Home Tadabbur Al-Quran

Tadabbur Surah Al-Anfal: Siri 27

1429
SHARE

?? Tadabbur Al Quran ??
Surah Al-Anfal: Siri 27

Ayat: 67-69 : Teguran Allah kepada Tindakan Rasulullah SAW Tentang Hal Tawanan Perang

? Firman Allah serta terjemahannya:

مَا كَانَ لِنَبِيٍّ أَنْ يَكُونَ لَهُ أَسْرَى حَتَّى يُثْخِنَ فِي الأرْضِ تُرِيدُونَ عَرَضَ الدُّنْيَا وَاللَّهُ يُرِيدُ الآخِرَةَ وَاللَّهُ عَزِيزٌ حَكِيمٌ (٦٧)

Tidak patut bagi seorang nabi mempunyai tawanan sebelum ia dapat melumpuhkan musuhnya di muka bumi. Kalian menghendaki harta benda duniawi, sedangkan Allah menghendaki (pahala) akhirat (untuk kalian). Dan Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.

لَوْلا كِتَابٌ مِنَ اللَّهِ سَبَقَ لَمَسَّكُمْ فِيمَا أَخَذْتُمْ عَذَابٌ عَظِيمٌ (٦٨)

Kalau sekiranya tidak ada ketetapan yang terdahulu daripada Allah, nescaya kalian ditimpa siksaan yang besar kerana tebusan yang kalian ambil.

فَكُلُوا مِمَّا غَنِمْتُمْ حَلالا طَيِّبًا وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ غَفُورٌ رَحِيمٌ (٦٩)

Maka makanlah dari sebahagian rampasan perang yang telah kalian ambil itu, sebagai makanan yang halal lagi baik, dan bertakwalah kepada Allah; sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

? Tafsir ringkas:

1. Setelah memberikan keringanan bagi tentera Islam daripada perlu menewaskan 10 orang musuh kepada 2 orang, Allah SWT memberikan teguran yang tegas buat Rasulullah SAW dalam hal mengendalikan tawanan perang.

2. Hasil kemenangan tentera Muslimin dalam perang Badar, mereka telah mendapat tawanan perang. Oleh itu, Rasulullah SAW meminta pandangan para sahabat tentang tawanan perang. Umar al-Khattab memberi pendapat supaya dipenggal kepala mereka, manakala Abu Bakar berpendapat supaya dimaafkan tawanan dan menerima tebusan mereka. Rasulullah SAW menerima pandangan Abu Bakar as-Siddiq dengan mengampuni mereka dan menerima tebusan mereka.

3. Dalam surah Muhammad ayat 4 Allah SWT telah memberi pilihan kepada umat Islam sama ada untuk membebaskan tawanan perang atau boleh mengambil tebusan daripada mereka. Ayat tersebut diturunkan sebelum ayat surah Anfal itu diturunkan. Oleh kerana sudah ada pilihan yang pernah diberikan, maka Nabi Muhammad SAW telah menggunakan dalil ini untuk buat keputusan baginda.

4. Namun Allah SWT menegur keputusan tersebut untuk menunjukkan ketegasan Islam terhadap para penentang aqidah Islam ataupun mereka yang kufur. Walau bagaimanapun harta rampasan dibenarkan bagi orang beriman mengambilnya untuk memenuhi keperluan mereka.

? Pengajaran

1. Kita hendaklah sentiasa menerangkan kepada manusia bahawa Islam adalah agama yang penuh dengan prinsip kasih sayang walaupun terhadap tawanan perang. Namun dalam penentangan terhadap hal akidah, Islam sangat tegas kerana ini adalah asas utama yang membezakan antara iman dan kufur.

2. Sentiasalah bermesyuarat dalam menentukan sesuatu keputusan yang penting, kerana padanya ada keberkatan meskipun hasilnya tidak sebagaimana yang diinginkan.

3. Hargailah usaha para sahabat dan pengikut yang sentiasa memberikan komitmen dengan ikhlas dalam amal Islami, dengan memberikan sedikit ganjaran mengikut kemampuan yang ada.

? Rujukan:
Tafsir Ibnu Katsir

Disusun oleh:
Lajnah Dakwah DMPM dengan kerjasama Ameerah dan Lajnah Dakwah DMPK Gombak.
9 Mei 2021 / 27 Ramadhan 1442