Home Berita PAS Pusat

25 Ramadan : iktibar kemenangan tentera Islam mengalahkan tentera Tatar

179
SHARE

25 RAMADAN : IKTIBAR KEMENANGAN TENTERA ISLAM MENGALAHKAN TENTERA TATAR

Pertempuran tentera Islam mengalahkan tentera Tatar yang paling ganas dalam sejarah dunia berlaku pada 25 Ramadan tahun 658H bersamaan 3 September 1260M. Peperangan tersebut telah mencapai satu kemenangan yang besar dalam sejarah Islam dan meninggalkan pelbagai iktibar buat kita semua pada hari ini.

Iktibar Peperangan:

1. Persediaan Rapi Menghadapi Peperangan

Dalam perang menentang Mongol, Sultan Qutuz terlebih dahulu menyelesaikan isu-isu dalaman yang boleh melemahkan kesepakatan. Beliau telah berjaya menghimpunkan para ulama, pembesar dan umat-umat Islam atas dasar iman dan perpaduan. Pengumpulan dana serta persediaan kelengkapan peperangan juga diperkemaskan.

2. Penglibatan Para Ulama

Para ulama turut memainkan peranan yang penting menghimpunkan kekuatan tentera bagi menghadapi tentera Mongol. Sultan Qutuz telah meminta fatwa daripada ulama besar iaitu Imam ‘Izzuddin bin Abdul Salam RA yang digelar Sultanul Ulama’ kerana keberaniannya menasihati Sultan tanpa mengampu. Beliau menegaskan bahawa kerajaan mesti mengutamakan harta pemerintah dan pegawai terlebih dahulu sebelum kerajaan dibenarkan untuk mengambil cukai daripada rakyat bagi tujuan persediaan kelengkapan peperangan.

3. Kemenangan di Bulan Ramadan

Walaupun peperangan yang turut dikenali sebagai perang Ain Jalut berlaku di bulan Ramadan, namun ia bukanlah penghalang untuk tentera Islam bersikap lemah dalam menghadapi musuh. Malah kesungguhan mereka berjaya menewaskan musuh Islam.

4. Kesatuan Ummah

Ini merupakan nilai yang terpenting apabila semua pihak sama ada di Mesir atau Syria, Palestin dan sekitarnya bersatu hati mendokong perjuangan Qutuz serta Zahir Baibars yang menghasilkan kejayaan yang gemilang.

Marilah kita mengambil iktibar daripada peperangan ini dengan merendahkan ego sesama kita demi memfokuskan kepada agenda yang lebih utama iaitu menyatupadukan masyarakat agar hidup aman makmur di bawah keadilan Islam. Kembalikan jati diri Islam agar kita menjadi umat yang tidak mudah dipermainkan oleh musuh.

Disebut oleh Allamah Ibn Khaldun dalam Al-Muqaddimah:

“Kebiasaannya bangsa yang dijajah akan terpengaruh dengan penjajahnya, sehingga sekurang-kurangnya terpengaruh dengan budaya, pakaian dan bahasanya mengikut penjajah. Tetapi umat Islam pernah berjaya mengIslamkan kaum Tatar yang ganas dalam menjajah, kerana kehebatan sahsiah (jati diri) umat Islam apabila berjaya dipertahankan.”

Rujukan: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

#RamadanKareem
#Ramadan1442