adalah kaum yang telah terlebih dahulu ada perjanjian dengan Rasulullah SAW.

4. Allah SWT menegaskan orang kafir turut saling bantu membantu sesama mereka. Jika masyarakat Islam tidak dapat menghadapi masyarakat jahiliyah yang saling bantu membantu ini, maka seluruh bumi akan ditimpa huru hara dan kacau bilau apabila jahiliyah mengalahkan Islam. Bumi akan mengalami kerosakan kerana puak jahiliyah bertindak menguasai bumi.

? Pengajaran:

1. Kita umat Islam kini, tanpa mengira latar belakang kaum dan fahaman politik, sepatutnya mencontohi persaudaraan yang ditunjukkan oleh golongan Muhajirin dan Ansar yang membina kesatuan atas dasar aqidah Islam.

2. Umat Islam seharusnya sentiasa bersatu teguh di antara satu sama lain. Persengketaan dan perselisihan faham sehingga menyebabkan perpecahan perlulah dielakkan. Ini kerana, golongan kafir sentiasa bersatu padu dan saling bantu-membantu sesama mereka dalam menjatuhkan umat Islam. Allah memberikan peringatan supaya umat Islam tidak lalai dan berpecah belah di antara satu sama lain kerana sekiranya perkara ini berlaku maka amat mudah bagi kaum kafir untuk meruntuhkan umat Islam.

3. Umat Islam perlu sentiasa berwaspada kerana orang-orang kafir sebahagian daripada mereka menjadi pelindung kepada sebahagian yang lain. Mereka saling tolong menolong di antara satu sama lain walaupun mempunyai pelbagai fahaman yang berbeza.

? Rujukan:
1. Tafsir Ibnu Katsir
2. Tafsir Al Azhar Prof Hamka
3. Tafsir Fizilail Quran

Disusun oleh:
Lajnah Dakwah DMPM dengan kerjasama Ameerah dan Lajnah Dakwah DMPK Gombak
11 Mei 2021 / 29 Ramadhan 1442

#baca&sebar
#siritadabbursurahalanfal