Home Tadabbur Al-Quran

Tadabbur Surah Al-Anfal: Siri 25

482
SHARE

?? Tadabbur Al Quran ??
Surah Al-Anfal: Siri 25

Ayat : 64-65 : Ketenangan dan Bantuan Hanya dari Allah

? Firman Allah serta terjemahannya:

يَا أَيُّهَا النَّبِيُّ حَسْبُكَ اللَّهُ وَمَنِ اتَّبَعَكَ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ (٦٤)

Wahai Nabi, cukuplah Allah menjadi Penolongmu, dan juga pengikut-pengikutmu daripada orang-orang yang beriman.

يَا أَيُّهَا النَّبِيُّ حَرِّضِ الْمُؤْمِنِينَ عَلَى الْقِتَالِ ۚ إِنْ يَكُنْ مِنْكُمْ عِشْرُونَ صَابِرُونَ يَغْلِبُوا مِائَتَيْنِ ۚ وَإِنْ يَكُنْ مِنْكُمْ مِائَةٌ يَغْلِبُوا أَلْفًا مِنَ الَّذِينَ كَفَرُوا بِأَنَّهُمْ قَوْمٌ لَا يَفْقَهُونَ (٦٥)

Wahai Nabi, peransangkanlah orang-orang yang beriman itu untuk berperang. Jika ada di antara kamu dua puluh yang sabar, nescaya mereka dapat menewaskan dua ratus orang (daripada pihak musuh yang kafir itu); dan jika ada di antara kamu seratus orang, nescaya mereka dapat menewaskan seribu orang dari golongan yang kafir, disebabkan mereka (yang kafir itu) orang-orang yang tidak mengerti.

? Tafsir ringkas:

1. Ayat-ayat sebelum ini memberikan panduan ketika berhadapan dengan musuh dalam peperangan. Seterusnya Allah SWT memberikan motivasi buat Nabi Muhammad SAW dan orang beriman.

2. Dalam ayat ini pula, Allah SWT memberikan jaminan bahawa walaupun tentera Islam menghadapi musuh yang ramai dan jumlah musuh berlipat kali ganda berbanding mereka, Allah SWT lah yang akan memberi pertolongan dan bantuan kepada mereka.

3. Allah SWT turut memerintahkan Rasulullah SAW agar memberi motivasi di medan perang kepada para sahabat. Baginda SAW pernah menyeru kepada para sahabat semasa perang Badar dengan seruan “Bangkitlah kalian menuju syurga, yang luasnya seluas langit dan bumi.”

4. Allah SWT memfardukan ke atas tentera Islam agar menghadapi musuh yang sepuluh kali ganda lebih ramai berbanding tentera Islam, dan jangan lari dalam menghadapi tentera musuh. Namun, mereka diberikan keringanan dalam hal bilangan ini pada ayat seterusnya.

? Pengajaran:

1. Walaupun musuh Islam itu ramai dan mempunyai kelengkapan yang canggih, namun umat Islam mesti sentiasa yakin kebenaran akan dapat mengalahkan kebatilan dan Allah SWT pasti akan memberi pertolongan.

2. Jangan mudah berputus asa dalam berdakwah walaupun menghadapi pelbagai halangan dan tentangan kerana di belakang kita ada Allah SWT yang akan memberi pertolongan dan menguatkan hati kita.

3. Orang beriman sentiasa memerlukan motivasi untuk kekal di atas jalan yang betul. Hayatilah al-Quran dan hadith-hadith Nabi Muhammad SAW kerana inilah sumber motivasi yang paling kuat dan berkesan.

? Rujukan:
1. Tafsir Ibnu Katsir – http://www.ibnukatsironline.com/2015/05/tafsir-surat-al-anfal-ayat-64-66.html
2. Hidayatul Insan bi Tafsiril Qur’an / Ustadz Marwan Hadidi bin Musa, M.Pd.I – https://tafsirweb.com/2930-quran-surat-al-anfal-ayat-64.html

Disusun oleh:
Lajnah Dakwah DMPM dengan kerjasama Ameerah dan Lajnah Dakwah DMPM Gombak
7 Mei 2021 / 25 Ramadhan 1442